MAJLIS PENERANGAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENERANGAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

4.00 petang | Ahad | 14 Mei 2017 | Dewan Sri Mariamman, Butterworth

 

Selamat petang dan selamat sejahtera.

Saya berasa amat gembira untuk berucap di Majlis Penerangan Kerajaan Negeri hari ini yang dianjurkan khas untuk masyarakat India. Pada tahun 2008, tsunami politik telah berlaku di negara kita. Sokongan padu yang telah diberikan oleh masyarakat India adalah merupakan salah satu sebab utama Pakatan Harapan mencapai kejayaan yang besar. Kejayaan seumpama ini telah turut dicapai semasa pilihanraya tahun 2013. Izikanlah saya untuk mengambil kesempatan bagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat India yang masih memberi sokongan padu kepada Pakatan Harapan.

Sebaik sahaja Pakatan Harapan membentuk Kerajaan Negeri di Pulau Pinang pada 2008, kami telah pun memberi pengiktirafan kepada masyarakat India. Untuk kali pertama di negara ini, kita melantik seorang Timbalan Ketua Menteri dari calon berbangsa India. Pakatan Harapan membuat pilihan yang baik. YB. Prof. Dr. P. Ramasamy adalah merupakan Timbalan Ketua Menteri yang berkaliber dan sentiasa prihatin terhadap kesejahteraan serta keperluan masyarakat India di Pulau Pinang.

Aspek pertama yang diberi tumpuan oleh YB. Prof. Dr. P. Ramasamy ialah keadaan sekolah-sekolah Tamil. Di atas nasihat YB. Prof., Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil telah ditubuhkan. Jawatankuasa ini telah membuat kajian terhadap situasi di sekolah-sekolah Tamil dan telah melaporkan bahawa banyak sekolah Tamil yang tidak mempunyai tanah sendiri serta infrastruktur banyak sekolah Tamil juga berada dalam keadaan yang tidak memuaskan kerana merupakan sekolah bantuan modal dan tidak memperolehi peruntukan yang mencukupi daripada Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Pakatan Harapan berazam untuk mengubah situasi tersebut dan telah memberi peruntukan sebanyak RM 1.75 juta untuk sekolah-sekolah Tamil setiap tahun. Kerajaan Negeri juga telah menghulurkan peruntukan kepada tiga buah Sekolah Punjabi setiap tahun. Selain itu, Kerajaan Negeri juga memberi sumbangan sebanyak RM 100 ribu setiap tahun kepada tadika-tadika di sekolah-sekolah Tamil. Peruntukan ini membantu untuk membayar gaji guru-guru di tadika-tadika ini. Selain itu, Kerajaan Negeri juga memberi peruntukan melebihi RM 84 ribu setiap tahun bagi Pendidikan Tamil di Pulau Pinang. Antara cara dana ini digunakan ialah untuk melaksanakan kelas-kelas bahasa Tamil di sekolah-sekolah kebangsaan. Sehingga 2017, Kerajaan Negeri telah memberi peruntukan sejumlah RM 17.09 juta bagi tadika dan sekolah Tamil, Sekolah Punjabi dan Pendidikan Tamil. Tidak lupa juga Kerajaan Negeri telah memberikan tanah kepada 4 buah sekolah Tamil sehingga kini.

Para hadirin sekalian, di sini saya juga ingin memperingatkan kembali bagaimanakah Kerajaan Pakatan Harapan telah berusaha untuk mempertahankan hak masyarakat India di Kampung Buah Pala. Sejak dari awal lagi, azam Pakatan Harapan adalah untuk mengekalkan Kampung Buah Pala. Ramai penduduk Kampuang Buah Pala telah meletakkan harapan kepada Pakatan Harapan. Akan tetapi, sebagai Kerajaan Negeri yang berhemah tinggi, kami perlu akur kepada keputusan mahkamah pada tahun 2009 yang menyebelahi pihak pemaju. Walaupun demikian, Pakatan Harapan tidak melepaskan tangan dalam hal ini. Semua EXCO dan ADUN-ADUN India dan saya sendiri telah memperjuangkan hak penduduk Kampung Buah Pala. Kami telah mengadakan rundingan keras dengan pemaju di mana selagi pemaju tidak menyediakan perumahan alternatif bagi penduduk Kampung Buah Pala , pemaju tidak akan memperolehi kerjasama Kerajaan Negeri. Sebab itulah , pada hari ini, wujudnya perumahan Taman Buah Pala dan penduduk-penduduk Buah Pala dikekalkan di kawasan asal Kampung Buah Pala itu sendiri.

Para hadirin sekalian, selepas tahun 2008 barulah Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang mempunyai bangunannya sendiri dan menerima peruntukan melebih RM 1.1 juta daripada Kerajaan Negeri setiap tahun. Bukan itu sahaja, Kerajaan Negeri juga telah menyumbang tanah-tanah kepada Lembaga Wakaf Hindu Negeri bagi tujuan tahan perkuburan. Lembaga Wakaf Hindu kini telah berubah sebagai badan Kerajaan Negeri dengan urustadbir yang cemerlang dan penyumbang kepada kebajikan dan pendidikan masyarakat India.

Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang berpegang teguh kepada polisi pro-growth, pro-jobs dan pro-poor sentiasa melaksanakan banyak program bagi membantu golongan kurang berada. Program-Program Penghargaan Kerajaan Negeri seperti Warga Emas, Ibu Emas dan sebagainya serta program bantuan seperti Projek Titian Saksama Rakyat dan Program Pembasmian Kemiskinan AES adalah disalurkan kepada calon-calon dari semua kaum di Pulau Pinang. Kami tidak mengenepikan mana-mana kaum.

Kerajaan Pakatan Harapan menghargai semua warga Pulau Pinang yang berusaha untuk memajukan negeri ini. Sebab itulah, kita mempunyai papan tanda jalanraya dalam Bahasa Tamil yang pertama di Malaysia dan kami juga mahu menjadi negeri pertama di Malaysia yang menubuhkan sebuah Sekolah Menengah Tamil. Malangnya hasrat ini tidak mendapat kerjasama daripada Kerajaan Persekutuan dalam hal ini.

Kami juga melantik wanita India yang pertama memegang jawatan Setiausaha Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Dengan ini, para hadirin sekalian , saya ucapkan ribuan terima kasih sekali lagi. Saya turut memohon sokongan masyarakat India kepada Kerajaan Pakatan Harapan Negeri. Bantulah Pakatan Harapan untuk terus membawa martabat kepada masyarakat India dan memperjuangkan hak-hak masyarakat India.

Sekian. Terima Kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang