Majlis Perasmian Rumah Pam Permatang Tinggi Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

Teks Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang

Sempena Majlis Perasmian Rumah Pam Permatang Tinggi Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang

Jabatan Pengairan Dan Saliran Pulau Pinang


31 Mac 2017
Rumah Pam Permatang Tinggi, SPT, P.Pinang


Selamat Pagi & Salam sejahtera,

1. Pertamanya, saya berasa gembira kerana berpeluang untuk bertemu dengan tuan / puan semua yang mana saya dimaklumkan Rumah Pam Permatang Tinggi telah siap dibina dan sudah boleh beroperasi. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua, terutamanya kepada JPS Pulau Pinang. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berusaha Tuan Pengarah JPS Pulau Pinang di atas kesudian menjemput saya hadir untuk merasmikan Majlis ini.

Hadirin yang dihormati sekalian,

2. Pembinaan Rumah Pam Permatang Tinggi ini akan meningkatkan tahap perlindungan banjir ke tahap optimum dan membawa manfaat kepada penduduk setempat.

3. Kerajaan Negeri juga akan memperuntukkan wang yang paling besar sebanyak RM220 juta untuk pencegahan banjir kilat di seluruh Pulau Pinang. Bagi mengatasi dan mengurangkan kejadian banjir kilat, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri (JPS) telah diarah untuk menggiatkan lagi kerja-kerja pengurusan sungai, membaiki tebing-tebing sungai yang runtuh, menyelenggara infrastruktur saliran dan menyeleras projek-projek mitigasi banjir di seluruh negeri.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

4. Peruntukan sebanyak RM150 juta pada tahun 2017 kepada JPS secara terperinci adalah seperti berikut :-

I. Sungai Permatang Rawa, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM12.6 juta;
II. Padang Lalang/ Kg. Permatang Rawa, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM19.1 juta;
III. Bukit Tengah, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM19 juta;
IV. Taman Mangga/ Jalan Juru, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM11.5 juta;
V. Alma, Daerah Seberang Perai Tengah berjumlah RM9.6 juta;
VI. Mak Mandin, Daerah Seberang Perai Utara berjumlah RM40 juta;
VII. Sungai Relau, Bayan Baru berjumlah RM20.1 juta;
VIII. Taman Iping, Daerah Barat Daya berjumlah RM13.6 juta; dan
IX. Kampung Naran, Daerah Barat Daya berjumlah RM4.5 juta.

5. Kerajaan Negeri juga melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) akan menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk projek pembinaan paip besar bagi mengalihkan air di Empangan Air Itam ke Empangan Teluk Bahang. Tanggapan orang ramai bahawa pelepasan air oleh PBAPP di Empangan Air Itam merupakan salah satu punca banjir adalah tidak benar sama sekali.

6. Di samping itu, bagi tahun 2017, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) juga memperuntukkan sejumlah RM11.61 juta untuk melaksana projek-projek tebatan banjir kilat di kawasan bandaraya. Antaranya, ialah menaiktaraf sistem saliran di Hilir Sungai Pinang, Sistem Saliran Bandar S10, Parit Lumba Kuda, lencongan Sungai Jelutong di Jalan Tengku serta Jalan Merican dan Lebuh McNair.

7. Di Seberang Perai pula, Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah mencadangkan projek-projek sebanyak RM9.45 juta untuk menangani isu banjir kilat, di mana RM7.5 juta adalah untuk kerja-kerja penyelenggaraan parit monsun dan kolam takungan, penyelenggaraan rumah pam sebanyak RM0.25 juta dan RM1.7 juta pula bagi projek penyelenggaraan di kawasan perindustrian.

8. Peruntukan berjumlah RM220 juta yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri dan PBAPP untuk pembiayaan projek-projek mitigasi banjir adalah pembiayaan langsung Kerajaan Negeri, PBAPP, MBPP dan MPSP dan tidak mengambil kira peruntukan sebanyak RM150 juta yang dijanjikan oleh Kerajaan Persekutuan bagi menyempurnakan Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pinang Fasa 3.

Hadirin yang dihormati sekalian,

9. Selain Projek-projek Berimpak Tinggi ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut melaksanakan Projek-projek Mitigasi Banjir Negeri melalui EXCO Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir. Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengenalpasti empat (4) lagi Projek-projek Mitigasi Banjir dengan jangkaan perbelanjaan sebanyak RM 30 juta dengan menggunakan Peruntukan Caruman Permaritan Negeri. Dua (2) projek akan ditumpukan di beberapa kawasan “hotspot” banjir sekitar Daerah Timur Laut (Jelutong dan Bagan Jermal). Manakala berbaki dua (2) projek adalah di Daerah Barat Daya (Batu Maung dan Bayan Lepas)

10. Akhir kata, sekali lagi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Perasmian Rumah Pam Permatang Tinggi, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang ini.

Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Rumah Pam Permatang Tinggi.

Sekian, terima kasih.