MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM NEGERI PULAU PINANG BERSAMA YAB KETUA MENTERI BIL.3 TAHUN 2017

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM NEGERI PULAU PINANG

BERSAMA YAB KETUA MENTERI BIL.3 TAHUN 2017

20 DISEMBER 2017 (RABU)
Paras 5, Grand Ballroom, The Top, Penang

 

MENGAPLIKASIKAN INDUSTRI 4.0 DENGAN MENGGUNAKAN DAN MENGUASAI DATA

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK) kerana berjaya menganjurkan Majlis Perhimpunan YAB Ketua Menteri Bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang Tahun 2017 yang menjadi satu platform penting di antara Pemimpin Tertinggi Kerajaan Negeri dan Warga Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang untuk mempertingkatkan sistem penyampaian kepada rakyat. Ia juga penting untuk memperbaharui azam dan tekad menjadikan urustadbir CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) sebagai asas bagi mentransformasikan perkhidmatan awam kepada pentadbiran bertaraf antarabangsa yang bersih, inovatif dan berkesan.

Ini adalah perjumpaan berkala yang diadakan 2 atau 3 kali setahun. Kerajaan Negeri tidak menganjurkan perjumpaan secara bulanan seperti yang diamalkan oleh negeri-negeri lain. Saya yakin Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Dato Seri Farizan dapat mengendalikannya memandangkan beliau merupakan seorang pegawai kanan contoh terbaik Kerajaan Negeri. Ini dapat dicerminkan daripada pelbagai kemenangan dan pengiktirafan yang diperolehi oleh jabatan-jabatan Kerajaan Negeri hampir setiap tahun.

Kerajaan Negeri bangga apabila Pulau Pinang sekali lagi menjadi jaguh di seluruh negeri dalam Indeks Akauntabiliti, mengulangi kejayaan yang pertama kali diterima pada tahun 2015.

Saya difahamkan bahawa pada hari ini anugerah yang bakal disampaikan adalah untuk Anugerah Kecemerlangan dan Pencapaian Terbaik kepada Jabatan-Jabatan Negeri serta Anugerah Penarafan Indeks Akauntabiliti Tahun 2016 kepada 8 jabatan yang berjaya memperolehi taraf 5 bintang. Kejayaan ini adalah mengulangi prestasi Indeks Akauntabiliti yang dicapai pada tahun 2015.

Antara jabatan tersebut adalah seperti berikut:

(i) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

(ii) Jabatan Kewangan Negeri

(iii) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang

(iv) Pejabat Daerah Dan Tanah Seberang Perai Utara

(v) Pejabat Daerah Dan Tanah Seberang Perai Tengah

(vi) Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang

(vii) Majis Agama Islam Negeri Pulau Pinang

(viii) Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang

Tahniah dan syabas sekali lagi saya ucapkan kepada semua.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Tahun 2017 hampir melabuhkan tirainya. Tahun ini juga merupakan tahun yang amat bermakna dan mencabar bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandangkan pelbagai pencapaian, cabaran dan rintangan telah kita hadapi sepanjang tahun ini.

Beberapa musibah telah melanda negeri ini. Tetapi cabaran paling besar berlaku pada tanggal 4 dan 5 November 2017, apabila Pulau Pinang telah dilanda bencana angin ribut kencang dan banjir yang terburuk dalam sejarah negeri sehingga meragut nyawa 7 orang. Bukan sekadar penurunan hujan yang amat lebat sebanyak 372mm iaitu satu setengah bulan hujan turun dalam tempoh 15 jam sahaja. Begitu juga dengan angin kencang yang mencecah kelajuan 40 batu sejam sehingga jentera berat seperti feri telah ditolak ke darat dan tersadai di atas jeti konkrit. Air banjir daripada Kedah juga turut melimpah masuk ke Pulau Pinang sehingga menyebabkan banjir sungguhpun tiada hujan lebat turun di kawasan Seberang Perai. Selain daripada banjir meluas, terdapat ratusan kejadian tanah runtuh di kawasan tanpa pembangunan seperti Hutan Simpan Kekal Cerok Tok Kun dan Bukit Bendera.

Bencana alam ini satu hakikat yang perlu dihadapi oleh semua rakyat di Pulau Pinang dan saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak termasuk Jabatan/Agensi Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan, NGO, JKKK, agensi swasta dan seluruh penduduk Pulau Pinang yang telah bertungkus-lumus dalam menyelamatkan Pulau Pinang dalam kejadian banjir yang dahsyat ini. Ada sesetengah pegawai yang rumah mereka turut dilanda banjir tetapi masih berkorban untuk keluar bagi membantu mangsa-mangsa banjir di luar sana. Kerajaan Negeri telah menggerakkan seluruh jentera yang ada bagi menghadapi panca bencana ini. Pulau Pinang berjaya dipulihkan dalam tempoh 10 hari selepas musibah yang melanda negeri ini. Suatu rekod pencapaian yang boleh dibanggakan. Sekarang, kita hanya menunggu pengumuman daripada Kerajaan Persekutuan mengenai bantuan kewangan kepada mangsa banjir yang masih dinanti-nantikan sehingga hari ini dan RM1 bilion projek tebatan banjir yang telah diluluskan tetapi masih belum dikeluarkan wang.

Kerjasama antara rakyat berbilang kaum di negeri ini sangat menyentuh hati. Kesanggupan pihak surau memberikan bantuan kepada orang bukan Islam dan sebuah tokong Cina di Bukit Mertajam yang memberikan perlindungan kepada orang Islam telah membuktikan semangat perpaduan yang tulen di kalangan rakyat negeri ini. Ini sekaligus memberikan keyakinan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri untuk Pulau Pinang bangkit kembali.

Kesanggupan Kerajaan Negeri menangani bencana alam sekitar ini telah membuktikan bahawa kita tidak elak, tidak hilang, tidak sembunyi dan tidak lari tetapi sentiasa bersama rakyat dalam menghadapi sebarang masalah.

Kerajan Negeri juga telah mengambil inisiatif dengan mengumumkan program “Pulau Pinang Bangkit” yang bernilai RM105 juta seminggu selepas kejadian banjir terburuk ini dengan tujuan untuk membantu pemulihan dan pembinaan semula kehidupan mangsa pasca bencana angin ribut kencang dan banjir terburuk dalam sejarah yang melanda Pulau Pinang.

Di bawah program “Pulau Pinang Bangkit' ini, setiap mangsa telah diberikan RM700 secara “one-off”, potongan bil air kepada semua pengguna domestik sebanyak 50% dan pengguna komersil sebanyak 25% untuk 2 bulan, potongan 10% cukai pintu dan pengecualian penuh 100% cukai pintu untuk semua penghuni rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah kampung untuk tahun hadapan.

Seperti mana yang semua sedia maklum, Kerajaan Negeri pada 16/12/2017 yang lalu telah membayar RM33.9 juta kepada 48,424 mangsa iaitu bayaran terbesar yang dibayar dalam sejarah Malaysia kepada mangsa banjir. Tahniah kepada semua pihak yang menjayakannya.

Menyoroti kisah kejayaan dan pengiktirafan yang telah dikecapi oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pada tahun 2017 telah menyaksikan Negeri Pulau Pinang telah tersenarai di tangga kedua dalam CNN.com sebagai antara 17 lokasi terbaik yang perlu dilawati bagi tahun ini. Kerajaan Negeri juga telah mempelbagaikan usaha dan komitmen untuk membangunkan sektor pelancongan dan penjagaan kesihatan supaya Pulau Pinang dapat menambah sumber ekonomi. Artikel di Internationalliving.com bertarikh 5 Januari 2017 bertajuk '4 Countries with Best Healthcare in The World 2017', Bandaraya George Town telah mendahului Bandaraya Kuala Lumpur sebagai 2 lokasi di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terbaik di dunia. Dan yang paling terkini, surat khabar United Kingdom (UK) iaitu The Guardian pada 16 Disember 2017 dalam satu rencana khas telah memuji Pulau Pinang sebagai salah satu tempat yang paling baik untuk makan dan minum dan hotel terbaik.

Bagi tempoh 2008 hingga September 2017, Pulau Pinang telah mencatatkan pelaburan sebanyak RM69 bilion, peningkatan sebanyak 86.5% berbanding dengan tempoh 10 tahun sebelumnya, iaitu dari 1998 ke 2007, sebanyak RM37 bilion. Pulau Pinang merangkul tempat kedua bagi jumlah pelaburan keseluruhan di Malaysia bagi tempoh Jan-Sep 2017 apabila mencatatkan pelaburan sebanyak RM9.9 bilion. Pulau Pinang juga telah menongkah arus apabila jumlah pelaburan yang diluluskan telah meningkat daripada RM3.9 bilion pada Jan-Sep tahun 2016 kepada RM9.9 bilion bagi tempoh yang sama iaitu peningkatan sebanyak 154%.

Sektor pelancongan juga telah berkembang dengan pembukaan hotel-hotel baru dan kadar penginapan yang lebih tinggi. Ini dapat dilihat apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) telah melebihi kapasiti 6.5 juta penumpang 4 tahun lebih awal dengan 6.7 juta orang penumpang pada tahun 2016. Mujurlah YAB Perdana Menteri telah mengumumkan projek pembesaran LTAPP dalam Bajet 2018 daripada 6.5 juta kepada 12 juta penumpang. Terima kasih kepada YAB Perdana Menteri.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Setelah 10 tahun mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak tahun 2008, kini Pulau Pinang telah menjadi Negeri Keusahawanan dan Kebajikan dalam merangsang ekonomi negeri. Negeri keusahawanan ini menyaksikan pelbagai kerjasama antara pihak-pihak berkepentingan utama dalam sektor ekonomi dan sosial serta perkongsian antara sektor awam, swasta dan rakyat ataupun dikenali sebagai 3Ps Partnership: Public, Private and People.

Pulau Pinang juga telah berjaya memangkin pertumbuhan ekonomi dengan pelaksanaan pentadbiran CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus). Pencapaian Kerajaan Negeri dalam pembangunan ekonomi melalui dua tunjang utama iaitu sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan telah menyumbang lebih 95% KDNK per kapita Pulau Pinang. Hasil daripada itu, KDNK per kapita di Pulau Pinang telah meningkat daripada RM33,597 pada tahun 2010 kepada RM47,322 sehingga tahun 2016.

Kadar pengangguran di Pulau Pinang juga berada pada kedudukan kedua terendah di negara ini iaitu pada tahap 2.1%. Dalam Laporan Ketua Audit Negara 2016 yang baru diumumkan, Pulau Pinang mengekalkan rekod cemerlang dengan mencatat lebihan/keuntungan setiap tahun dengan keuntungan sebanyak RM89.2 juta bagi 2016, iaitu kenaikan RM17.4 juta berbanding dengan keuntungan sebanyak RM71.8 juta pada 2015.

Ini bermakna keuntungan Kerajaan Negeri secara terkumpul sejak 2008 adalah RM667 juta berbanding dengan RM105.7 juta untuk tempoh 9 tahun yang sama sebelum 2008. Jumlah RM667 juta adalah lebih daripada jumlah RM373 juta oleh Kerajaan Negeri lama selama 50 tahun dari 1957 hingga 2007. Rizab aset pula meningkat hampir RM1 bilion kepada RM1.83 bilion, dan hutang negeri telah dikurangkan sebanyak 90% kepada RM 68 juta pada akhir 2016, iaitu jumlah hutang paling rendah di Malaysia berbanding dengan negeri Pahang yang hutang RM3.1 bilion atau Kelantan yang hutang RM1.5 bilion. Pengurangan hutang Kerajaan Negeri sebanyak 90% merupakan rekod yang terbesar dalam sejarah Malaysia. Inilah dividen anti-rasuah yang dapat dinikmati oleh semua.

Seramai 1.6 juta rakyat Pulau Pinang telah menerima faedah dan manfaat melalui 'dividen anti rasuah' atau bantuan kewangan sebanyak RM412.36 juta yang telah diagihkan setiap tahun sejak 2008 melalui pelbagai program emas Kerajaan Negeri.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Pada 2 November yang lalu, saya telah membentangkan Belanjawan 2018 dengan tema 'Belanjawan Marhaen'. Kerajaan Negeri telah memperkenalkan beberapa dasar baharu Belanjawan Marhaen 2018 yang bertujuan untuk membantu meringankan beban kewangan rakyat di Pulau Pinang. Antara dasar baharu yang diperkenalkan adalah seperti berikut:

(i) Kad pintar “I-Love-Penang” untuk pelbagai kemudahan dan faedah sosial negeri Pulau Pinang

(ii) Sebanyak RM15 juta diperuntukkan untuk perkhidmatan bas percuma ketika waktu puncak untuk menggalakkan lebih ramai orang menggunakan perkhidmatan awam. Kerajaan Negeri turut menyediakan perkhidmatan bas yang dikenali sebagai BEST KOMTAR kepada penjawat awam yang bertugas di Komtar. Sehingga Disember 2017, terdapat 7 buah bas disediakan dengan bayaran serendah RM50 sebulan. 3 buah bas bermula dari Bertam, Kepala Batas, 3 bas dari Seberang Jaya (Sunway Carnival) dan sebuah bas dari Jawi. Sebuah bas dari Balik Pulau akan bermula pada 2 Januari 2018

(iii) RM300 one-off kepada pelajar Pulau Pinang tahun pertama yang diterima masuk ke sekolah vokasional tempatan di Malaysia

(iv) RM2 juta setahun untuk kelas pengekodan komputer percuma untuk 100,000 anak negeri Pulau Pinang yang akan dikelolakan oleh Kluster Sains Pulau Pinang

(v) RM60 juta di bawah Program Penang Sihat untuk isi rumah berpendapatan bawah RM5,000 sebulan. RM300 akan dikreditkan ke dalam kad I-Love-Penang untuk membayar yuran perkhidmatan (RM50 setiap lawatan). Individu yang tidak berkahwin dengan pendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan akan mendapat kredit RM150 setahun

(vi) RM15 juta bantuan penjagaan anak untuk ibu berkerjaya. Semua ibu berkerjaya sehingga usia 60 tahun dengan anak sehingga usia enam (6) tahun akan dibayar insentif tunai sebanyak RM300 setahun

(vii) Pembayaran untuk program penghargaan warga emas dan OKU dinaikkan daripada RM100 kepada RM130

Kerajaan Negeri telah bersetuju dengan bayaran Bantuan Khas Kewangan Kedua (BKK-2) Tahun 2017 sebanyak RM2,000 tunai kepada mereka yang mempunyai rekod disiplin yang baik manakala RM1,000 tunai akan diberikan sekiranya mempunyai rekod disiplin dan bantuan ini akan dibayar pada hari ini, 20 Disember 2017, dan bukannya tahun depan seperti yang diamalkan oleh kerajaan persekutuan. Pembayaran BKK-2 sebanyak RM300 turut diberikan kepada Penyelia dan Guru KAFA, Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat serta Guru dan Staf Sekolah Persendirian Cina Negeri Pulau Pinang. Manakala kepada Guru Tahfiz, Guru Pondok dan Guru Tadika Islam (TADIS) Negeri Pulau Pinang akan menerima pembayaran BKK-2 sebanyak RM200.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Selain usaha-usaha kebajikan rakyat negeri ini, Kerajaan Negeri turut akan memberikan tumpuan kepada perancangan masa hadapan. Dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0, Kerajaan Negeri turut tidak ketinggalan dalam memastikan semua penjawat negeri menguasai dan mendalami Revolusi Industri 4.0 ini. Sememangnya Revolusi Industri 4.0 ini telah mengubah cara hidup kita.

Oleh sebab itu, kita tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menguasai teknologi ini. Atas sebab itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM75 juta untuk pembelajaran dan pembangunan STEM (Science, Technology, Engineering & Mathematics). Di antaranya ialah pembinaan Perpustakaan Digital yang pertama di Malaysia iaitu perpustakaan digital sepenuhnya yang tidak mempunyai sebuah buku pun.

Atas sebab itu juga, Kerajaan Negeri telah meluluskan RM6 juta untuk 3 tahun bagi memberikan pendedahan dengan coding classes kepada lebih kurang 100,000 pelajar sekolah.

Revolusi Industri 4.0 meliputi ilmu pengetahuan yang berasaskan pengumpulan dan analisa data menerusi komputer khususnya Big Data Analytics, Cloud Computing, Artificial Intelligence (AI), Robotics, Internet of Things dan E-Commerce.

Memandangkan Pulau Pinang tidak mempunyai sumber semulajadi yang lain, kita harus menguasai Revolusi Industri 4.0 ini dalam meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam negeri. Mana-mana negeri/negara yang gagal mempelajari teknologi ini akan pasti ketinggalan.

Saya ingin mengambil contoh artificial intelligence dan bagaimana aplikasi ini dapat membantu kita dalam menyelesaikan beberapa permasalahan? Di dalam artificial intelligence ini terdapat satu sektor penting yang dikenali sebagai machine learning. Machine learning ini akan menyediakan ramalan nyata dan menganalisis data dengan tepat. Sistem pengkomputeran akan mengkaji dan meneliti data-data bagi mengenalpasti corak (pattern) dan membuat ramalan tanpa menggunakan sebarang program. Ramalan itu membolehkan kita mengambil langkah-langkah pencegahan dan digunakan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang boleh meraih keuntungan yang berlipatkali ganda. Semua syarikat komputer gergasi seperti Google, Facebook, UBER dan AirBNB menggunakan aplikasi AI ini untuk membangunkan perniagaan mereka.

Saya berharap agar semua penjawat awam negeri ini dapat menyedari akan kepentingan Industri 4.0. Kerajaan Negeri juga akan menggunakan aplikasi artificial intelligence ini untuk melaksanakan sistem pengawalan dinamik bagi membanteras wabak denggi yang semakin berleluasa masa kini. Machine learning ini akan menyediakan ramalan dan menganalisis data mengenai geo-lokasi dan masa yang tepat untuk wabak denggi ini bagi membolehkan pihak berkuasa tertentu untuk menyasarkan kawasan wabak pada masa hadapan dengan berkesan dan dengan itu dapat mengambil tindakan pencegahan yang perlu termasuk fogging dan menghapuskan tapak pembiakan nyamuk aedes.

Akhir kata, saya berharap agar semua penjawat awam di negeri ini akan terus menyemarakkan dan melaksanakan tanggungjawab berlandaskan CAT (Cekap, Akauntabiliti, Telus) dan SIKAP (Skill, Integrity, Knowledge, Attitude, Procedure) dalam usaha memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam negeri ini. Saya juga berharap agar semua penjawat awam Pulau Pinang dapat membantu Kerajaan Negeri dalam menerangkan dasar-dasar Kerajaan Negeri dalam usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri keusahawanan dan kebajikan yang bersih, hijau, sihat dan selamat.

LIM GUAN ENG

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang