MAJLIS PERASMIAN DAN LAWATAN YAB KETUA MENTERI KE KADUN PENAGA SEMPENA PEMASANGAN METER PAIP AIR SKIM PINJAMAN PBA KEPADA PENDUDUK SETEMPAT

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

DI MAJLIS PERASMIAN DAN LAWATAN YAB KETUA MENTERI

KE KADUN PENAGA SEMPENA PEMASANGAN METER PAIP AIR SKIM PINJAMAN PBA KEPADA PENDUDUK SETEMPAT

31 Januari 2018 (10:00pagi)
Dewan JKKK Penaga

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri Pulau Pinang di bawah kelolaan Saudara Lay Hock Peng atas penganjuran majlis pada pagi ini.

Saya datang ke sini untuk meninjau kerja-kerja pemasangan meter paip air di bawah skim pinjaman PBA kepada penduduk yang kurang berkemampuan dan mengalami kesulitan atas faktor-faktor status tanah yang melibatkan agensi agensi yang berbeza .

Skim pinjaman pemasangan meter paip air PBA ini diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Di bawah skim pinjaman ini, pemohon perlu membayar kepada pihak PBA sebanyak RM130 (RM100 - duit cagaran & RM30 - duit setem). PBA akan memberi pinjaman sebanyak RM1,500 kepada setiap pemohon dan pemohon hanya perlu membayar balik kepada PBA melalui bil bulanan sebanyak RM15 setiap sebulan. Perbelanjaan RM1,500 kepada 51 keluarga melibatkan perbelanjaan sebanyak RM76,500 oleh PBA.

Saya difahamkan terdapat 51 pemohon untuk skim pinjaman pemasangan meter paip air PBA ini di seluruh daerah Seberang Perai Utara (SPU). Permasalahan ini telah menarik perhatian Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri Pulau Pinang apabila terdapat aduan daripada penduduk di sekitar kawasan luar bandar yang masih tidak mempunyai bekalan air bersih yang dibekalkan oleh Kerajaan Negeri. Bermula pada pertengahan tahun 2017, perkara ini telah mendapat perhatian pihak PBA dan pejabat Ketua Menteri untuk memastikan perkara ini dapat di tangani.

Senarai kampung yang memohon pemasangan skim pinjaman bekalan air PBA yang diuruskan adalah seperti berikut:

1. Kampung Baharu
2. Kampung Kota Aur
3. Kampung Bakau Tua
4. Kampung Guar Tuan Syed
5. Permatang Janggus
6. Padang Tembusu
7. Rantau Panjang
8. Permatang Rawa
9. Permatang Keriang
10. Permatang Bendahari
11. Permatang Kuang

Pengerusi JKKK Kampung Guar Kepah yang terletak di KADUN Penaga iaitu Saudara Yusri bin Haji Mustafa telah diberi tanggungjawab untuk mengurus perkara ini.

Satu perjumpaan telah diadakan oleh pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri di pejabat PBA cawangan Kepala Batas bersama JKKK, penduduk, penghulu kawasan dan Ahli Majlis bagi menyelesaikan masalah ini.
Di KADUN Penaga, seramai 21 buah keluarga telah berjaya mendapat bekalan air bersih oleh PBA, 11 buah keluarga masih dalam proses dan 5 buah rumah tidak dapat diproses disebabkan menghadapi masalah dengan pihak JKR di mana pihak kontraktor yang dilantik perlu membuat bayaran cagaran RM1,300 dan setelah selesai pemasangan baru lah wang itu dapat dikembalikan.

Akhir kata, tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat dalam menyelesaikan masalah rakyat ini demi memastikan hak setiap penduduk untuk mendapat bekalan air bersih dapat dipelihara.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang