MAJLIS PELANCARAN PROGRAM PEMBELAJARAN DIGITAL (E-LEARNING PROGRAM)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PROGRAM PEMBELAJARAN DIGITAL (E-LEARNING PROGRAM)

DI PERPUSTAKAAN DIGITAL PULAU PINANG. 
27 JANUARI 2018
__________________________________________________________________________

Selamat pagi dan salam sejahtera kepada semua,

Terima kasih kepada semua yang hadir pada Majlis Pelancaran Program Pembelajaran Digital (E-Learning Program) di Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL).

Perpustakaan Digital Pulau Pinang (Penang Digital Library) telahpun beroperasi mulai 8 Oktober 2016 iaitu lebih setahun yang lalu dan telah menyediakan kemudahan yang kondusif kepada penduduk di Pulau Pinang dengan teknologi terkini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Melihat kepada penerimaan yang baik daripada golongan pelajar pada penubuhan PDL yang dibuka pada Oktober 2016 dan kemudiannya waktu operasi 24 jam telah diperkenalkan pada 01 Mei 2017 lalu, pihak CMI juga telah membuat satu kajian keberkesanan penubuhan PDL kepada pelajar yang mengambil peperiksaan utama iaitu UPSR, PT3 dan SPM pada tahun 2017. Melalui kajian tersebut, 20 orang pelajar telah dipilih secara rawak sebagai pengguna PDL UPSR dan PT3 yang telah menerima keputusan.

Kajian Analisis Penggunaan PDL oleh Pelajar UPSR
Daripada 20 pelajar yang mengambil peperiksaan UPSR, 95% menyatakan PDL telah membantu meningkatkan tabiat pembelajaran. Ini disusuli dengan 90% mengakui bahawa kemudahan yang disediakan PDL banyak membantu dalam proses pembelajaran mereka. Selain itu, 85% begitu selesa dengan persekitaran di PDL. Secara keseluruhannya, 100% amat berpuas hati dengan penyediaan PDL kepada penduduk di negeri ini.

Kajian Analisis Penggunaan PDL oleh Pelajar PT3
Melalui kajian soalselidik yang sama kepada pelajar yang mengambil PT3, sebanyak 95% pelajar menyatakan PDL begitu sesuai kepada keperluan pembelajaran masa kini dan turut disokong 95% mengakui PDL membantu meningkatkan tabiat pembelajaran di kalangan mereka. Selain itu, 100% pelajar telah menyokong kepada kemudahan PDL telah membantu proses pembelajaran mereka. Melalui koleksi bahan bacaan pula, telah mencatatkan 85% bersetuju bahawa bahan tersebut membantu kepada proses ulangkaji PT3. Seterusnya, bagi kumpulan pelajar ini, mereka menyatakan 100% berpuas hati dengan penyediaan PDL.

Itulah sebab utamanya kerajaan negeri mengambil keputusan membina satu lagi bangunan baru untuk menampung Perpustakaan Digital 2 (PDL2) dengan kapisiti 3 kali lebih besar dengan kos RM11juta. Kerajaan negeri mampu membiayai PDL2 kerana mentadbir bersih atau dengan cekap, akauntabel dan telus (CAT) membolehkan belanjawan lebihan setiap tahun. PDL 1 dan 2 ini merupakan yang pertama dan satu-satunya di Malaysia yang beroperasi 24 jam sehari, 365 hari setahun. PDL 2 akan siap dibina pada akhir tahun ini.

Lawatan Agensi Luar ke PDL
Sepanjang tahun 2017, Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) telah menerima sebanyak 20 kunjungan / lawatan antaranya Sekolah (10), Institusi Pengajian Tinggi Awam / Swasta (3) dan lain-lain (7). Ini termasuk daripada Negeri-negeri jiran seperti Kedah dan Perak Utara. Antara agensi yang hadir untuk melihat kemudahan PDL adalah dari Selangor Smart Delivery Unit (SSDU), Lawatan Rasmi oleh HRH Princess of Thailand, Ambassador of Thailand dan Institusi Pengajian Tinggi seperti MSU College Penang dan Universiti Teknologi MARA, Rembau, Negeri Sembilan. Selain itu, Jakarta Digital Library dari Indonesia juga telah berunding dengan pihak PDL untuk mendapatkan idea bagi memperkembangkan perpustakaannya. Ini menjadikan PDL memang diterima baik oleh semua masyarakat sama ada di Pulau Pinang mahupun dari luar negeri ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Secara teorinya, Revolusi Industri 4.0 adalah meliputi ilmu pengetahuan yang berasaskan kepada pengumpulan dan analisa data menerusi komputer khususnya Big Data Analytics, Cloud Computing, Artificial Intelligence (AI), Robotics, Internet of Things (IoT) dan E-Commerce. Perbadanan Ketua Menteri (CMI) melalui Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) juga tidak ketinggalan dalam bersama-sama merealiasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk memberi pendedahan kepada pelajar dari usia yang muda iaitu 7 hingga 15 tahun ini mengenai kepentingan untuk bersiap sedia untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0 melalui penganjuran Program Pembelajaran Digital (E-Learning Program).

Program Pembelajaran Digital (E-Learning Program) tersebut merupakan satu kolaborasi di antara Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) dan Telebort Technologies Sdn. Bhd. secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah kebangsaan dan menengah khususnya pelajar-pelajar di negeri ini. Sebagai permulaan, program yang dikenali 'Kids Can Code (Trial Class) ini akan dibuka kepada pelajar-pelajar yang berumur di antara 7 hingga 15 tahun untuk pendedahan awal kepada kelas pengekodan (coding classes).

Program ini akan dilaksanakan pada minggu terakhir setiap bulan mulai Januari 2018 hingga Disember 2018 pada Hari Sabtu. Kouta bagi setiap sesi adalah 30 pelajar yang dibahagikan kepada kategori umur iaitu Kelas A untuk pelajar berumur di antara 7 hingga 12 tahun dan Kelas B untuk pelajar berumur di antara 13 hingga 15 tahun. Peserta turut boleh melanjutkan ke Program Teras iaitu 'Foundation of Creative Computing' yang akan mengambil masa selama empat (4) bulan bagi melengkapkan 16 sesi. Walau bagaimanapun, bagi Program Teras tersebut peserta akan dikenakan yuran dengan diskaun iaitu RM150.00 sebulan sebagai komitmen kepada pembelajaran yang disediakan. Selepas program tersebut pelajar berpeluang dan dapat meneruskan kepada tahap yang lebih mencabar iaitu untuk “Web Designing:”

Keahlian PDL

Mulai 01 Januari 2018, Perpustakaan Digital Pulau Pinang telah melaksanakan pendaftaran keahlian secara berbayar. Bayaran yang dikenakan bagi pendaftaran tersebut untuk membolehkan pengguna mengakses bahan bacaan sama ada melalui laman sesawang (website) PDL atau aplikasi mudah alih (mobile app) iaitu READCASA di luar PDL tanpa mengira masa.

Akhir kata, sukacitanya saya dengan ini ingin melancarkan Program Pembelajaran Digital (E-Learning Program) – Program Kerjasama Perbadanan Ketua Menteri (CMI) dan Telebort Technologies Sdn. Bhd. yang dilaksanakan secara tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Sekian, terima kasih.

Tuan Lim Guan Eng
YAB Ketua Menteri Pulau Pinang
27 Januari 2018

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang