MAJLIS PECAH TANAH PROJEK RANCANGAN TEBATAN BANJIR MAK MANDIN, SEBERANG PERAI UTARA

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH PROJEK RANCANGAN TEBATAN BANJIR MAK MANDIN, SEBERANG PERAI UTARA

9.00 Pagi , 17 Mac 2018
Jalan Bagan 23, SPU, P.Pinang

 

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera,

Pertamanya, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berusaha Tuan Pengarah JPS Pulau Pinang di atas kesudian menjemput saya hadir untuk menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Rancangan Tebatan Banjir Mak Mandin ini. Suka untuk saya maklumkan bahawa sebanyak RM 40 Juta peruntukan Kerajaan Negeri akan disalurkan bagi pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir Mak Mandin ini di mana kerja pembinaannya dijangka akan mengambil masa selama 2 tahun.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Memandangkan kawasan Mak Mandin dan Bagan merupakan kawasan tumpuan penempatan dan perindustrian, maka projek ini akan mengurangkan kekerapan banjir ke tahap minimum di kawasan tadahan Sungai Mak Mandin dan Parit Monsoon terutamanya di Taman Bagan, Taman Cantik, kawasan bagan Specialist, kawasan persekolahan Mak Mandin di SJKT Mak Mandin dan kawasan yang terjejas di sekitar Jalan P. Patto. Selain itu, kerja-kerja naik taraf Parit Monsoon dan parit dalaman di Taman Cantik dan Taman Bagan akan dibuat oleh pihak JPS dan kemudiannya akan diserahkan kepada pihak MPSP.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Untuk makluman, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang dalam pelaksanaan Projek-projek Berimpak Tinggi (High Impacts) dengan jangkaan perbelanjaan sebanyak RM220 juta di mana RM50 juta daripada PBA Pulau Pinang, RM20 juta daripada MBPP dan MPSP, serta RM 150 juta kepada peruntukan Kerajaan Negeri. Projek RM150 juta daripada Kerajaan Negeri akan melibatkan lapan (8) panggilan tender.

Salah satu (1) daripada lapan (8) panggilan tender tersebut yang telahpun mendapat milikan tapak oleh pihak Kontraktor, Budaya Restu Sdn Bhd dilantik bagi menjalankan kerja pembinaan adalah Rancangan Tebatan Banjir Mak Mandin ini. Baki Lima (5) tender dijangka akan mendapat milikan tapak pada bulan Mac ini yang akan menumpukan beberapa kawasan “hotspot” banjir iaitu tiga (3) daripadanya di Daerah Seberang Perai Tengah (Parit 4, Parit 5, Sungai Permatang Rawa) dan dua (2) di Daerah Barat Daya (Bayan Baru dan Taman Iping). Manakala dua (2) tender dijangka akan diiklankan selewat-lewatnya pada September 2018 yang melibatkan kawasan ‘hotspot” banjir masing-masing di Daerah Seberang Perai Tengah (Kolam Alma) dan Daerah Barat Daya (Kampung Naran).

Selain Projek-projek Berimpak Tinggi ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengenalpasti Projek-projek Mitigasi Banjir Negeri melalui EXCO Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir. Antara projek-projek yang telah dikenalpasti dan akan dilaksanakan dengan menggunakan Peruntukan Caruman Perparitan Negeri adalah projek Jelutong Diversion bernilai RM 15 Juta yang dijangkakan milikan tapak pada April 2018. Selain itu, projek-projek lain yang telah dikenalpasti adalah Projek Tebatan Banjir Sungai Bayan Lepas dan Projek Tebatan Banjir Kampung Batu Maung di Daerah Barat Daya serta Projek Tebatan Banjir Bagan Jermal II di Daerah Timur Laut dengan anggaran kos projek masing-masing sebanyak RM 7 juta, RM 4 juta dan RM 5 Juta. Panggilan tender bagi kesemua projek ini dijangkakan akan dilaksanakan pada September 2018 dan projek ini dijangkakan akan dapat mengurangkan risiko di kawasan “hotspot” banjir yang telah dikenalpasti.

Hadirin yang dihormati sekalian,

8. JPS Pulau Pinang turut akan melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang dengan Peruntukan Kerajaan Persekutuan secara awal sebanyak RM 150 juta bagi mengurangkan masalah banjir (Jalan P. Ramlee, Lorong Kulit, Kampung Masjid, Jalan Dato Keramat). Kos projek ini perlukan RM300 juta bagi kerja-kerja di tapak bagi RTB Sungai Pinang ini dijangkakan akan bermula pada tahun ini.

Dengan ini, dengan sukacitanya saya merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Rancangan Tebatan Banjir Mak Mandin, Seberang Perai Utara.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang