MAJLIS PERASMIAN STESEN PEMINDAHAN SAMPAH BATU MAUNG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN STESEN PEMINDAHAN SAMPAH BATU MAUNG

26 JAN 2019

 

Yang Berhormat Tuan Jagdeep Singh Deo a/l Karpal Singh
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato Ar. Yew Tung Seang
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato Rosli b. Jaafar
Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang

Ahli Majlis MBPP

Ketua Jabatan

Para Wartawan

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah berusaha untuk merealisasikan hasrat rakyat negeri Pulau Pinang dengan melaksanakan satu projek untuk membangunkan Stesyen Pemindahan Sampah Batu Maung pada hari ini.

Negeri Pulau Pinang komited dan telus dalam usaha untuk memenuhi hasrat pembangunan yang seimbang dengan pengurusan sisa pepejal yang menjadi fokus utama dalam menjaga alam sekitar. Kita sedia maklum bahawa kita perlu merancang pembangunan negeri ini dari aspek pemuliharaan alam sekitar melalui beberapa pendekatan yang berasaskan kepada Integrated and Sustainable Waste Management Facility. Ia terbukti menerusi perancangan salah satu lagi cadangan projek iaitu Stesen Pemindahan Sisa Pepejal di Batu Maung ini yang telah dibangunkan bagi tujuan pengumpulan sisa pepejal sebelum dihantar ke tapak pelupusan akhir sampah.

Cabaran yang paling utama dalam melaksanakan sesuatu projek pelupusan dan pemerolehan sisa di negeri ini adalah kekangan dari segi tanah dan gunatanah. Namun, segala rintangan dapat diatasi dengan memastikan sesuatu pojek pembangunan alam sekitar diberi keutamaaan.

Kita sedia maklum bahawa Stesen Pemindahan Sampah ini akan memainkan peranan sebagai pusat transit untuk sisa pepejal sebelum dilupuskan di tapak pelupusan yang terletak di Pulau Burong, Seberang Perai Utara.

Stesen Pemindahan Sampah di Batu Maung ini merupakan lokasi yang paling strategik dan ideal dari segi pengurusan bagi pelupusan sisa dan memenuhi kehendak asas persekitaran mengikut Jabatan Alam Sekitar.

Projek ini merupakan salah satu projek yang memberi impak yang tinggi kepada rakyat di Negeri ini yang melibatkan kos perbelanjaan modal sebanyak lebih kurang RM 60 juta yang diuruskan secara Build Operate and Transfer oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan ditawarkan kepada pemaju projek, Eurasia Express Sdn. Bhd. Syarikat dipertanggungjawabkan untuk mengendali pengoperasian projek ini bagi tempoh selama 16 tahun. Pelbagai manfaat dapat diperolehi daripada pengurusan projek ini yang mencerminkan keupayaan Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang yang memartabatkan pengurusan sisa pepejal dengan sistem dan kemudahan yang bersesuaian.

Para hadirin sekalian,

Stesen Pemindahan Sampah yang dibangunkan ini merupakan pemangkin kepada salah satu insfratruktur bagi sistem pengurusan sisa pepejal yang bersepadu. Ianya merupakan langkah penyelesaian untuk mengatasi masalah kepada sistem pengangkutan dan pelupusan sisa domestik dan sisa pukal serta sisa kebun.

Pembangunan projek pemindahan sampah di Batu Maung ini juga memberi manfaat dari segi pengurangan kesan alam sekitar atau pengurangan karbon melalui cara pengurusan sampah yang fleksibel dengan kemasukan lebih kurang 250 jumlah perjalanan kenderaan buat masa sekarang.

Kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar serta pelan tindakan bagi menjadikan negeri ini sebagai negeri yang bersih dan indah. Selain daripada penyediaan sistem dan infrastruktur, usaha turut dipergiatkan untuk mengurangkan sampah yang akan dilupuskan di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burong melalui beberapa langkah pengalihan sisa pukal dan kebun yang boleh diguna semula.

Namun demikian, kita masih berhadapan dengan pelbagai cabaran rakyat bagi merealisasikan aspirasi pengasingan. Contohnya, rakyat serta syarikat yang mengendalikan operasi pungutan sampah di dalam kawasan pentadbiran Pulau Pinang perlu mengutamakan kebersihan dan pengasingan sisa dalam kehidupan seharian dengan membuang sampah yang diasingkan dan mengambil kira kesan terhadap alam sekitar. Kita seharusnya sedar bahawa negara maju mempunyai infrastruktur dan budaya masyarakat yang mengutamakan amalan kebersihan dalam kehidupan mereka.

Saya ingin memaklumkan bahawa Tapak Pelupusan Sampah (TPS) Jelutong pada masa ini adalah dalam proses penutupan secara berperingkat. Bermula 1 Februari 2019, TPS Jelutong hanya akan menerima pelupusan sisa binaan dan sisa korekan, sehinggalah kebenaran sementara diperolehi bagi menggunakan tapak pemprosesan sisa binaan baru.

Saya percaya bagi mencapai status pembangunan pengurusan sisa pepejal yang mampan, penjana sisa seharusnya memiliki nilai-nilai murni dalam menjaga kebersihan.

Rakyat hendaklah sentiasa peka dengan kebersihan alam sekitar, malah pendekatan kerohanian amat wajar ditekankan ke dalam diri rakyat untuk memastikan instrumen polisi dan sistem kita berfungsi dengan baik.

Hasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai bandaraya yang bersih, indah dan sejahtera tidak hanya cukup dengan penyediaan infrastruktur, kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan. Rakyat juga perlu berubah ke arah kehidupan yang membudayakan kebersihan dan penjagaan alam sekitar.

Akhir kata, saya dengan ini merasmikan Stesyen Pemindahan Sampah Batu Maung.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang