Program Pelancaran Pengecatan Logo I Love Penang di Flat Mak Mandin 1, Bagan

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang 

Sempena Program Pelancaran Pengecatan Logo I Love Penang di Flat Mak Mandin 1, Bagan

24 September 2017 (Ahad)

 

Terlebih dahulu, saya berasa gembira dapat hadir di sini bagi melancarkan pengecatan logo I Love Penang di Flat Mak Mandin 1, Bagan. Projek pengecatan logo I Love Penang di Flat Mak Mandin 1 ini melibatkan 16 lukisan dalam 4 bahasa dengan kos RM32,704.00.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melancarkan kempen "I Love Penang - Saya Sayang Pulau Pinang; 我爱槟城; நான் பெனாங் நேசிக்கிறேன்" pada 9 Februari 2017. Beberapa program untuk menyemarakkan kempen ini telahpun dianjurkan sempena dengan pelancaran kempen tersebut, antaranya adalah beberapa acara larian I Love Penang di bahagian Pulau dan bahagian Seberang Perai.

Selaras dengan kempen tersebut, Bahagian Perumahan Negeri Pulau Pinang berpendapat bahawa untuk menyemarakan lagi dan memupukkan semangat cinta rakyat terhadap Negeri Pulau Pinang, maka kempen ini juga perlu dipanjangkan kepada skim-skim perumahan awam di Negeri Pulau Pinang.

Dalam pada ini pada 3 Mac 2017, Majlis Mesyuarat Kerajaan telah bersetuju dengan cadangan YB Tuan Jagdeep Singh Deo agar logo "I Love Penang" ataupun "Saya Sayang Pulau Pinang", "我爱槟城" dan "நான் பெனாங் நேசிக்கிறேன்" dicat pada skim-skim perumahan awam di seluruh Negeri Pulau Pinang. Dalam pada itu, Bahagian Perumahan Negeri Pulau Pinang telah mengenal pasti 45 blok skim perumahan awam di kelima-lima daerah Negeri Pulau Pinang untuk ditandakan logo tersebut.

Kos keseluruhan projek ini adalah dijangkakan dalam RM222,590.20 dan tempoh penyiapan keseluruhan projek adalah dijangka siap sepenuhnya pada hujung bulan Oktober, 2017.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang senantiasa memberi keutamaan dalam memastikan skim-skim perumahan yang dibawah seliaannya dalam keadaan yang baik dan selesa dihuni. Dalam pada ini, saya turut difahamkan bahawa kerja-kerja pembaikan keretakan serta lain-lain kerja menaiktaraf adalah satu blok rumah pangsa Mak Mandin 1 yang bernilai RM978,009.92 telah disiapkan pada bulan Julai, 2017. Antara kerja-kerja yang telah dilaksanakan adalah pembaikan keretakan permukaan konkrit, pembaikan bilik air dan dapur, kerja-kerja menggantikan saliran paip air kumbahan, pengecatan semula bangunan dan pembaikan sistem lapisan kalis bumbung.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengharapkan agar seluruh rakyat negeri Pulau Pinang senantiasa berada dalam keadaan selesa, sihat dan harmoni. Kerajaan Negeri akan menghabiskan pengecatan 8 blok rumah pangsa Mak Mandin. Hasil Kerajaan Negeri PH supaya yang lama dan usang boleh jadi yang baik dan baru. Itulah kerja negeri PH!

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang