MAJLIS PERASMIAN PEMASANGAN & MENYALAKAN LAMPU JALAN DI LALUAN TREK JOGGING SUNGAI PERTAMA, SEBERANG JAYA (BERDEKATAN SAFIRA COUNTRY CLUB)

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PEMASANGAN & MENYALAKAN LAMPU JALAN DI LALUAN TREK JOGGING SUNGAI PERTAMA, SEBERANG JAYA
(BERDEKATAN SAFIRA COUNTRY CLUB)

18 OKTOBER 2017, 6:45 PETANG
------------------------------------------------------------------------------

 

Selamat petang dan salam sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua yang meraikannya pada hari ini. Terima kasih juga kerana sudi menjemput saya untuk merasmikan projek pemasangan dan menyalakan lampu jalan di trek jogging yang terletak bersebelahan dengan Sungai Pertama, Seberang Perai.

Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah memulakan kerja-kerja pemasangan 20 batang (tiang konkrit) dan 11 unit lampu awam (150 watt) sepanjang 626 meter di laluan trek jogging ini. Kerja-kerja pemasangan ini bermula pada 27 September 2017 dan siap pada 13 Oktober yang lalu. Kos projek adalah sebanyak RM 60,500.

Saya percaya selepas ini kawasan ini akan dapat menarik minat orang ramai untuk beriadah memandangkan keadaan persekitaran yang lebih selamat kerana dilengkapi dengan kemudahan pencahayaan lampu awam. Pemasangan lampu ini dapat memastikan persekitaran dan keadaan yang lebih selamat kepada para pengguna.

Selain keadaan yang lebih selamat dengan tambahan pencahayaan, laluan ini juga akan menjadi lebih indah kerana pada 27 Ogos 2017 semasa Program Penanaman Pokok Tabebuia SPP (Tecoma) sempena Sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-60, sebanyak 684 pohon pokok tecoma telah di tanam sepanjang laluan ini. Syabas kepada MPSP.

Ini sememangnya selaras dengan prinsip Kerajaan Negeri yang ingin memastikan Pulau Pinang untuk terus kekal sebagai negeri yang paling bersih, hijau, selamat dan sihat. Seperti mana yang semua sedia maklum, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang tidak pernah menebang hutan simpanan kekal walau seinci pun daripada 544.011 hektar hutan simpan kekal yang telah ditebang di Semenanjung Malaysia dalam tempoh 10 tahun yang lalu.

Negeri Pahang merupakan negeri yang menebang paling banyak hutan simpan kekal iaitu sebanyak 161,379 hektar, diikuti oleh Negeri Kelantan iaitu sebanyak 157,919 hektar. Malah negeri terkecil di Malaysia iaitu Perlis turut menebang sebanyak 167 hektar Hutan Simpan Kekal.

Dengan itu, saya merasmikan projek pemasangan lampu jalan di trek jogging Sungai Pertama, Seberang Jaya.

Sekian, terima kasih.