MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM NEGERI PULAU PINANG BERSAMA YAB KETUA MENTERI BIL 2 TAHUN 2017

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM NEGERI PULAU PINANG BERSAMA YAB KETUA MENTERI
BIL 2 TAHUN 2017

13 JUN 2017 (SELASA)
Paras 5, Grand Ballroom, The TOP, Penang

Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadan Al-Mubarak kepada seluruh warga penjawat awam Negeri Pulau Pinang yang beragama Islam. Semoga dengan kehadiran dan keberkatan bulan yang mulia ini dapat memberi kita semangat dalam meningkatkan kualiti dan produktiviti pentadbiran negeri ini.

Terima kasih kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato' Seri Farizan bin Darus kerana berjaya menganjurkan perhimpunan anggota perkhidmatan awam pada pagi ini dan telah memberikan ucapan yang cukup lengkap yang merangkumi semua aspek yang meliputi prestasi kerja yang diharapkan daripada semua penjawat awam negeri ini.

Saya ingin memulakan ucapan tentang betapa pentingnya setiap anggota penjawat awam Kerajaan Negeri memberikan sumbangan sebagai suatu tanggungjawab dan amanah. Dan tanggungjawab dan amanah ini hanya dapat dilaksanakan sekiranya semua penjawat awam menunjukkan kesungguhan dan keghairahan (passion). Sekiranya semangat ini tiada dalam diri setiap penjawat awam, sukar untuk memperolehi prestasi yang baik.

Seorang pakar ekonomi daripada Itali telah memperkenalkan suatu konsep sejak 100 tahun yang lalu oleh pakar ekonomi , Vilfredo Pareto iaitu dalam apa-apa bidang, biasanya 80% daripada pekerjaan/sumbangan dibuat oleh 20% daripada pekerja itu. Itu adalah konsep 80:20. Secara amnya, untuk apa-apa bidang, 80% daripada pasaran dikuasai oleh 20% daripada syarikat-syarikat. Manakala dalam aspek pekerjaan, 80% kerja yang ada telah dibuat oleh 20% daripada pekerja-pekerja yang ada. Tolong bayangkan sekiranya kita boleh meningkatkan sumbangan daripada 20% kepada 30% atau 40%, betapa banyaknya produktiviti kerja yang dihasilkan.

Ada yang menyatakan sekiranya boleh bertahan di Pulau Pinang, penjawat awam tersebut adalah di kalangan pekerja yang cemerlang. Contohnya Ketua Pengarah JPA atau Ketua Pengarah Pelan Malaysia adalah bekas pegawai di Pulau Pinang. Ini mungkin disebabkan Pulau Pinang mempunyai Ketua Menteri yang mempunyai permintaan yang tinggi yang sentiasa memerhati prestasi yang diberikan.

Kerajaan Negeri ingin memberikan satu lagi peluang (contoh : menukar kad perakam waktu merah kepada kuning) kepada semua penjawat awam supaya menjelang akhir tahun ini, lebih ramai penjawat awam dapat menikmati bonus yang akan diberikan setelah memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh Dato' Seri Farizan. Kita akan membuat reset dengan perkiraan memenuhi syarat kelayakan bonus penuh mulai daripada hari ini.

Dengan syarat- syarat yang tinggi ini mungkin Kerajaan Negeri boleh mempertimbangkan pemberian insentif bonus yang lebih tinggi pada akhir tahun. Diakui kadang- kala, Kerajaan Negeri berasa hampa dengan prestasi yang ditunjukkan oleh penjawat awam negeri yang tidak menghormati jawatan yang telah diamanahkan. Jangan salahkan Kerajaan Negeri sekiranya sesuatu tindakan diambil.

Kerajaan Negeri bertujuan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai model negeri keusahawanan dan kebajikan. Konsep negeri keusahawanan ini membolehkan penjanaan pembangunan ekonomi yang mampan dengan jalinan kerjasama yang erat di antara sektor awam dengan rakan kongsi daripada sektor swasta dan rakyat melalui Public, Private & People Partnership (PPP). Ini bermakna apabila melakukan sesuatu projek, Kerajaan Negeri ingin pastikan rakyat mendapat manfaat daripadanya.

Kejayaan konsep negeri keusahawanan ini terserlah apabila jumlah pelaburan di Negeri Pulau Pinang meningkat sebanyak 73% kepada RM59.2 bilion bagi tempoh 2008-2016 berbanding RM34.2 bilion yang dicatatkan bagi tempoh 1999-2007. Pulau Pinang juga telah menyaksikan kenaikan bilangan peluang pekerjaan sebanyak 15% kepada 139,133 pekerjaan untuk tempoh 2008-2016 berbanding 121,511 pekerjaan pada tahun 1999-2007. Kadar pengangguran di Pulau Pinang juga adalah di antara yang paling rendah di Malaysia yakni hanya 1.6% dan kini terdapat kekurangan pekerja seramai 20,000 di Pulau Pinang.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Urus tadbir Kerajaan Negeri yang telus dan bersih juga telah menyumbang kepada peningkatan lebihan Belanjawan terkumpul sebanyak RM578 juta dalam tempoh lapan (8) tahun pemerintahan (2008-2015) berbanding RM373 juta yang dicapai oleh Kerajaan Negeri sebelum ini untuk tempoh 50 tahun dari tahun 1957-2007.

Aset Pulau Pinang hampir digandakan dalam tempoh 8 tahun dari RM850 juta kepada RM1.6 bilion, sekali lagi mencatat prestasi hebat dalam 8 tahun berbanding 50 tahun sebelum ini. Jumlah hutang Negeri Pulau Pinang juga telah menurun sebanyak 90% sejak tahun 2008 dan berada pada tahap paling rendah dalam negara, iaitu RM65 juta pada akhir 2016. Hutang RM65 juta ini adalah paling kecil berbanding jumlah hutang kesemua 13 negeri yang mencecah RM17.7 bilion.

Prestasi ekonomi Pulau Pinang yang hebat ini juga boleh dilihat melalui transformasi negeri menjadi negeri bersih, hijau, selamat dan sihat. Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang menjalankan kempen pemuliharaan alam sekitar seperti Hari Tanpa Beg Plastik dan kadar kitar semula yang paling tinggi sebanyak 38% berbanding dengan purata kebangsaan sebanyak 20%. Dan sekarang, Kerajaan Negeri giat menjalankan inisiatif pengasingan sisa di punca dan berharap semua penjawat awam negeri ini dapat melaksanakan inisiatif tersebut.

Di samping itu, Pulau Pinang harus bangga ialah kerana menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak sentuh atau kurangkan seinci pun hutan simpan kekal. Pahang dan Kelantan menebang masing-masing 30% daripada hutan simpan kekal yang dihapuskan di Malaysia iaitu sebanyak 161,000 hektar dan 158,000 hektar. Malah negeri paling kecil iaitu Perlis turut menebang sebanyak 167 hektar hutan simpan kekal.

Ini dibuktikan apabila Pulau Pinang tidak pernah menjalankan catuan air kepada penduduk di negeri ini. Dengan pengurusan yang cekap, Kerajaan Negeri dapat pastikan bekalan air di negeri ini mencukupi.

Seperti mana pada tahun-tahun sebelumnya, tanpa mengambil kira kadar bonus yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan yang lazimnya adalah kurang daripada kadar pemberian Kerajaan Negeri, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meluluskan bayaran Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri berjumlah 0.75 bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada semua Anggota Perkhidmatan Awam Negeri. BKK sebanyak 0.75 bulan ini akan dipecahkan kepada dua (2) bayaran iaitu 0.5 bulan gaji kepada semua penjawat awam yang tiada rekod disiplin.

Manakala, tambahan 0.25 bulan gaji lagi akan diberikan kepada penjawat awam yang memuaskan prestasinya seperti tidak mengambil cuti sakit swasta melebihi satu (1) hari, Kad Perakam Waktu (KPW) kekal berwarna kuning dan juga tidak diluluskan Cuti Sakit Tambahan di bawah Peraturan 17(a), Perintah Am Bab C dari tempoh 1 Januari sehingga 15 Jun 2017. Pemberian BKK akan dibayar pada 20 Jun 2017.

Selain penjawat awam, faedah ekonomi yang diperolehi juga turut dikongsi bersama rakyat Pulau Pinang melalui kemudahan-kemudahan dan bantuan yang disediakan khususnya bantuan kewangan sebanyak RM412.63 juta yang telah diagihkan sejak tahun 2008 menerusi program emas Kerajaan Negeri baik untuk warga emas ataupun anak emas.

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Dato' Seri Farizan bin Darus kerana berjaya meneruskan kecemerlangan dengan memperolehi anugerah-anugerah seperi berikut:

(i)Open Gov Recognition Award 2017 (OpenGov Asia special recognition award to State CIO for innovating and leading the journey towards utilising ICT for Good Governance and for effectively and efficiently deliver public services directly to the citizens and business community. This award is an recognition to Penang State for achieving excellence in actionable strategies, initiatives and policies towards enabling Digital Transformation and making best use of ICT within the State of Penang) -Peringkat Kebangsaan

(ii)Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti Tahun 2016 yang telah diaudit pada tahun lalu oleh Jabatan Audit Negara dengan pengiktirafan lima (5) bintang

(iii)Perakuan Sijil Amalan 5S daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk tahun yang ke-6 berturut-turut

(iv)Perakuan pensijilan semula ISO/IEC 27001 untuk Information Security Management System (ISMS) bagi tahun 2016

(v)Penarafan Portal/Laman Web 5 Bintang Tahun 2015/ Provider Based Evaluation (PROBE) - Peringkat Kebangsaan

(vi)Johan APPGENATIONā€“ Pertandingan 24 Jam Membangunkan Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Tahun 2015 - Peringkat Kebangsaan

Ucapan tahniah turut ditujukan kepada Agensi/Jabatan Negeri Pulau Pinang yang telah berjaya memperoleh Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akuantabiliti Tahun 2016 yang telah diaudit pada tahun lalu oleh Jabatan Audit Negara dengan pengiktirafan lima (5) bintang dan empat (4) bintang. 80% Agensi/Jabatan Negeri telah memperoleh penarafan 5 bintang dan menjadikan Negeri Pulau Pinang adalah antara negeri yang terbaik di seluruh Malaysia bagi pencapaian Indeks Akauntabiliti. Berikut merupakan agensi/jabatan yang telah berjaya menerima pengiktirafan:

a)Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (5 bintang)

b)Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang (5 bintang)

c)Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara(5 bintang)

d)Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (5 bintang)

e)Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (5 bintang)

f)Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (5 bintang)

g)Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (5 bintang)

h)Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang (4 bintang); dan

i)Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang (4 bintang)

Kerajaan Negeri juga merakamkan ucapan tahniah kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) atas kejayaan di peringkat antarabangsa dengan mendapat Silver Award dalam kategori Digital Inclusion untuk 3rd WeGO Smart Sustainable City Awards yang akan diserahkan semasa 4th WeGO General Assembly di Ulyanovsk Region, Russia yang akan berlangsung pada 27 hingga 30 Jun 2017. Disamping itu, tahniah juga diucapkan kepada MPSP atas kejayaan di peringkat tempatan di mana MPSP telah menerima dua (2) Anugerah di Malaysia Landscape Arhitecture Awards (MLAA) Gala Dinner Oleh Institute Of Landscape Malaysia (ILAM) pada 22 April 2017 Di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur bagi kategori berikut:

i)Special Honour Award di bawah Government Category: Green Initiatives Awards telah dinobatkan kepada Projek Butterworth Baharu Regeneration Plan:Empowering Community & Public Space; dan

ii)Honour Award di bawah Government Category: Green Initiatives Awards telah dinobatkan kepada Projek Sustainable Milieu Through Green Initiatives: An Approach of Public, People & Private Partnership (4PS)

Tahniah juga kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kerana telah menjadi johan dalam Perhimpunan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan pada 1 Mei yang lalu. Dan juga kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) atas pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Tahniah sekali lagi saya ucapkan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Akhir kata, saya berharap agar semua penjawat awam di negeri ini akan terus menyemarakkan dan melaksanakan tanggungjawab berlanda skan C.A.T. (Cekap, Akauntabiliti, Telus) dan SIKAP (Skill, Integrity, Knowledge, Attitude, Procedure) dalam usaha memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam negeri ini. Saya telah menegaskan bahawa penjawat awam negeri Pulau Pinang dapat menerima manfaat sekiranya kita berjaya mentransformasikan Pulau Pinang kepada sebuah negeri bertaraf antarabangsa. Bonus Raya tahun ini adalah petunjuknya.

Saya juga berharap agar semua penjawat awam Pulau Pinang dapat membantu Kerajaan Negeri dalam menerangkan dasar-dasar kerajaan negeri di samping mentransformasikan negeri ke arah negeri bertaraf antarabangsa, pintar dan bersih. Disamping itu, gandingan dan permuafakatan pemimpin serta rakyat yang lebih erat juga diharapkan dalam merealisasikan aspirasi kerajaan negeri untuk mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan kepada Negeri Pulau Pinang yang tercinta.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang