UPACARA PENGAKUAN PENERIMAAN JAWATAN AHLI MAJLIS-AHLI MAJLIS MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

DI UPACARA PENGAKUAN PENERIMAAN JAWATAN AHLI MAJLIS-AHLI

MAJLIS MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG

3 JANUARI 2018
DEWAN BANDARAYA

 

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kerana sudi meluangkan masa untuk menghadiri upacara pada pagi ini.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Majlis atas pelantikan mereka oleh Pihak Berkuasa Negeri. Semua Ahli Majlis perlu memastikan pembayar cukai mendapat perkhidmatan terbaik serta manfaat daripada hasil yang diterima oleh Majlis melalui pelaksanaan program dan projek pembangunan.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengamalkan perbelanjaan berhemah dan urus tadbir berasaskan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus). Ini bermakna segala hasil yang dikutip daripada rakyat akan digunakan untuk membiayai perkhidmatan yang terbaik kepada pembayar cukai. Majlis telah mencatatkan lebihan dalam penyata kewangan untuk 2 tahun berturut-turut iaitu sebanyak RM177.95 juta untuk tahun 2014, RM146.04 juta untuk 2015 dan telah mencatatkan 'defisit' sebanyak RM1.41 juta untuk tahun 2016. Defisit ini disebabkan oleh pengecualian pembayaran cukai pintu untuk semua pemilik rumah kos rendah, kos sederhana rendah serta potongan diskaun sebanyak 6% yang telah diberikan kepada semua pemilik hartanah untuk meringankan beban cukai GST yang menyebabkan MBPP kekurangan pendapatan sebanyak RM6.29 juta. Tanpa pengecualian ini, maka MBPP sudah pasti akan mencapai lebihan Belanjawan.

Dalam usaha untuk meningkatkan penyediaan kemudahan awam, MBPP akan melaksanakan beberapa projek pembangunan sebanyak RM8.71 juta pada tahun 2018 seperti berikut:-

(i) Pembinaan Pasar Awam di Teluk Kumbar
(ii) Pembinaan Pasar Baru Taman Free School
(iii) Naiktaraf Pasar Jalan Anson
(iv) Naiktaraf Tandas Awam Kompleks Bayan Baru dan Anjung Gurney
(v) Naiktaraf Pasar Kampung Baru Ayer Itam
(vi) Naiktaraf Pasar Lebuh Campbell

Sebanyak RM40.67 juta telah dibelanjakan untuk tahun 2016 untuk pengurusan sisa pepejal dan RM36.31 juta untuk pembersihan awam. Bagi tahun 2017, MBPP telah memperuntukkan sebanyak RM46.95 juta untuk pengurusan sisa pepejal dan RM43.21 juta untuk pembersihan awam. Bagi tahun 2018, sebanyak RM59.13 juta diperuntukkan untuk pengurusan sisa pepejal dan RM44.37 juta untuk pembersihan awam. Perkhidmatan pembersihan awam seperti pembersihan jalan dan parit, pembersihan pasar dan kompleks makanan, pembersihan tandas awam sebahagian besarnya adalah diuruskan oleh kakitangan MBPP yang kini melibatkan tenaga pekerja seramai 836 orang bagi memenuhi hasrat menjaga kebajikan rakyat tempatan.

Pulau Pinang pernah digelar Penang Darul Sampah, tetapi Kerajaan Negeri telah buktikan sejak tahun 2008, bandaraya yang dahulunya terkotor di Malaysia telah bertukar menjadi antara yang terbersih di Malaysia. Bukan sahaja bersih dari segi fizikal, tetapi juga dari segi pentadbiran bersih yang turut mendapat pujian oleh Transparency International serta Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun.

Dalam usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri hijau pertama, Kerajaan Negeri melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca bagi mengurangkan sisa ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burong. Saya dengan bangganya ingin memaklumkan bahawa negeri Pulau Pinang telah mencatatkan kadar kitar semula yang tertinggi di Malaysia, purata sebanyak 38% berbanding kadar kitar semula peringkat kebangsaan, iaitu hanya 22%.

Nilai Pembangunan Kasar (GDV) merupakan projek-projek yang diluluskan oleh MBPP berdasarkan Pelan Kebenaran Merancang dan Pelan Bangunan serta telah mempunyai Notis Mula Kerja (Borang B), yang mana ia menggambarkan nilai sebenar nilai pembangunan di bahagian Pulau.

Nilai Pembangunan Kasar (GDV) di bahagian Pulau hasil daripada pembangunan yang telah diluluskan oleh MBPP adalah seperti berikut:

2013 : RM 2,214,545,300.00
2014 : RM 3,564,675,900.00
2015 : RM 2,768,677,000.00
2016 : RM 2,651,310,000.00
2017 : RM 2,850,160.000.00

Pada masa yang sama, MBPP akan terus melaksanakan program-program penghijauan dan keceriaan bandar seperti penanaman pokok, kerja-kerja landskap, menaiktaraf taman dan kawasan permainan kanak-kanak serta pemasangan lampu hiasan yang menelan perbelanjaan sebanyak RM15,072,313 juta.

Bagi memperkasakan pengurusan lalu lintas dan pengangkutan awam, MBPP akan meneruskan projek pembinaan dan menaiktaraf jalan seperti Projek Pembinaan Jalan Berkembar, Jalan Paya Terubong, projek Jalan Masjid Negeri, projek jalan bawah (underpass) untuk menghubungkan Jalan Mount Erskine ke Jalan Burmah, projek melebar dan menaiktaraf Jalan Brown dan Jalan Zoo serta menaiktaraf sebahagian Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu di antara Gat Jalan Prangin dan Gat Lebuh Cecil di mana RM198.95 juta telah diperuntukkan.

MBPP sentiasa berusaha untuk menggalakkan penggunaan basikal yang mesra alam dan untuk tujuan rekreasi. Sebanyak RM7.49 juta telah diperuntukkan untuk Projek Membina dan Menaiktaraf Laluan Basikal dari Tanjung Tokong ke Jambatan Sultan Abdul Halim dan Lapangan Antarabangsa Bayan Lepas.

Peruntukan sebanyak RM11.3 juta telah disediakan untuk tujuan mengatasi masalah banjir di kawasan bandaraya dengan menjalankan beberapa projek tebatan banjir seperti menaiktaraf sistem saliran di Hilir Sungai Pinang, Sistem Saliran Bandar S10, Lencongan Sungai Jelutong, Lebuh McNair dari Jalan Magazine hingga Lebuh Tye Sin dan di Jalan Yeoh Cheang Aun.

Di samping itu, peruntukan sebanyak RM2.75 juta telah disediakan untuk kerja-kerja pelebaran dan menaiktaraf laluan pejalan kaki, bahu jalan dan jalan-jalan secara amnya. Majlis juga akan memohon peruntukan di bawah Geran Penyelenggaraan Jalan sebanyak lebih kurang RM20 juta daripada Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang.

Selain daripada itu, dalam usaha untuk memastikan keselamatan rakyat Pulau Pinang terjamin, kawasan Pulau telah mempunyai 550 buah Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) di mana MBPP telah memasang 518 buah CCTV dengan kos sebanyak RM36 juta dan 32 buah lagi dibiayai oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). MBPP kini dalam proses penambahan 200 buah CCTV dengan kos sebanyak RM11 juta dan kerja-kerja pemasangan akan siap pada bulan Mac 2018. Seterusnya sebanyak 150 buah CCTV dengan anggaran kos RM8.2 juta akan dipasang menjelang akhir tahun 2018. Ini menjadikan jumlah keseluruhan CCTV sediada, sedang dan akan dipasang adalah sebanyak 900 buah (868 buah oleh MBPP, 32 oleh KPKT) dengan kos sebanyak RM60.9 juta termasuk 5 tahun penyelenggaraan komprehensif.

Dengan pengiktirafan Bandar Raya George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, George Town dan Pulau Pinang telah menjadi satu lagi tarikan bagi destinasi pelancongan warisan yang kini dikenali di peringkat antarabangsa. Selain pengiktirafan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, beberapa pengiktirafan telahpun diberikan antaranya seperti berikut: -

i. George Town listed as the only Asian destination in Lonely Planet's book "Street Art" (April 2017)
ii. Traveller Australia listed Penang's Gurney Drive as one of the 25 Best Streets Around the World for Tourists to Visit Before You Die (March 2017)
iii. International Living listed Malaysia (namely Penang) as the ‘4 Countries With The Best Healthcare In The World’ (July 2017)
iv. Penang Assam Laksa takes 7th place in CNN's listing of the World's 50 Most Delicious Foods (July 2017) 
v. CNN listed Penang as one of the 17 Best Places To Visit In 2017 (August 2017) 

Sebelum mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Datuk Bandar, Dato' Maimunah binti Sharif atas prestasi cemerlang yang dicapainya sehingga dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Bangsa-bangsa Bersatu Urban Habitat.

Seperti mana yang semua sedia maklum, Dato' Maimunah memulakan kerjaya sebagai Perancang Bandar di Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada tahun 1985 sehingga 2003 sebelum dilantik memegang jawatan sebagai Pengarah Perancang Bandar MPPP. Selepas itu, beliau dilantik sebagai Pengurus Besar Perbadanan Warisan Dunia Georgetown (GTWHI) pada tahun 2009 dan seterusnya dinaikkan pangkat tiga tahap atau triple promotion apabila dilantik sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada Mac, 2011.

Keputusan berani menaikkan pangkat beliau sebanyak 3 tahap dibuktikan tepat dengan lantikan oleh UN Habitat sebagai Pengarah Eksekutif wanita dan benua Asia yang pertama. Pelantikan Dato' Maimunah ini sekaligus mengharumkan nama Pulau Pinang dan Malaysia dan kita semua bangga bahawa sememangnya anggota pentadbiran Pulau Pinang mencapai taraf antarabangsa sehingga diburu (headhunted) oleh organisasi antarabangsa seperti United Nations. Itulah keberkesanan sistem CAT – Cekap, Akauntabiliti dan Telus.

Marilah kita mendirikan sebuah bandaraya yang unik dan tersendiri, bukan sekadar memiliki makanan yang lazat, peninggalan warisan yang paling menarik, pusat budaya yang penuh harmoni dan meraikan kepelbagaian tetapi juga adalah negeri bertaraf antarabangsa dan pintar yang bersih, hijau, sihat dan selamat.

Saya yakin dengan bersatu sebagai satu pasukan dan mengembleng tenaga rakyat, kita pasti akan berjaya. Walau apa pun yang terjadi, Kerajaan Negeri akan sentiasa bersama rakyat. Apabila berlaku sesuatu krisis, Kerajaan Negeri akan memberi jaminan bahawa kita akan bersama dengan rakyat. Kita tetap akan bersama, tidak akan elak, tidak sembunyi dan tidak akan lari tetapi akan sentiasa bersama dengan rakyat mengatasi masalah.

Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh ke arah mentransformasikan Pulau Pinang sebagai ekonomi berpendapatan tinggi dengan Gross National Income(GNI) sebanyak USD 12,235 dan negeri maju dengan GDP per kapital sebanyak USD15,000 dalam 5 tahun pada 2023.

Sekian, terima kasih.