MAJLIS SAMBUTAN ULANG TAHUN ONE HOPE CHARITY & WELFARE BERHAD KE-17 SERTA PROGRAM SUMBANGAN KEPERLUAN HARIAN DAN MAKANAN PERCUMA KEPADA GOLONG KURANG BERKEMAMPUAN

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN ULANG TAHUN

ONE HOPE CHARITY & WELFARE BERHAD KE-17

SERTA PROGRAM SUMBANGAN KEPERLUAN HARIAN

DAN MAKANAN PERCUMA KEPADA GOLONG KURANG BERKEMAMPUAN

23 Jun 2019

Juru Auto City

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih jawatankuasa penganjur di atas kesudian untuk menjemput saya bagi bersama-sama meraikan sambutan ulang tahun One Hope Charity & Welfare yang ke-17 pada petang yang berbahagia ini.

Di sebalik kemeriahan sambutan ulang tahun yang ke-17 ini juga, One Hope Charity & Welfare masih tidak melupakan untuk meraikan golongan yang kurang berkemampuan. Sebanyak RM1 juta telah diperuntukkan untuk pengagihan 3,000 pek barangan keperluan kepada 3,000 buah keluarga serta pengedaran 10,000 set makanan percuma.

Setiap pek barangan keperluan harian yang diberikan bernilai lebih daripada RM350 di mana setiap troli mengandungi makanan berkhasiat dan barangan keperluan harian, ‘ang pow’ yang bernilai RM50 serta baucar Tesco yang bernilai RM30. Bagi mengelakkan pembaziran beras dan untuk memudahkan para penerima yang kebanyakannya terdiri daripada golongan warga emas dan orang kelainan upaya, 10kg beras seperti yang diberikan pada tahun lepas telah ditukarkan kepada baucer beli-belah bernilai RM30. Para penerima boleh menggunakan baucer ini untuk membeli beras yang diperlukan dan bakinya boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan lain. 

Saya dimaklumkan bahawa pemberian barangan keperluan dan makanan percuma pada hari ini merupakan pengagihan yang paling besar yang pernah diadakan di kawasan Utara Malaysia. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada pengurusan One Hope Charity & Welfare yang sentiasa sistematik dengan menambah baik dasar dan program selama 17 tahun ini dalam membantu golongan yang memerlukan.

Kali ini bagi memastikan tiada sesiapa pun yang tercicir daripada pengagihan ini, One Hope Charity & Welfare telah meminta pertolongan dan bantuan daripada pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), hospital, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ada juga yang dipilih khas bertujuan untuk memastikan pengagihan kali ini dilakukan secara menyeluruh untuk kedua-dua kawasan pulau dan Seberang Perai.

Sebagai sebuah kerajaan yang berjiwa rakyat, Kerajaan Negeri amat menghargai peranan dan sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang sentiasa bersama-sama Kerajaan Negeri dalam membantu golongan yang memerlukan ini terutama menjelang musim perayaan seperti ini.

Di pihak Kerajaan Negeri, kita akan memastikan segala program yang berteraskan kebajikan yang telah dimulakan sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini pada tahun 2008 akan terus memberi manfaat kepada 1.7 juta rakyat negeri ini. Mengikut rekod, sebanyak RM412.63 juta telah dibelanjakan melalui penganjuran program-program i-Sejahtera yang merangkumi pemberian bantuan Warga Emas, Ibu Emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan pelbagai lagi.

 

Akhir kata, saya berharap agar perpaduan dan kerharmoni antara kaum dan bangsa di negeri dan negara ini terus terpelihara dan kita semua terus disatukan seperti dalam sebuah keluarga yang besar dan mengenepikan segala perbezaan fahaman politik, bangsa, agama, pangkat dan juga darjat.

Semoga One Hope Charity & Welfare akan terus bergerak ke hadapan dalam membantu golongan yang memerlukan.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang