JAMUAN MAKAN MALAM DAN PENGHARGAAN KEPADA PETUGAS-PETUGAS MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG YANG TERLIBAT DALAM OPERASI PEMBERSIHAN BANJIR

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA JAMUAN MAKAN MALAM DAN PENGHARGAAN KEPADA PETUGAS-PETUGAS

MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG YANG TERLIBAT DALAM OPERASI PEMBERSIHAN BANJIR

20 DISEMBER 2017 (RABU)
SETIA SPICE CONVENTION CENTRE (sPICE)

 

Bangkit Bangkit, Bangkit Pulau Pinang

Hidup Hidup, Hidup Rakyat

Kita amat bersyukur dapat bersama-sama meraikan Majlis Penghargaan kepada petugas-petugas Majlis Bandaraya Pulau Pinang, yang telah bertungkus lumus, siang dan malam berusaha untuk sama-sama memulihkan keadaan dan mengembalikan kebangkitan sinar Negeri Pulau Pinang berikutan bencana banjir baru-baru ini.

Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia, pihak Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Pejabat Tanah dan Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kerja Raya serta NGO-NGO seperti Tzu Chi yang turut terlibat dalam pembersihan pasca banjir ini samada secara langsung atau tidak langsung.

Bencana yang paling teruk ini dicerminkan dengan kelebatan hujan yang amat tinggi di beberapa tempat. Pulau Pinang mengalami tempias Taufan Damrey yang sebelum ini telahpun melanda Vietnam dan mengorbankan sekurang-kurangnya 19 orang di sana.

Pulau Pinang telah dilanda bencana angin ribut kencang dan banjir yang terburuk dalam sejarah negeri sehingga meragut nyawa 7 orang. Bukan sekadar penurunan hujan yang amat lebat sebanyak 372mm iaitu satu setengah bulan hujan turun dalam tempoh 15 jam sahaja. Begitu juga dengan angin kencang yang mencecah kelajuan 40 batu sejam sehingga jentera berat seperti feri telah ditolak ke darat dan tersadai di atas jeti konkrit. Air banjir daripada Kedah juga turut melimpah masuk ke Pulau Pinang sehingga menyebabkan banjir sungguhpun tiada hujan lebat turun di kawasan Seberang Perai. Selain daripada banjir meluas, terdapat ratusan kejadian tanah runtuh di kawasan tanpa pembangunan seperti Hutan Simpan Kekal Cerok Tok Kun dan Bukit Bendera.

Saya difahamkan seramai 1,748 kakitangan MBPP dari pelbagai Jabatan turut serta dalam kerja-kerja operasi pembersihan pasca banjir. Walaupun ada di antara kakitangan ini yang rumah mereka sendiri terlibat dengan bencana banjir tetapi sanggup hadir memberi bantuan bersama-sama dalam kerja-kerja pembersihan. Syabas saya ucapkan kepada kakitangan-kakitangan ini. Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada YBhg. Datuk Bandar MBPP kerana telah mengambil tindakan pantas untuk membuka Pusat Operasi Banjir di Jalan Patani, Pulau Pinang.

Atas usaha menggerakkan jentera sebuah Kerajaan Negeri, Pulau Pinang berjaya dipulihkan dalam tempoh 10 hari selepas musibah yang melanda negeri ini. Suatu rekod pencapaian yang boleh dibanggakan. Kerajaan negeri masih tunggu dengan penuh harapan bantuan banjir daripada kerajaan persekutuan, bukan sahaja meluluskan projek tebatan banjir sebanyak RM1 bilion tetapi juga bantuan kewangan RM500 kepada setiap mangsa banjir sama seperti yang dibayar kepada mangsa banjir di negeri lain.

Tidak boleh diterima langsung bahawa di antara tahun 2013-2017, daripada RM235 juta bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan kepada mangsa banjir, Pulau Pinang hanya menerima RM35,500 atau 0.015% sahaja. Mengapakah rakyat Pulau Pinang didiskriminasikan sungguhpun mereka juga rakyat Malaysia? Adalah diharapkan kerajaan perseketuan boleh ketepikan kepentingan politik demi rakyat dan bantu mangsa banjir negeri Pulau Pinang, sepertimana yang dilakukan oleh kerajaan negeri pada hari ini.

Kerjasama antara rakyat berbilang kaum di negeri ini sangat menyentuh hati. Kesanggupan pihak surau memberikan bantuan kepada orang bukan Islam dan sebuah tokong Cina di Bukit Mertajam yang memberikan perlindungan kepada orang Islam telah membuktikan semangat perpaduan yang tulen di kalangan rakyat negeri ini. Ini sekaligus memberikan keyakinan kepada kepimpinan Kerajaan Negeri untuk Pulau Pinang bangkit kembali.

Kesanggupan Kerajaan Negeri menangani bencana alam sekitar ini telah membuktikan bahawa kita tidak elak, tidak hilang, tidak sembunyi dan tidak lari tetapi sentiasa bersama rakyat dalam menghadapi sebarang masalah.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperkenalkan program “Pulau Pinang Bangkit” sebanyak RM105 juta untuk membantu dalam pemulihan dan pembinaan semula kehidupan rakyat. Di bawah Program "Pulau Pinang Bangkit", Kerajaan Negeri membayar wang ihsan sebanyak RM700 secara “one-off” kepada setiap keluarga mangsa banjir, potongan bil air kepada semua pengguna domestik sebanyak 50% dan pengguna komersil sebanyak 25% untuk 2 bulan, potongan 10% cukai pintu dan pengecualian penuh 100% cukai pintu untuk semua penghuni rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah kampung untuk tahun hadapan.

Sungguhpun pemberian wang ihsan ini tidak seberapa, pemberian ini adalah paling besar dibayar oleh mana-mana Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan dengan berkongsikan hasil yang ada untuk meringankan beban rakyat. Kerajaan Negeri mampu membayar wang ihsan ini hasil daripada pentadbiran yang Cekap, Akauntabiliti dan Telus serta kepimpinan yang bersih yang membolehkan keuntungan dikecapi setiap tahun.

Izinkan saya akhiri ucapan ini dengan rangkapan pantun:-

Pergi mendaki Gunung Pulai
Mendaki gunung bukanlah senang
Khidmat tuan/puan tidak ternilai
Segala jasa tetap dikenang

Buah durian tajamnya duri
Enak dimakan hendak lagi
Terima kasih saudara saudari
Panjang umur berjumpa lagi

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang