MAJLIS PERASMIAN PUSAT HAEMODIALISIS CAT MASJID AT- TAQWA

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PUSAT HAEMODIALISIS C.A.T RM1.8 JUTA
ANJURAN KERAJAAN NEGERI

10 FEBRUARI 2017
MASJID AT TAQWA, KEPALA BATAS

 

 

Kerajaan Negeri pada pembentangan Bajet 2017 dengan tema “Ke Arah Negeri Keusahawanan dan Kebajikan” sememangnya memandang berat terhadap aspek kesihatan dan kebajikan rakyat Pulau Pinang. Hasrat ini adalah bertepatan dengan tagline Cleaner Greener Safer & Healthier Penang yang dilaungkan secara konsisten dan terus ditambahbaik sejak tahun 2008.

Hasrat Kerajaan Negeri bagi mereformasikan bidang perubatan di Pulau Pinang ke taraf antarabangsa dan menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah Medical City tiada makna sekiranya perubatan mampu milik tidak disediakan kepada penduduk Pulau Pinang. Pada tahun 2013, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Pusat Dialisis CAT Balik Pulau yang menawarkan kemudahan rawatan dialisis pada harga berpatutan kepada golongan miskin.

Bagi pesakit yang kurang berkemampuan dan tidak mendapat mana-mana tajaan, caj yang dikenakan hanyalah RM110 di mana sejumlah RM30 disumbangkan oleh Kerajaan Negeri. Seramai 25 orang pesakit telah menikmati kemudahan ini. Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Pertubuhan Komuniti Chest yang berperanan memberi subsidi tambahan bagi pesakit miskin yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pembasmian Kemiskinan Daerah.

Pada tahun 2015, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program MammoPenang iaitu program pemeriksaan mamogram percuma kepada wanita berusia 35 tahun ke atas atau wanita yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser payudara. Sejumlah RM2 juta telah diperuntukan bagi 3 tahun pelaksanaan program.
Sehingga Disember 2016, program ini telah disertai oleh 6,156 orang penduduk Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri mensasarkan penyertaan seramai 23,000 orang pesakit pada akhir tahun 2017. Saya menyeru agar kariah Masjid At-Taqwa ini dapat mewar-warkan program ini kepada ahli keluarga bagi menyertai dan menjalani pemeriksaan mammogram percuma ini.

Selepas tertubuhnya Pusat Dialisis CAT Balik Pulau sebanyak RM2 juta meliputi aspek kewangan dan infrastruktur, Kerajaan Negeri kerap dihujani tohmahan bahawa hanya memfokuskan pembangunan dan kebajikan di bahagian Pulau serta menyisihkan kawasan Seberang Perai.

Untuk makluman semua, Kerajaan Negeri sememangnya berhasrat menubuhkan sebuah Pusat Dialisis CAT baharu di kawasan Seberang Perai. Beberapa tempat dan tanah Kerajaan Negeri telah dilawat periksa namun akibat kos pembangunan yang sangat tinggi, cadangan demi cadangan perlu dikaji semula. Pihak Berkuasa Negeri telah memutuskan bagi menangani isu dengan segera, kerjasama secara join venture (JV) dijalankan bersama Pusat Dialisis sedia ada bagi memberi rawatan dialisis kepada golongan kurang berkemampuan pada harga mampu beserta subsidi daripada Kerajaan Negeri.

Hasilnya, kerjasama bersama Pusat Haemodialisis Masjid At-Taqwa di Seberang Perai Utara, dan MAA Medicare Dialysis Centre di Seberang Perai Tengah. Dengan peruntukan lebih RM1.8 juta bagi kerjasama selama tiga (3) tahun sehingga 2018, diharapkan lebih ramai penduduk kurang kemampuan terutamanya di SPU dan SPT dapat menikmati manfaat rawatan dialisis pada harga yang amat berpatutan.

Program subsidi rawatan dialisis ini akan ditawarkan kepada penduduk yang kurang berkemampuan dan tidak mendapat tajaan mana-mana pihak. Pesakit akan diberikan subsidi RM30 bagi setiap kali rawatan di pusat ini. Difahamkan juga kedua-dua pihak akan menawarkan perkhidmatan pada harga rendah berbanding harga yang ditawarkan di pusat-pusat dialisis lain.

Selain dari bantuan subsisidi rawatan, Pusat Haemodialisis Masjid At-Taqwa telah menerima tambahan lima (5) buah mesin dialisis berharga RM222,500 dan kini dalam proses mendapatkan lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Pusat Haemodialisis Masjid At-Taqwa juga menerima bantuan kos utiliti bagi kegunaan pusat dialisis dan pengangkutan pesakit.

Melalui sumbangan ini, Pusat Haemodialisis At-Taqwa yang kini mampu merawat maksima 24 orang pesakit sebulan mampu meningkatkan kapasiti kepada 44 orang pesakit.

Kerajaan Negeri berharap lebih banyak syarikat korporat akan tampil menaja pusat-pusat dialisis bagi menawarkan perkhidmatan rawatan dialisis pada harga subsidi. Kerajaan Negeri juga akan terus komited untuk menyediakan lebih banyak program-program kesihatan dan kebajikan untuk manfaat rakyat Pulau Pinang selaras dengan usaha ke arah negeri berkebajikan.

Akhir kata, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang di atas kesudian merasmikan Pusat Haemodialisis CAT Masji At-Taqwa dan syabas di atas usaha pihak-pihak yang membantu menjayakan misi dan visi Kerajaan Negeri.

Sekian, terima kasih.