Karnival Fantasi Lampu LED

Ucapan Perasmian Ketua Menteri Pulau Pinang

Sempena Karnival Fantasi Lampu LED

6 September 2019

Perkampungan Juru, Bukit Tengah

Salam Sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada MPKK Perkampungan Juru yang telah menjalinkan kerjasama dengan pejabat ADUN Bukit Tengah, YB Gooi Hsiao Leung dan pejabat Ahli Parlimen Batu Kawan, YB Kasthuri Patto bagi menganjurkan Karnival Fantasi Lampu LED pada malam yang berbahagia ini.  

Sebaik tiba tadi, saya juga sedikit terpegun melihat tapak pasar malam Perkampungan Juru ini bermandikan cahaya lampu LED menghiasi kawasan ini dan dipasang khas sempena perayaan Tanglung atau lebih dikenali sebagai Festival Kuih Bulan (mooncake festival) yang kini bukan sahaja disambut oleh masyarakat Cina, tetapi turut diraikan oleh semua kaum di seluruh negara.

Saya dimaklumkan bahawa Karnival Fantasi Lampu LED ini telah berlangsung sejak 31 0gos 2019 yang lalu sehingga Hari Malaysia, 16 September 2019 ini.  Pada malam ini, kita dapat saksikan 10,000 lampu LED disusun membentuk bunga ros dan juga terowong sepanjang 50 meter serta lebih 50,000 lampu LED disusun mengikut pelbagai reka bentuk.

Di kesempatan ini, saya turut ingin mengalu-alukan kerjasama Pertubuhan Senibudaya Bafang Antarabangsa Malaysia yang sudi memilih Pulau Pinang sebagai lokasi karnival fantasi lampu selepas pameran di Raub (Pahang), Taiping (Perak) dan Melaka.

Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak MPKK Perkampungan Juru diatas inisiatif dan usaha untuk menganjur Karnival Fanatsi Lampu LED di Perkampungan Juru sempena perayaan Tanglung yang disambut dengan penuh meriah, semangat perpaduan dan setiakawan dan hormat menghormati adat dan kebudayaan masyarakat majmuk di Pulau Pinang dan seluruh Malaysia.

Saya yakin dan percaya inisiatif penganjuran Karnival Fantasi Lampu LED ini mampu mewujudkan satu platform baru kepada penduduk setempat dan kawasan berhampiran seperti Ladang Valdor, Kampung Sekolah, Kuala Juru dan Sungai Semilang sebagai lokasi untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan seterusnya menjalinkan perpaduan yang lebih erat di antara satu sama lain.

Sememangnya Perkampungan Juru merupakan salah sebuah perkampungan yang sentiasa dan akan diberikan fokus terutama dari segi pembangunan dan pembersihan. Kerajaan Negeri mengambil maklum akan risiko banjir yang melanda kawasan perumahan seperti Taman Mangga dan Kampung Tersusun yang masih tidak mempunyai sistem perparitan yang baik dan sering mengalami banjir kilat ketika hujan lebat.

Dimaklumkan, penambahbaikan sistem perparitan adalah dalam perancangan pembangunan Kerajaan Negeri Pulau Pinang namun pada masa yang sama, Kerajaan Negeri berharap agar para penduduk dapat bersama-sama membersihkan kawasan persekitaran untuk kebaikan bersama.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pengerusi dan semua ahli MPKK Perkampungan Juru yang telah bertungkus-lumus memastikan Karnival Fantasi Lampu LED ini dapat dijalankan dengan jayanya. Saya berharap kerjasama yang erat seperti ini terus diperkukuhkan dan berkekalan untuk manfaat penduduk sejagat.

Dengan kata-kata ini, saya merasmikan Karnival Fantasi Lampu LED dan Pesta Tanglung MPKK Perkampungan Juru.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang