MAJLIS ANGKAT SUMPAH PELANTIKAN YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG, TUAN YANG TERUTAMA TUN DATO' SERI UTAMA (DR) HAJI ABDUL RAHMAN BIN HAJI ABBAS

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA ISTIADAT MENGANGKAT SUMPAH PELANTIKAN YANG DI-PERTUA NEGERI PULAU PINANG

TUAN YANG TERUTAMA TUN DATO’ SERI UTAMA (Dr.) HAJI ABDUL RAHMAN BIN HAJI ABBAS

PADA 29 APRIL 2017 (SABTU)
DI SERI MUTIARA

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian,

TRANSFORMASI KE ARAH NEGERI KEUSAHAWANAN DAN KEBAJIKAN

1. Saya bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang, melafazkan kesyukuran serta ucapan tahniah kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas sempena pelanjutan perkhidmatan Tuan Yang Terutama sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang buat kali yang ketujuh. Juga setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan diucapkan kepada Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff.

2. Saya dan seluruh rakyat negeri Pulau Pinang mendoakan Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan sentiasa di bawah naungan rahmat Tuhan dan dikurniakan kesihatan dan keselamatan yang berpanjangan. Kesejahteraan Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan adalah kesejahteraan rakyat jua. Kita berasa bersyukur kerana di bawah kepimpinan Tuan Yang Terutama Tun, Negeri Pulau Pinang bertambah maju dan makmur.

3. Kewibawaan Tuan Yang Terutama Tun memang menyerlah dengan menjadi tunggak Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang paling lama dalam sejarah selama 16 tahun sejak mulai dilantik pada 1 Mei 2001. Kerajaan Negeri juga menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong yang sudi memperkenankan lantikan Tuan Yang Terutama Tun dalam upacara penyerahan watikah di Istana Besar semalam.

4. Dalam usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang bertaraf antarabangsa dan pintar, Kerajaan Negeri perlu menjayakan transformasi ke arah negeri keusahawanan dan kebajikan, di mana semua rakyat diberikan peluang yang sama untuk mengecapi kemajuan ekonomi serta hasil kemakmuran juga dapat dinikmati oleh semua tanpa kira agama dan kaum. Transformasi ini menampakkan hasil apabila pertumbuhan per kapita (GDP) telah membangun daripada kedudukan tercorot di bawah di antara semua negeri-negeri di Malaysia dalam tempoh 2005-2015 kepada yang paling baik mulai 2013 ke 2015.

5. Pulau Pinang adalah satu-satunya negeri industri di Malaysia dengan sektor pembuatan menyumbang 45% dan sektor perkhidmatan menyumbang 50% kepada GDP negeri. Jumlah pelaburan mencatatkan peningkatan sebanyak 73 % iaitu peningkatan daripada RM34.2 bilion pada tahun 1999-2007 kepada RM59.2 bilion untuk tempoh 9 tahun yang sama pada tahun 2008-2016. Peluang pekerjaan baru juga naik 15 % daripada 121,511 pekerjaan baru untuk tempoh 1999-2007 kepada 139,133 pekerjaan baru untuk tempoh 2008-2016. Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan agensi Kerajaan yang terlibat untuk menarik lebih banyak pelaburan.

6. Dalam sektor pelancongan, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang telah melebihi kapasiti penumpang sebanyak 6.5 juta dengan mengendalikan 6.7 juta penumpang dalam 2016, iaitu 4 tahun lebih awal daripada anggaran 2020. Prestasi Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan dengan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town dan juga hospital-hospital berkualiti mendapat perhatian seluruh dunia. CNN meletakkan Pulau Pinang di tempat kedua daripada 17 tempat paling menarik yang mesti dilawati di dunia pada tahun 2017. Manakala website kesihatan International Living telah mengiktiraf Pulau Pinang sebagai “No.1 Best Healthcare In the World”. Baru-baru ini, penganjuran Penang International Food Festival (PIFF) yang pertama di Pulau Pinang untuk meraikan makanan Pulau Pinang, khususnya makanan jalanan (street food) yang paling sedap di dunia, telah menarik lebih 400,000 pengunjung.

7. Pulau Pinang mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.5% berbanding dengan pertumbuhan GDP negara sebanyak 5%. Cabarannya ialah untuk memastikan hasil kemakmuran ini dapat dikecapi oleh semua. Menerusi konsep negeri berkebajikan, Kerajaan Negeri telah membuat pelaburan dalam penaiktarafan infrastruktur asas seperti jalan, bekalan air dan longkang serta membina kemudahan awam seperti perumahan awam, taman lapang hijau, kompleks sukan dan dewan orang ramai. Tumpuan diberikan kepada kawasan Seberang Perai, di mana hampir 70% daripada peruntukan pembangunan negeri dibelanjakan demi mencapai pembangunan seimbang dan mampan di antara kawasan Pulau dan Seberang.

8. Satu aspek negeri kebajikan ialah Agenda Ekonomi Saksama (AES) dan Program i-Sejahtera di mana bantuan kewangan secara wang tunai sebanyak RM 412.63 juta diberikan kepada 1.6 juta rakyat Pulau Pinang sejak tahun 2008. Ia merangkumi Warga Emas, bayi, OKU, Ibu Tunggal, Ibu yang tidak bekerja, pelajar, pemandu teksi, operator bas sekolah berdaftar, penarik beca, bantuan pukat kepada nelayan dan RM 1,000 kepada mahasiswa-mahasiswi tempatan. AES merupakan pelaksanaan universal basic income (pendapatan asas sejagat) pertama di Malaysia di mana Kerajaan Negeri menghapuskan miskin tegar dengan menjaminkan setiap keluarga menerima RM790 sebulan. Bagi keluarga yang menerima pendapatan yang kurang daripada RM790 sebulan, Kerajaan Negeri akan menambahnya sehingga cukup RM790 setiap bulan. Lebih RM23.2 juta telah dibelanjakan untuk program AES ini sejak ia dimulai pada tahun 2014.

9. Kerajaan Negeri juga prihatin dengan bebanan kewangan yang ditanggung oleh rakyat yang berpendapatan rendah dalam keadaan ekonomi yang merosot dan inflasi tinggi yang naik 5.1% pada bulan Mac, lebih-lebih lagi dengan Cukai GST. Kerajaan Negeri memberikan potongan cukai pintu sebanyak 6% dan pengecualian cukai pintu penuh bagi rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah kampung/bertanah pada tahun 2017. Dengan menambah penyerapan bayaran GST oleh kerajaan tempatan, ini bermakna kedua-dua Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai akan menanggung RM55 juta untuk manfaat rakyat.

10. Semua ini tidak mungkin tercapai tanpa pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) dan kepimpinan bersih yang diterap ke dalam tata kelola Kerajaan Negeri. Urus tadbir CAT membuahkan kejayaan apabila Pulau Pinang berjaya mencatat lebihan bajet sebanyak RM573 juta bagi tempoh 8 tahun dari 2008 hingga 2015. Ini berbanding dengan lebihan bajet terkumpul bagi tempoh 1957-2007 sebanyak RM373 juta untuk 50 tahun. Nilai aset Pulau Pinang pula meningkat hampir sekali ganda dalam tempoh 8 tahun, iaitu dari RM850 juta kepada RM1.6 bilion. Manakala hutang Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menurun 90% sejak tahun 2008 dan berada pada tahap paling rendah dalam negara sebanyak RM66.33 juta pada akhir 2016.

11. Kerajan Negeri akan meneruskan usaha membina infrastuktur asas dan modal insan demi menjaminkan pembangunan ekonomi yang mampan. Sektor pembuatan berada di ambang Revolusi Industri 4.0 yang membabitkan Big Data Analytics, Cloud Computing, E-Commerce, Crowd Sourcing dan Internet of Things. Demi menyertai Industri 4.0, adalah perlu kita membangunkan modal insan yang mencukupi. Tumpuan akan diberikan dalam Pendidikan STEM (Science, Tecnology, Engineering and Maths) demi memastikan Pulau Pinang menjadi pusat kecemerlangan sains dan teknologi.

12. Dalam usaha mentransformasikan Pulau Pinang kepada negeri usahawanan dan kebajikan, pemeliharaan dan perlindungan alam sekitar tidak dilupakan. Pulau Pinang boleh rasa megah kerana merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak menarah atau menyentuh seinci persegi pun hutan simpan kekalnya sejak tahun 2006. Itulah salah satu sebab utama mengapa Pulau Pinang berjaya memastikan bekalan air yang mencukupi. Kejayaan menjadi satu-satunya negeri yang tidak pernah menjalankan catuan air ialah kerana kawasan tadahan air diwartakan dan hutan simpan kekal dijaga sehingga empangan air di Pulau Pinang adalah penuh.

13. Pembangunan Islam di Pulau Pinang yang mendokong kedudukannya sebagai agama Persekutuan tidak diabaikan apabila jumlah peruntukan untuk Hal Ehwal Agama Islam naik 100% selepas tahun 2008 kepada RM457 juta untuk tempoh 2008-2016. Siapnya Kompleks Kehakiman dan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang di Jalan Scotland, atas tanah Kerajaan Negeri bernilai RM80 juta dan perbelanjaan kos pembinaan RM33 juta oleh Kerajaan Persekutuan, merupakan satu lagi kejayaan usaha Tuan Yang Terutama Tun.

14. Membangun dan memakmurkan sesebuah negeri adalah suatu tugas yang mencabar dan merupakan amanah yang sangat berat untuk dipikul. Namun, pekerjaan yang berat ini menjadi ringan apabila dibuat secara bersama dengan semangat berpasukan yang tinggi dalam kalangan pimpinan negeri dan dokongan padu rakyat. Semangat kental rakyat Pulau Pinang membolehkan Kerajaan Negeri membersihkan imej kotor yang lepas kepada Pulau Pinang masa kini yang bersih, hijau, sihat dan selamat.

15. Marilah kita terus mengekalkan Pulau Pinang yang bersih, hijau, sihat dan selamat kini dan selama-lamanya. Justeru, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha-usaha yang lebih positif untuk menjamin perpaduan yang erat antara rakyat berbilang kaum. Saya percaya kemesraan dan keprihatinan Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan terhadap rakyat akan menyemarakkan lagi rasa kasih sayang rakyat kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan.

16. Saya bagi pihak Kerajaan Negeri, penjawat awam dan rakyat keseluruhannya dengan seikhlas hati sekali lagi mengucapkan tahniah dan berikrar taat setia kepada Tuan Yang Terutama Tun. Kerajaan Negeri juga mengucapkan terima kasih kepada warga anggota perkhidmatan awam, badan kehakiman yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya Yang Amat Arif Tan Sri Datuk Wira Ahmad bin Haji Maarop dan pasukan keselamatan daripada pihak Angkatan Tentera, Polis di Raja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Jabatan Penjara atas usaha mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.

17. Akhir kata, kami berdoa semoga Tuhan melimpahkan rahmat kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan agar dikurniakan kesihatan yang baik dan kekuatan untuk terus memimpin negeri ini.

Sekian terima kasih.

LIM GUAN ENG
KETUA MENTERI PULAU PINANG

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang