MAJLIS RUMAH TERBUKA SAMBUTAN TAHUN BARU CINA PDC 2018

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS RUMAH TERBUKA SAMBUTAN TAHUN BARU CINA PDC 2018

1 MAC 2018 (KHAMIS)
ATRIUM PEJABAT PDC

 

Salam Bersih, Salam Harapan dan Selamat Datang ke Majlis Rumah Terbuka Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina anjuran PDC.

Setiap perayaan mengajar kita tentang kepentingan perpaduan dan mengeratkan silaturahim tanpa mengira kaum dan agama. Dan inilah yang dapat kita capai melalui perayaan yang diraikan pada hari ini.

Kerajaan Negeri telah mempromosikan Pulau Pinang sebagai negeri keusahawanan dan kebajikan dan kita telah berjaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi, berdasarkan tadbir urus yang baik dengan prinsip CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus).

Melalui kerjasama 4P Partnership yang melibatkan sektor Public (Awam), Private (Swasta), People (Rakyat) & Profesional, Pulau Pinang telah banyak memberi transformasi/ perkembangan yang utama.

Kita telah melihat perubahan ikon Pulau Pinang di Komtar yang dahulunya usang dan terbiar tetapi menerusi The Top@Komtar dengan pelaburan swasta sebanyak RM200 juta, kini Komtar telah berubah wajah.

Satu lagi tarikan antarabangsa ialah Taman Tema Escape di Pulau Pinang, yang kini menjadi taman tema No. 1 di Malaysia, menurut TripAdvisor. Kesemua pelaburan swasta ini disebabkan wujudnya keyakinan mantap ke atas kemampuan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mentadbir negeri ini.

Kerajaan Negeri juga telah melabur RM75 juta untuk menubuhkan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan bagi sains dan teknologi termasuk projek-projek seperti perpustakaan digital pertama – yang dibuka 24 jam sehari di Malaysia, kelas koding (coding classes) dan Kelas Vokasional Jerman yang terbaik di dunia.

Baru-baru ini, BBC telah menyatakan bahawa Pulau Pinang adalah ‘Asia’s Silicon Valley’ dengan menyebut bahawa Pulau Pinang ‘is punching well above its weight in the tech world through hardware manufacturing’.

MIDA juga telah mengumumkan Pulau Pinang sebagai penerima pelaburan kedua terbesar yang diluluskan pada sembilan (9) bulan pertama tahun 2017 sebanyak RM9.9 bilion berbanding RM4.3 bilion untuk keseluruhan tahun 2016 iaitu kenaikan sebanyak 130%.

PDC akan meneruskan Tanggungjawab Sosial Korporatnya dalam menyediakan Rumah Awam dan Mampu Milik untuk rakyat menerusi tabung RM500 juta yang didirikan oleh Kerajaan Negeri.

Projek-projek PDC iaitu Bandar Cassia AHS Fasa 1 telah siap dibina dan dijangka Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) akan diperolehi pada suku pertama tahun ini, diikuti dengan Jiran Residensi di Kampung Jawa menjelang hujung tahun 2018 dan Dua Residensi di Teluk Kumbar menjelang suku pertama 2019.

Dalam mensyukuri segala nikmat, kita juga tidak lupa akan orang yang kurang bernasib baik dan memberi sokongan kepada mereka untuk mewujudkan masyarakat yang lebih prihatin, baik dan damai dengan menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporat.

Dengan ini saya merasmikan Ruah Terbuka Sambutan Tahun Baru Cina PDC 2018.

Sekian, terima kasih.