MAJLIS PENERIMAAN JAWATAN AHLI MAJLIS MPSP TAHUN 2018

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PENERIMAAN JAWATAN AHLI MAJLIS MPSP TAHUN 2018

2 JANUARI 2018
DEWAN KENANGA, IBU PEJABAT MPSP

 

……………………………………………………………………………

Selamat pagi dan salam sejahtera.

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana telah diberi kesempatan sekali lagi di dalam Dewan Kenanga, MPSP dalam Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis MPSP tahun 2018.

Di kesempatan ini, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Majlis – Ahli Majlis MPSP seramai 24 orang yang telah dilantik semula untuk meneruskan perjuangan kita dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh penduduk Seberang Perai. Disebabkan itu, berdasarkan kuasa yang diberi di bawah Seksyen 10 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976, Pihak Berkuasa Negeri telah melantik semula semua Ahli Majlis MPSP sedia ada untuk berkhidmat semula mulai 1 Januari 2018 sehingga 30 Jun 2018.

Seperti yang kita semua sedia maklum, pada tahun 2017 yang lalu MPSP telah memperolehi pelbagai pencapaian serta anugerah sama ada di peringkat negeri, kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa. Hal ini menunjukkan bahawa MPSP begitu komited untuk meningkatkan perkhidmatan kepada penduduk Seberang Perai dengan memberi perkhidmatan yang berkualiti sehingga diiktiraf di pelbagai peringkat.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

MPSP mensasarkan untuk menjadi sebuah bandaraya rendah karbon dan bandaraya pintar menjelang tahun 2022.

Selain itu, bagi melengkapkan Seberang Perai sebagai sebuah bandaraya pintar pula, MPSP sedang menerokai Revolusi Industri 4.0 yang merangkumi Analisa Data Besar (Big Data Analytics - BDA), Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), Robotik (Robotics), e-dagang (e-commerce), Bidang Pengkomputeran Awan (Cloud Computing), fintech dan Internet of Things (IOT) untuk melakukan transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan lebih pantas, mudah dan terkini. Contoh terbaru yang dilaksanakan oleh MPSP ialah penggunaan mesin kiosk untuk pembayaran cukai taksiran pada musim pembayaran kali ini yang mana dilihat sebagai satu usaha dalam memberi perkhidmatan dengan lebih cepat, mudah serta menjimatkan kos.

MPSP sebagai sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berjiwa rakyat telah menjalankan soal selidik pada awal tahun 2017 bagi mendengar dan mengumpul semua maklumat keperluan penduduk sebelum merangka Bajet 2018 ini dan hasilnya sebanyak 10,648 orang telah mengambil bahagian dalam program soal selidik ini.

Hasil kaji selidik yang dijalankan oleh MPSP serta cadangan-cadangan yang diutarakan oleh penduduk, maka perbelanjaan MPSP bagi tahun 2018 telah dipecahkan kepada dua (2) teras iaitu teras pertama ialah Resilient, Inklusif, Hijau dan Kompetitif. Teras kedua pula ialah membangunkan ‘Smart People’ dan menjalinkan ‘Smart Partnership’.

Teras pertama melibatkan Persekitaran yang Selamat yang diperuntukkan sebanyak RM38.16 juta, Kemudahan dan Infrastruktur yang berkualiti sebanyak RM36.92 juta, Gaya Hidup Sihat sebanyak RM34.77 juta, Pembangunan Hijau dan Persekitaran Bersih sebanyak RM30.36 juta, Penerapan Teknologi Baru sebanyak RM29.95 juta, Ekonomi Bandar yang berdaya Saing sebanyak RM28.32 juta, memperkukuhkan Budaya dan Warisan sebanyak RM27.73 juta, Bandar yang berdaya tahan dan berdaya huni sebanyak RM25.6 juta, keterlibatan komuniti pula sebanyak RM21.91 juta dan pembangunan bandar yang inklusif dan saksama diperuntukkan sebanyak RM19.74 juta bagi tahun 2018.

MPSP juga telah memperuntukkan sebanyak RM102.74 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan pelupusan sisa pepejal. Hal ini disebabkan semua kerja pembersihan di seluruh Seberang Perai menggunakan tenaga kerja (tempatan) dan diuruskan sendiri oleh MPSP. Namun, MPSP menjangkakan akan memperolehi lebihan peruntukan sebanyak RM50 juta daripada bajet pembersihan ini kerana Dasar Pengasingan Sisa Di Punca yang dimulakan oleh Kerajaan Negeri pada 1 Jun 2016 boleh membantu MPSP untuk mengurangkan kos pembelanjaan dan membantu MPSP untuk memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah di Pulau Burung.

MPSP juga memperuntukkan sejumlah RM18.16 juta untuk Seberang Perai Perbandaran Yang Inklusif iaitu mementingkan konsep Bandar Selamat, Bandaraya Rendah Karbon, Bandaraya Pintar, Sistem Pengangkutan dan Perhubungan yang komprehensif dan praktikal. Bajet ini termasuklah kos penyewaan CCTV sebanyak RM2 juta, penyelenggaraan lampu jalan sebanyak RM2.5 juta dan pembayaran bil-bil lampu awam sebanyak RM10 juta.

Sebanyak 86 buah CCTV telah dipasang oleh MPSP dengan kos sebanyak RM1,969,050 manakala KPKT telah membiayai sebanyak 44 buah CCTV menjadikan jumlah keseluruhan CCTV yang beroperasi di kawasan Seberang Perai adalah sebanyak 130 buah. Kerajaan Negeri bersedia untuk menambah lebih banyak CCTV pada masa hadapan bagi memastikan persekitaran yang lebih selamat untuk rakyat negeri ini.

MPSP juga turut memperuntukkan sebanyak RM10.23 juta untuk meningkatkan kualiti kemudahan awam dan infrastruktur. Selain itu, peruntukkan juga disediakan untuk projek mitigasi banjir iaitu sebanyak RM9.13 juta yang melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan parit monsun, kolam takungan, penyelenggaraan rumah pam dan kawalan banjir.

MPSP juga memperuntukkan sebanyak RM4.58 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pengindahan landskap serta membina tempat-tempat rekreasi awam dan sukan. Perkara ini perlu untuk merealisasikan matlamat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau di mata dunia. Oleh itu, secara keseluruhan MPSP akan memperuntukkan sebanyak RM 249.35 juta bagi mencapai semua rancangan yang direncana dalam Teras Pertama ini.

Seterusnya bagi teras kedua pula, MPSP memperuntukkan sejumlah RM29.95 juta untuk menerokai teknologi baru dalam Industri 4.0, untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk Seberang Perai. Seterusnya tindakan penguatkuasaan pula, MPSP memperuntukkan sebanyak RM4.37 juta dalam memastikan perkembangan Seberang Perai selari dengan undang-undang sedia ada.

Selain itu, Ahli Majlis - Ahli Majlis MPSP juga telah diberi peranan untuk menggerakkan komuniti di kawasan masing-masing dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM1.68 juta atau sejumlah RM70, 000 bagi setiap seorang Ahli Majlis MPSP.

Seterusnya untuk pembangunan modal insan, sejumlah RM180.31 juta telah diperuntukkan bagi membiayai kos emolumen pada tahun 2018 termasuk gaji, bayaran-bayaran elaun perkhidmatan serta imbuhan tahunan untuk 4,155 perjawatan.

Di samping itu, sebanyak RM1.72 juta telah diperuntukkan pada tahun 2018 untuk kemudahan rawatan klinik panel yang mana telah dinaikkan sebanyak RM100 berbanding tahun lalu bagi kakitangan yang berkeluarga dan RM50 bagi kakitangan yang masih bujang termasuklah perkhidmatan pergigian. Justeru, jumlah had kelayakan tahunan bagi yang berkeluarga telah naik menjadi RM600 setahun manakala yang masih bujang telah naik menjadi RM250 setahun. Oleh itu, secara keseluruhan MPSP akan memperuntukkan sebanyak RM44.12 juta bagi mencapai semua rancangan yang direncana dalam Teras Kedua ini.

Pembiayaan keseluruhan MPSP untuk 2018 sebanyak RM293.47 juta ini adalah sebahagian daripada dasar pembangunan seimbang yang menekankan pembangunan di Seberang Perai agar ia tidak terlalu ketinggalan berbanding dengan kawasan pulau. Ini dicerminkan dengan 77% daripada perbelanjaan besar sebanyak RM3.1 bilion oleh Kerajaan Negeri untuk pembangunan sejak 2008 adalah di Seberang Perai iaitu RM2.3 bilion.

Akhir kata, saya berharap agar semua Ahli Majlis-Ahli Majlis MPSP yang dilantik pada kali ini akan tetap terus memberi kepercayaan dan kerjasama yang teguh kepada kepimpinan baru MPSP di bawah Yang Dipertua Majlis, Dato' Sr Haji Rozali Haji Mohamud dan Setiausaha Perbandaran Majlis, Puan Ir Hajah Rosnani Haji Mahmod.

Sekian, terima kasih.