KENYATAAN MEDIA (SERANGAN KEJAM DI CHRISTCHURCH)

KENYATAAN MEDIA OLEH YAB TUAN CHOW KON YEOW, KETUA MENTERI PULAU PINANG

DI KOMTAR, GEORGE TOWN PADA

15 MAC 2019

 

SERANGAN KEJAM DI CHRISTCHURCH, NEW ZEALAND

 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengecam sekeras-kerasnya insiden serta serangan kejam di Christchurch, New Zealand yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 49 nyawa serta berpuluh-puluh mangsa mengalami kecederaan.


Lanjutan daripada insiden berkaitan, Kerajaan Negeri telah berhubung dengan keluarga salah seorang mangsa yang merupakan rakyat Pulau Pinang yang kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.


Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, YB Tuan Phee Boon Poh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, YB Tuan Azrul Mahathir Aziz bakal mewakili Kerajaan Negeri untuk bersama-sama dengan ahli keluarga mangsa ke Christchurch, New Zealand. Penerbangan mereka dijangka berlepas pada 16 Mac 2019.


Kerajaan Negeri Pulau Pinang melahirkan rasa simpati di atas musibah ini serta merakamkan ucapan takziah kepada New Zealand dan seluruh ahli keluarga mangsa-mangsa yang terlibat. Diharapkan mereka tabah dengan ujian ini. Doa kami adalah bersama-sama mereka.

Dalam menzahirkan simpati, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia menghulurkan bantuan apa yang terdaya dan menyeru seluruh rakyat Malaysia serta Pulau Pinang khasnya untuk mendoakan kembali kesejahteraan kepada penduduk di Christchurch, New Zealand.

CHOW KON YEOW

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang