PROGRAM SAMBUTAN HARI PENDERMA DARAH SEDUNIA TAHUN 2024 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA PROGRAM SAMBUTAN HARI PENDERMA DARAH SEDUNIA TAHUN 2024 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

30 JUN 2024 (AHAD) | 2.30 PETANG

MYDIN MALL, BUKIT MERTAJAM

YB Daniel Gooi Zi Sen
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang

YBhg. Dr. Fazilah binti Shaik Allaudin,
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang

YBrs. Dr. Goh Hin Kwang
Pengarah Hospital Pulau Pinang

YBrs. Dr. Soo Peng Yen
Ketua Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Pulau Pinang

Barisan pengarah hospital di Pulau Pinang, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan,

Yang diraikan, barisan penerima anugerah penderma darah; dif-dif kehormat, rakan-rakan media serta hadirin dihormati sekalian.

Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dan Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Pulau Pinang (HPP) atas kejayaan menganjurkan program Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Tahun 2024 peringkat negeri Pulau Pinang pada hari ini.

Ucapan terima kasih juga saya panjangkan kepada semua jemputan yang terdiri daripada barisan penderma darah, pihak penganjur serta rakan strategik kempen derma darah dari seluruh negeri Pulau Pinang kerana telah meluangkan masa dan tenaga untuk turut bersama-sama dalam program yang amat bermakna ini.

Hadirin yang dihormati,

Tema sambutan Hari Penderma Darah Sedunia bagi tahun 2024 iaitu ‘20 years of celebrating giving : Thank you blood donors!’ adalah amat tepat pada masanya untuk menghargai semua penderma darah atas sumbangan kalian yang tidak ternilai harganya bagi membantu pihak-pihak yang sangat memerlukan.

Dalam usaha keras Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengejar pembangunan ekonomi demi kesejahteraan rakyat di negeri ini, pentadbiran ini tidak pernah berkompromi dalam memastikan pembangunan sosial secara sama rata dan juga seimbang. Menderma darah merupakan amalan mulia yang memberikan cerminan kepada nilai kemanusiaan sesebuah masyarakat. Secara ikhlasnya, saya amat terharu dan bersyukur kerana Pulau Pinang dikurniakan dengan sebuah masyarakat yang bersatu padu serta sedia membantu tanpa mengira latar belakang.

Pada tahun 2023 sahaja, sebanyak 47,714 beg darah berjaya dikutip dari semua hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh Pulau Pinang. Ini menunjukkan bahawa rakyat Pulau Pinang sentiasa peka untuk menderma darah kepada insan yang lebih memerlukan.

Walaupun kutipan darah dan stok darah agak memberangsangkan di negeri ini, namun kita tidak boleh mengambil sikap leka kerana saban tahun, keperluan dan penggunaan darah adalah meningkat seiring dengan peningkatan pelbagai jenis penyakit yang memerlukan transfusi darah. Malah, saya difahamkan bahawa sebanyak sekitar 130 beg sel darah merah diperlukan dalam satu hari di semua hospital seluruh Pulau Pinang.

Hadirin yang dirahmati,

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menyokong sebarang program dan aktiviti yang dilaksanakan untuk kebaikan rakyat. Selaras dengan Visi Penang2030, agenda memperkasakan rakyat melalui penyertaan masyarakat dalam platform sebegini telah meletakkan negeri ini di landasan yang tepat dalam merealisasikan aspirasi bersama ini. Sehubungan itu, saya sangat berharap agar usaha murni ini akan mendapat sokongan daripada barisan pemimpin, badan bukan kerajaan (NGO) dan yang paling penting adalah rakyat supaya kita bersama-sama memainkan peranan penting dalam menjaga antara satu sama lain.

Saya dengan ini ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengajak seluruh warga Pulau Pinang yang dianugerahkan kesihatan baik supaya sama-sama kita menderma darah yang bukan sahaja mampu mengurangkan risiko serangan jantung, malah juga boleh menyelamatkan nyawa. Bayangkan sekali kita menderma darah, ianya berupaya menyelamatkan tiga (3) nyawa insan lain.

Saya memuji usaha warga kesihatan di seluruh Malaysia yang terus menerus menganjurkan aktiviti menderma darah supaya masyarakat sentiasa sedar tentang kepentingan menderma darah secara konsisten bagi memastikan bekalan darah yang sentiasa mencukupi, selamat serta berkualiti untuk memenuhi keperluan semasa.

Sebagai kata, sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis yang sangat bermakna ini. Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia tahun 2024 Peringkat Negeri Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang