Program Melepaskan 2 Juta Benih Anak Ikan Di Pantai Tanjong Asam, Bayan Lepas

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang
Sempena Program Melepaskan 2 Juta Benih Anak Ikan Di Pantai Tanjong Asam, Bayan Lepas

30 April 2017


Salam pagi dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur iaitu Bahagian Penerangan Pejabat Ketua Menteri serta PPK Bayan Lepas yang telah bersama-sama dengan Pejabat EXCO Pertanian dan Asas Tani, YB Dr. Afif bin Bahardin, Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya (DBD) serta Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang dalam memastikan program pada pagi ini dapat dijalankan dengan jayanya.

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Syarikat Global Agro Life Sdn Bhd yang berpengkalan di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau kerana sudi menyumbang pelbagai jenis anak ikan dan udang yang keseluruhannya berjumlah lebih kurang RM50,000 untuk dilepaskan di Pantai Tanjong Asam pada hari ini.

Sesungguhnya pembangunan ataupun kemajuan sesebuah negeri/negara tidak akan berlaku dengan usaha satu pihak sahaja. Kerajaan Negeri mengalu-alukan penyertaan terutama daripada syarikat-syarikat swasta untuk terus tampil dalam menjalankan tanggungjawan sosial bersama untuk pembangunan masyarakat setempat. Tahniah dan syabas sekali lagi saya ucapkan kepada Syarikat Global Agro Life Sdn Bhd.

Saya dimaklumkan proses pelepasan benih anak ikan tidak boleh dilepaskan secara serentak. Oleh itu, sebagai simboliknya pada pagi ini, lebih kurang 500,000 benih udang dan lebih kurang 30,000-40,000 benih anak ikan siakap dan ikan merah dilepaskan. Saiz anak ikan yang dilepaskan pada hari ini adalah lebih kurang 2 hingga 3 inci.

Proses pelepasan seterusnya akan dilakukan selepas tempoh 4-5 bulan dan akan diuruskan oleh Syarikat Global Agro Life Sdn Bhd setelah mendapat maklumat dan nasihat daripada Jabatan Perikanan Negeri. Kemungkinan proses pelepasan kedua akan dilakukan di pantai yang berlainan agar kawasan pembiakan ikan dapat diperbesarkan lagi.

Benih-benih udang tersebut akan mengambil masa selama 3 bulan manakala benih-benih ikan pula mengambil masa selama 5 hingga 6 bulan sebelum tempoh matang dan boleh ditangkap. Saya difahamkan, harga pasaran sekarang untuk seekor ikan siakap boleh mencecah sehingga RM50-RM60 seekor.

Saya berharap dalam tempoh tiga hingga empat bulan yang akan datang, hasil tangkapan para nelayan sekitar kawasan Pantai Tanjong Asam dapat ditingkatkan dan seterusnya akan memberi rangsangan baru kepada pendapatan serta pembangunan sosio ekonomi masyarakat nelayan di sekitar.

Pelaksanaan program seumpama ini sekaligus membuktikan Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk memperbaiki taraf hidup semua lapisan masyarakat sama ada peniaga kecil-kecilan, petani (melalui Tabung Usahawan Tani) mahupun nelayan. Kerajaan Negeri PAKATAN HARAPAN adalah kerajaan yang berjiwa rakyat. Semua rakyat tanpa mengira bangsa mahupun agama, kaya atau miskin berhak dan mesti mendapat layanan seadilnya. Kerajaan Negeri bangga untuk menyatakan usaha Kerajaan Negeri untuk membantu para nelayan melalui pemberian bantuan pukat dua kali setahun terus dilaksanakan meskipun sering dikritik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang