MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN MAJLIS PENGURUSAN KOMUNITI KAMPUNG (MPKK) PERINGKAT DAERAH TIMUR LAUT

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN MAJLIS PENGURUSAN KOMUNITI KAMPUNG (MPKK)
PERINGKAT DAERAH TIMUR LAUT

19 FEBRUARI 2019
DEWAN SRI PINANG

 

YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

YB Dato’ Seri Farizan bin Darus
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berusaha Tuan Rosli bin Halim
Pegawai Daerah Timur Laut

Ketua-ketua Jabatan Peringkat Daerah Timur Laut

Pengerusi, Setiausaha dan AJK MPKK DTL

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Pejabat Daerah & Tanah, Daerah Timur Laut (PDTDTL) kerana berjaya memastikan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk Daerah Timur Laut (DTL) bagi sesi 2019/2020 pada petang ini dapat berjalan dengan jayanya.

Untuk makluman hadirin semua, Pejabat Daerah & Tanah, Daerah Timur Laut (PDTDTL) merupakan Pejabat Daerah yang pertama berjaya menghantar senarai penuh MPKK untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Meskipun DTL memiliki jumlah MPKK tertinggi di Pulau Pinang iaitu sebanyak 92 MPKK berbanding 4 daerah lain di negeri ini, tetapi pengurusan PDTDTL berjaya melakukannya. Tahniah dan syabas atas komitmen ini.

Seperti mana yang dimaklumkan oleh YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin, Timbalan Ketua Menteri (I) sebentar tadi, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah melaksanakan penstrukturan semula peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dengan beberapa penetapan baru termasuk penetapan kadar elaun baru.

MPKK masih diletakkan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dan segala keputusan mengenai pelantikan baharu anggota jawatankuasa di bawah MPKK juga akan diputuskan oleh Kerajaan Negeri.

Dalam kadar elaun baru ini, Kadar Elaun Tetap Pengerusi adalah berjumlah RM500, Elaun Tetap Setiausaha berjumlah RM300 manakala Elaun Pengurusan Mesyuarat ialah pada kadar RM100 dan Elaun Kehadiran Mesyuarat ialah RM50 bagi setiap kali mesyuarat.

Tuan-tuan & puan-puan sekalian,

Walaupun Kerajaan Persekutuan telah membuat penetapan kadar elaun seperti yang saya sebutkan sebentar tadi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Bilangan 42 Tahun 2018 bertarikh 12 Disember 2018 telah bersetuju untuk mengekalkan kadar elaun yang diguna pakai untuk JKKK penggal terdahulu iaitu RM700 untuk Elaun Tetap Pengerusi, RM600 untuk Elaun Tetap Setiausaha dan RM50 untuk Elaun Kehadiran Mesyuarat bagi 12 kali mesyuarat melibatkan semua AJK MPKK.

Kerajaan Negeri akan membiayai lebihan RM200 bagi Elaun Tetap Pengerusi dan lebihan RM300 bagi Elaun Tetap Setiausaha menggunakan bajet Kerajaan Negeri.

Ia dibuat sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada semua keanggotaan MPKK yang telah banyak membantu Kerajaan Negeri mengekalkan mandat pentadbiran Kerajaan Negeri untuk tempoh 5 tahun lagi melalui keputusan PRU-14 pada tahun lepas. Selain daripada itu, ia menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat negeri ini terus dijaga berikutan peningkatan kos kehidupan harian yang kian mendesak masa kini.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk menanggung kos tambahan bagi membiayai pelantikan 2 orang AJK MPKK tambahan yang melibatkan pembayaran Elaun Kehadiran Mesyuarat berjumlah RM50 seorang bagi setiap mesyuarat bulanan MPKK yang dihadiri. Ini adalah kerana di peringkat Kerajaan Persekutuan, keanggotaan MPKK telah dihadkan kepada 13 orang sahaja bagi setiap MPKK merangkumi 1 Pengerusi, 1 Setiausaha dan 11 AJK.

Bagi kekerapan mesyuarat, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah menetapkan 6 kali setahun dengan kos Elaun Pengurusan Mesyuarat akan diberikan sebanyak RM600 setahun. Namun pihak Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk menanggung tambahan kos Elaun Pengurusan Mesyuarat berjumlah RM400 lagi untuk mengekalkan kos elaun ini, agar bersamaan dengan Elaun Pentadbiran JKKK penggal terdahulu berjumlah RM1,000 setahun. Oleh yang demikian, lebihan semua kos terlibat yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri ialah berjumlah RM1,002,800 setahun bagi semua 92 MPKK di DTL.

Tuan-tuan & puan-puan sekalian,

Melihat kepada objektif penting penubuhan MPKK iaitu menjadi penghubung utama di antara Kerajaan Negeri/Kerajaan Persekutuan dengan komuniti setempat, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk membuat penambahan jumlah MPKK sedia ada di seluruh Negeri Pulau Pinang. Terdahulu, bagi DTL sahaja, terdapat hanya sejumlah 81 JKKK namun kini di bawah penstrukturan semula MPKK, jumlah tersebut telah meningkat kepada 92 MPKK iaitu tambahan sebanyak 11 kawasan MPKK untuk mewakili setiap komponen parti yang memerintah di peringkat Kerajaan Negeri/Kerajaan Persekutuan.

Dengan adanya penambahan MPKK ini, saya berharap agar segala permasalahan di peringkat akar umbi akan sampai ke pengetahuan Kerajaan Negeri dengan cepat dan cekap untuk tindakan selanjutnya. Delivery system melalui prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) hendaklah sentiasa dipraktikkan agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat terus menjaga kebajikan rakyat Pulau Pinang melalui bagi memastikan visi Penang2030 dapat dicapai dengan jayanya.

4 teras utama dalam Penang2030 sememangnya digariskan khas untuk memacu projek-projek pembangunan yang berkonsepkan people centric yang akan memberikan manfaat dan memperkasakan rakyat Pulau Pinang. Antara projek terlibat termasuklah pembinaan rumah mampu milik, penambahan sistem jaringan jalan raya sedia ada, program-program bantuan dan transformasi Pendidikan. Selaku MPKK yang menghubungkan pentadbiran Kerajaan Negeri/Kerajaan Persekutuan dengan komuniti setempat di peringkat paling bawah, saya berharap agar semua MPKK dapat memberikan 100% komitmen untuk membantu komuniti setempat memahami dan membantu jentera Kerajaan Negeri mencapai objektif penubuhan Penang 2030 secara holistik dan berkesan. Teras-teras terlibat akan memastikan Kerajaan Negeri dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam tempoh 10 tahun ke hadapan bagi mengadakan projek pembangunan yang berimpak tinggi untuk keselesaan dan manfaat kepada komuniti demi kesejahteraan dan masa depan yang lebih baik.

Akhir kata, saya menyeru kepada semua MPKK agar bekerja secara rapat dengan YB ADUN Kawasan masing-masing dan memberikan kerjasama yang sepenuhnya dalam menangani isu-isu komuniti setempat secara cekap dan berkesan. Hubungan yang harmoni di antara komuniti dan Kerajaan Negeri/Kerajaan Persekutuan yang selama ini terjalin haruslah terus dipelihara dengan kepercayaan dan integrity yang utuh tanpa mengira bangsa, agama, fahaman politik dan latar belakang peribadi. Keperluan dan kehendak komuniti wajar dikaji dan diperhalusi sebelum sesuatu cadangan diputuskan untuk diterima atau sebaliknya.

Semoga anda semua dapat memberikan 100% komitmen berhubung tanggungjawab selaku MPKK demi kelangsungan negeri tercinta kita.

Sekian terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang