MAJLIS ANGKAT SUMPAH PENERIMAAN JAWATAN AHLI MAJLIS MAJLIS PERBANDARAN SEBERANG PERAI

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB CHOW KON YEOW
SEMPENA MAJLIS ANGKAT SUMPAH PENERIMAAN JAWATAN AHLI MAJLIS
MAJLIS PERBANDARAN SEBERANG PERAI

2 JULAI 2018 (ISNIN)
DEWAN KENANGA, MENARA MPSP, BANDAR PERDA

Yang Berhormat Dato' Ir. Hj. Ahmad Zakiyuddin Bin Abdul Rahman
Timbalan Ketua Menteri 1

Yang Berhormat Tuan Prof. Dr Ramasamy a/l Palanisamy
Timbalan Ketua Menteri 2

Y.B. Dato’ Seri Haji Farizan bin Darus
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Tuan Jagdeep Singh Deo A/L Karpal Singh 
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Perancangan Bandar & Desa

Yang Berhormat Ahli-Ahli EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen Negeri Pulau Pinang

Yang Berhormat ADUN-ADUN Negeri Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ Sr Haji Rozali bin Haji Mohamud
Yang Dipertua, Majlis Perbandaran Seberang Perai

Yang Dihormati Ahli Majlis- Ahli Majlis 
Majlis Perbandaran Seberang Perai

Yang Berusaha Puan Ir Hjh Rosnani bt Hj Mahmod
Setiausaha Perbandaran, Majlis Perbandaran Seberang Perai

Yang Berusaha Puan Nur’Aishah bt Md Norodin
Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Kerajaan Tempatan

Ketua-Ketua Jabatan
Kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai

Rakan - rakan Media

Tuan - tuan dan puan - puan yang dihormati sekalian

Selamat pagi dan salam sejahtera,

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana telah diberi kesempatan sekali lagi di dalam Dewan Kenanga, MPSP dalam Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai.

Di kesempatan ini, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Majlis – Ahli Majlis MPSP seramai 24 orang ( 11 orang lantikan pertama kali, 13 orang lantikan semula) yang telah dilantik untuk meneruskan perjuangan dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh penduduk Seberang Perai. Berdasarkan kuasa yang diberi dibawah Seksyen 10 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976, Pihak Berkuasa Negeri telah melantik Ahli Majlis MPSP untuk berkhidmat mulai 1 Julai 2018 sehingga 31 Disember 2019.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Sebagai Ahli Majlis, tuan-tuan dan puan-puan adalah mempunyai peranan yang besar untuk menjadikan Seberang Perai lebih bersih, lebih hijau, lebih selamat dan sihat. Perlantikan ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang amat berat dan penting. Ia bukan sebagai peluang untuk memenuhi kepentingan diri sendiri, rakan-rakan ataupun saudara-mara. Ahli-ahli majlis mesti peka kepada keperluan dan kepentingan awam serta bertanggungjawab untuk menyumbangkan idea dan kepakaran kepada Majlis dalam memaju dan meningkatkan mutu perkhidmatan Majlis.

Oleh itu, saya mengharapkan dengan perlantikan ini akan memudahkan pihak Majlis untuk membuat keputusan bersama dengan mengambil kira pandangan wakil masyarakat iaitu Ahli-Ahli Majlis. Disamping itu, saya juga mengharapkan kerjasama yang terbaik terjalin diantara Ahli Majlis dengan pegawai-pegawai MPSP didalam menjalankan tugas harian kerana hubungan ini akan dapat memantapkan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

MPSP mensasarkan untuk menjadi sebuah bandaraya rendah karbon dan bandaraya pintar menjelang tahun 2022. Bagi mencapai sasaran tersebut, saya difahamkan MPSP telah merangka Pelan Strategik Seberang Perai 2018-2022. Bagi tahun 2018, secara keseluruhan bagi mencapai matlamat yang disasarkan serta memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk Seberang Perai, MPSP telah mencadangkan peruntukan sebanyak RM293.47 juta berbanding anggaran pendapatan sebanyak RM268.56 juta bagi tahun 2018. Ini bermakna pada tahun 2018, MPSP mencadangkan bajet defisit berjumlah RM24.91 juta. Walaupun ia merupakan bajet deficit, tetapi bajet yang disediakan adalah mengikut kemampuan kewangan semasa MPSP dan ia berteraskan kepada prinsip value for money iaitu mendapat pulangan terbaik bagi setiap ringgit yang dibelanjakan. Oleh itu, saya berharap Ahli Majlis baru yang dilantik ini dapat bersama-sama dengan pasukan pengurusan MPSP untuk menggunakan peruntukan ini mengikut perancangan yang telah ditetapkan dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Seberang Perai.

Saudara-saudari sekalian, saya ingin menegaskan bahawa perlantikan sebagai ahli Majlis bukan sahaja satu penghormatan tetapi satu tanggungjawab yang amat besar. Tuan-tuan dan puan-puan mempunyai dua peranan penting yang sama berat, iaitu pertama mengawasi PBT untuk memastikan mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan amanah, efektif dan efisien; dan pada masa yang sama menyedarkan masyarakat tempatan agar mereka memenuhi kewajipan mereka serta memberi sokongan kepada PBT dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawabnya.

Akhir kata, saya berharap agar semua Ahli Majlis-Ahli Majlis MPSP yang dilantik pada kali ini akan tetap terus memberi kepercayaan dan kerjasama yang teguh kepada kepimpinan MPSP dalam memacu perkhidmatan PBT dengan lebih berkesan serta diharapkan semua Ahli Majlis dapat membantu MPSP merangka pembentukan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh penduduk Seberang Perai.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang