MAJLIS PELANCARAN FOOD WASTE –TO –ENERGY BIOGAS PILOT PLANT

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN

FOOD WASTE –TO –ENERGY BIOGAS PILOT PLANT

PADA 23 JUN 2019

DI STESEN PEMINDAHAN SISA PEPEJAL BATU MAUNG

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur di bawah kepimpinan YB Jagdeep Singh Deo atas usaha keras bagi memastikan Majlis Pelancaran Food Waste-To- Energy Biogas Pilot Plant pada pagi ini dapat dijalankan dengan jayanya.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, perubahan iklim yang melanda dunia kini bukan lagi menjadi isu tempatan, malahan merupakan isu global yang harus ditangani bersama. Atas sebab itu, usaha-usaha ke arah meningkatkan kualiti alam sekitar amat perlu diambil tindakan segera. Pengurusan sisa pepejal harus dikendalikan secara profesional bagi mencapai impian dan matlamat kita untuk meminimumkan sisa pepejal demi kesejahteraan manusia sejagat.

Di Pulau Pinang, kita hanya mempunyai satu tapak pelupusan sisa domestik sahaja iaitu di Pulau Burong. Mengikut kajian, jangka hayat penggunaan tapak pelupusan ini hanya mampu bertahan lebih kurang 27 tahun sahaja sekiranya 2,000 tan sisa pepejal dibuang setiap hari daripada kedua-dua kawasan PBT, iaitu MBPP dan MPSP.

Rancangan sedang dibuat untuk membangunkan kemudahan Material Recovery Facility (MRF) di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burong bagi mengitarsemula sisa pepejal am dengan sasaran untuk meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan ini agar terus dapat bertahan bagi tempoh 37 tahun selain bersedia untuk mencari dan membuka tapak pelupusan sisa pepejal yang baru.

Atas sebab itu, pada hari ini kita akan menyaksikan satu pembaharuan dari segi kolaborasi antara Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan Syarikat Darco Indusrial Water Sdn. Bhd. dengan cadangan untuk membangunkan teknologi Anaerobic Digester bagi melaksanakan projek pemprosesan sisa makanan dan dijadikan sebagai sumber bio-gas kepada penjanaan elektrik.

 

Pengurusan sisa pepejal yang menjadi beban kepada kedua-dua PBT di negeri ini akan dijadikan sebagai sumber yang boleh digunakan melalui penggunaan teknologi pemerolehan dan rawatan terkini (Recovery Treatment Facility). Saya difahamkan inisiatif ini diadaptasi daripada rancangan berkaitan perubahan iklim melalui pendekatan Integrated Waste Management Facilities – The Way Forward For Sustainable Cities.

Kerajaan Negeri akan terus memberi sokongan dan kerjasama padu kepada kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan bagi bersama-sama meningkatkan  imej persekitaran Pulau Pinang yang bersih dan hijau dengan membangunkan kemudahan teknologi dan infrastruktur  yang inovatif serta berintegrasi khususnya dalam pengurusan sisa pepejal yang merupakan agenda kepada pembaharuan urbanisasi  dan penduduk yang kian berkembang.  Perubahan- perubahan ini mesti diteruskan dan diperbaiki demi memelihara alam semula jadi dan budaya yang kita ada.

Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri untuk melihat kajian kebolehlaksanaan projek pemprosesan sisa makanan yang sedang dijalankan ini berjaya dan seterusnya sebuah loji pemprosesan sisa makanan akan dapat dibangunkan di negeri ini bagi manfaat semua pihak dan menjadi contoh sistem pengurusan sisa pepejal bersepadu (Integrated Solid Waste Management Facility) kepada negeri-negeri lain.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang