MAJLIS PELANCARAN PROGRAM KE ARAH PEWARTAAN LARANGAN MEROKOK DI KAWASAN BUKIT BENDERA

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang 
Sempena Majlis Pelancaran Program Ke Arah Pewartaan Larangan Merokok 
Di Kawasan Bukit Bendera

1 Oktober 2017

 

 

Saudara-saudari yang saya hormati sekalian

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan Perbadanan Bukit Bendera (PBBPP) kerana sudi menjemput saya bagi Majlis Pelancaran Program Pewartaan Larangan Merokok pada hari ini.

Seperti yang sedia maklum, Program Ke Arah Pewartaan Larangan Merokok di Kawasan Bukit Bendera adalah salah satu langkah inisiatif Kerajaan Negeri dalam melindungi penduduk negeri Pulau Pinang khususnya dari bahaya asap rokok bagi memastikan kualiti dan persekitaran hijau yang sentiasa bersih dan segar. Program ini juga adalah hasil kerjasama bersama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dalam memperluaskan skop Program Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (PENBAR).

Bukit Bendera telah mencatatkan lebih kurang sebanyak 1.6 juta pengunjung pada tahun 2016. Manakala pada bulan Januari – Ogos tahun 2017, Bukit Bendera telah menerima bilangan pegunjung sebanyak 1,048,740 berbanding pada bulan Januari – Ogos tahun 2016, sebanyak 936,846 jumlah pengunjung telah melawat Bukit Bendera. Perkara ini menunjukkan bahawa terdapat peningkatan jumlah pegunjung pada tempoh masa yang sama ke Bukit Bendera pada tahun 2017 iaitu sebanyak 11.9% berbanding pada tahun 2016. Bukit Bendera memang menuju ke matlamat menjadi bukit peranginan pilihan umum di Malaysia.

Enam (6) taman awam dan rekreasi di sekitar Pulau Pinang telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 22, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 pada 2 Oktober 2012 iaitu Empangan Air Itam, Taman Perbandaran, Taman Botani, Empangan Teluk Bahang, Taman Bandar Ampang Jajar, dan Empangan Mengkuang. Usaha murni ini diteruskan dengan memperluaskan lagi kawasan larangan merokok di bawah Program Pulau Pinang Bebas Asap Rokok (PENBAR) dengan mewartakan Tapak Warisan Dunia George Town (Georgetown World Heritage Site) sebagai kawasan larangan merokok pada 4 Julai 2015. Sehubungan dengan itu, kita juga berhasrat untuk menjadikan Bukit Bendera sebagai kawasan larangan merokok.

Pada awal tahun ini, berkuatkuasa pada 1 Februari 2017, di bawah Peraturan 11 (1), Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 pindaan 2017, semua Taman Awam dan Taman Negara di Malaysia telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

Disamping permohonan kawasan larangan merokok, Perbadanan Bukit Bendera juga dalam proses permohonan untuk mewartakan Bukit Bendera dan kawasan sekelilingnya sebagai Unesco Biosphere Reserve. Maka, dengan kedua-dua usaha ini akan menjadikan Bukit Bendera sebagai tempat pelancongan yang terunggul di Malaysia dan Asia.

Saya dengan sukacitanya melancarkan Program Ke Arah Pewartaan Larangan Merokok Di Kawasan Bukit Bendera.

Sekian, terima kasih.