MAJLIS PERASMIAN UPCYCLE PARK MPSP

Posted in Dari Meja Ketua Menteri

 TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN UPCYLCE PARK MPSP

MENARA MPSP, BANDAR PERDA, BUKIT MERTAJAM
10 MAC 2018 , 9.30 PAGI
..................................................................................................

Selamat pagi & Salam sejahtera,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai kerana sudi menjemput saya merasmikan Upcycle Park pada pagi ini.

Pertama sekali saya mengucapkan tahniah kepada YBhg. Dato’ YDP, Puan Setiausaha Perbandaran kerana berjaya “menukarkan” kolam takungan ini kepada sebuah taman rekreasi yang cantik dengan barang yang dihasilkan dari barang terbuang seperti tayar, kayu pallet, botol plastik dan sebagainya. Segala projek ini dibuat tanpa kos ataupun percuma kerana menggunakan bahan kitar semula. Tahniah semua.

Taman rekreasi ini dinamakan “Upcycle Park” yang mempunyai keunikan yang dibina dari idea, tenaga, dan titisan peluh pekerja am MPSP tanpa menggunakan perbelanjaan kecuali kos marginal kecil untuk pembelian cat, batu dan simen. Saya difahamkan bahawa ada Pengarah dan Pegawai MPSP juga turut membantu pekerja am untuk memyiapkan taman ini.

Saya melihat cetusan idea dengan merekabentuk sesebuah kawasan lapang dengan barangan upcylce adalah satu idea yang baik kerana ia tidak memerlukan kos. Upcycle Park ini akan menjadi ruang untuk 25,000 penduduk perumahan kos rendah yang berdekatan dan juga kepada pengunjung dari luar.

Seingat saya, pada 27 Ogos 2017, program penanaman pokok tekoma diadakan seperti dengan bulan Kemerdekaan. Apabila pokok tekoma berbunga, saya pasti lagi ramai pengunjung yang akan beriadah dan bergambar di sini. Ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri dan MPSP terhadap semua lapisan masyarakat dengan menyediakan kemudahan awam dan meningkatkan kualiti hidup mereka tanpa mengira status, kaya dan miskin.

Saya juga difahamkan bahawa YDP MPSP mempunyai perancangan untuk mewujudkan penghubung di antara Taman Pauh Jaya, Taman Pauh Damai dan kawasan sekitarnya melalui penyediaan lorong berbasikal ke tempat perniagaan, tempat kerja dan ke lokasi Perhentian Bas Bridge Express Shuttle Transit (BEST) untuk ke KOMTAR.

Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada YDP dan semua warga MPSP kerana berpandangan jauh dalam mewujudkan kawasan rekreasi serta menjadikan ia pemangkin pembangunan ekonomi setempat (LED). Saya juga mengucapkan terima kasih kepada penaja meja dan bata interlocking iaitu Thong Wing Industry & Logistic Sdn Bhd dan Multi Bricks Sdn Bhd kerana sudi mengeluarkan sumbangan untuk upcycle park ini.

Anggaplah setiap kemudahan yang disediakan oleh kerajaan ini sebagai aset atau harta kita bersama dan menjadikan Negeri Pulau Pinang, negeri hijau pertama di Malaysia. Bukan saja untuk generasi hari ini malah kepada generasi akan datang nanti.

Dengan itu, saya merasmikan Upcycle Park MPSP pada pagi ini.

Sekian, terima kasih.