MAJLIS PECAH TANAH KERJA-KERJA INFRASTRUKTUR BAGI RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM (RIBI) DI AMPANG JAJAR SEBERANG PERAI UTARA, PULAU PINANG

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI 
MAJLIS PECAH TANAH KERJA-KERJA INFRASTRUKTUR BAGI RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM (RIBI) 
DI AMPANG JAJAR SEBERANG PERAI UTARA, PULAU PINANG

1 OKTOBER 2017
-----------------------------------------------------------------------

 

 

Saya gembira untuk hadir di sini hari ini untuk merasmikan Majlis Pecah Tanah Kerja-Kerja Infrastruktur Bagi Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) Di Ampang Jajar Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Projek RIBI ini merupakan inisiatif dan tanggungjawab sosial Kerajaan Negeri, yang berorientasikan rakyat, adalah disediakan untuk penduduk di kawasan khususnya di Butterworth dan Seberang Perai secara amnya. Ini adalah untuk memastikan tanah yang mencukupi untuk RIBI disediakan untuk yang bukan beragama Islam di kawasan pembangunan Seberang Perai.

Saya dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah meluluskan 32 plot di Ampang Jajar, Seberang Perai Utara, dengan jumlah keluasan 21.82 ekar untuk kemudahan RIBI ini. Kontrak ini juga telah diberikan kepada Syarikat Lumson Bina Engineering Sdn Bhd melalui tender terbuka, mengikut prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus).

Untuk makluman para hadirin, kos projek untuk kerja-kerja RIBI ini adalah RM7.9 juta (RM7,949,677.23) yang mana ia dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri, sebagai tanggungjawab dan sumbangan kepada rakyat dan penduduk di Ampang Jajar dan Seberang Perai.

Projek ini dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang sebagai agensi pelaksanaan di mana PDC telah bertanggungjawab untuk merekabentuk, memanggil tender dan kemudian memantau kerja-kerja infrastruktur untuk RIBI ini.

Projek ini bermula pada 23 November 2016 dan tarikh siap dijangka adalah pada 22 Mac 2018. Kerja-kerja pembinaan sekarang adalah 43%. Buat masa ini, kerja-kerja awalan (tapak pembersihan, tapak pejabat), kerja pembinaan parit konkrit, sump dan box culvert sedang dijalankan di tapak.

Kerajaan Negeri memang menegakkan Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan dan penganut bukan Islam memiliki kebebasan beragama. Kerajaan Negeri telah naikkan peruntukan untuk hal ehwal agama Islam sebanyak 84% sejak 2008 berbanding dengan tempoh yang sama oleh kerajaan lama. Demi memartabatkan hak bukan Islam, Kerajaan Negeri berusaha menyelesaikan masalah utama agama bukan Islam - ketidakcukupan tanah dengan menyediakan tapak ini. Apa gunanya ada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan menjaminkan hak kebebasan agama bukan Islam sekiranya tidak ada tanah unuk mendirikan rumah ibadat mereka? Adalah diharapkan negeri-negeri lain memberikan tanah atau kelulusan membina rumah ibadat bukan agama Islam supaya hak kebebasan beragama bolehlah dilaksanakan seperti di Pulau Pinang. Ini membuktikan Kerajaan Negeri cakap serupa bikin dan tunaikan janji dengan menghormati hak kebebasan beragama bukan Islam.

Satu lagi perkara ialah menjawab kritikan pihak tidak bertanggungjawab yang mempersoalkan mengapa Tapak RIBI ini dibina 100 kaki daripada tapak pembetungan. Mengapa mereka ini tidak mempersoalkan cadangan Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 21 Julai 2017 untuk membina rumah kediaman bukan 100 kaki daripada tapak pembetungan tetapi di atas tanah pembetungan sendiri? Jelas sekali, golongan ini berniat jahat untuk mengagalkan usaha murni Kerajaan Negeri dan tidak harus diambil peduli langsung.

Dengan ini, saya dengan sukacitanya ingin merasmikan MAJLIS PECAH TANAH KERJA-KERJA INFRASTRUKTUR BAGI RUMAH IBADAT BUKAN ISLAM (RIBI) DI AMPANG JAJAR SEBERANG PERAI UTARA, PULAU PINANG.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang