SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM NEGERI PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERHIMPUNAN ANGGOTA PERKHIDMATAN AWAM NEGERI PULAU PINANG

BERSAMA YAB KETUA MENTERI

30 JANUARI 2020

YB Dato' Law Choo Kiang

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

YB Dato' Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin bin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri (I) Pulau Pinang

YB Profesor Dr. Ramasamy a/l Palanisamy

Timbalan Ketua Menteri (II) Pulau Pinang

YB Dato’ Abdul Razak bin Jaafar
Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau

YB Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

YB Dato’ Norazmi bin Mohd Narawi

Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang

YB Dato' Sarul Bahiyah binti Haji Abu

Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang

Sahibus Samahah Dato' Seri Dr. Haji Wan Salim bin Wan Mohd. Noor

Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan

Pegawai-pegawai Kanan

Rakan-rakan media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada jawatankuasa penyelaras majlis yang telah memastikan Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang Bil.1/2020 pada pagi ini dapat dijalankan dengan jayanya.  

Sebagai medium dan platform pertemuan di antara pimpinan tertinggi Kerajaan Negeri dan anggota perkhidmatan awam, perjumpaan pada hari ini memberi ruang dan kesempatan untuk kita semua memperbaharui iltizam ke arah suatu jalinan kerjasama yang lebih erat dan pengukuhan struktur pentadbiran yang lebih mantap pada masa akan datang.

Tahun 2019 telah berlalu dengan meninggalkan pelbagai kisah suka, duka dan pengalaman yang berharga untuk kita semua. Tahun 2019 juga telah menyaksikan berlakunya pertukaran besar dalam pentadbiran Kerajaan Negeri apabila pentadbiran ini menerima Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu bagi menggantikan mantan SUK, Yang Berbahagia Dato’ Seri Farizan bin Darus yang bersara wajib. Nilai integriti, disiplin dan ketegasan yang menjadi asas pentadbiran Dato’ Seri Farizan bin Darus akan dijadikan panduan dan rujukan bagi mengekalkan kualiti serta produktiviti pentadbiran negeri.

Kerajaan Negeri meletakkan harapan dan keyakinan yang tinggi kepada Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu untuk meneruskan legasi kejayaan ini. Dengan pengalaman yang luas, Kerajaan Negeri percaya Yang Berhormat Dato’ Abdul Razak bin Jaafar mampu untuk mengemudi hal ehwal pentadbiran negeri dengan cara yang tersendiri dan mencipta lebih banyak kegemilangan pada masa akan datang. Oleh itu, besar harapan saya agar seluruh anggota perkhidmatan awam dapat memberikan kerjasama agar gandingan baharu ini dapat mewujudkan sinergi yang lebih kukuh dah utuh terutama dalam merealisasikan dasar-dasar Kerajaan Negeri berlandaskan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Setelah lebih setahun sejak pelancaran Visi Penang2030 pada 29 Ogos 2018, pelbagai sesi libat urus telah dijalankan bersama jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, badan-badan bukan kerajaan serta pemain industri.

Kini tahun 2020 adalah tahun untuk Kerajaan Negeri menumpukan kepada kerja-kerja pelaksanaan projek dan program yang telah disenarai pendek mengikut 16 inisiatif strategik di dalam visi ini. Tiada sesiapapun yang terkecuali, visi ini merupakan sebuah pelan tindakan bersama bagi meningkatkan momentum dan enjin ekonomi demi kesejahteraan rakyat dan negeri.  

Sesi libat urus akan terus diadakan dari semasa ke semasa di mana pada tahun ini juga, Kerajaan Negeri merancang untuk memperhebatkan lagi sesi ini bersama pelbagai industri bertujuan untuk memperolehi maklum balas yang lebih terperinci dalam industri tertentu agar keperluan rakyat dapat dipenuhi secara lebih menyeluruh.

Pulau Pinang telah melangkah ke tahun 2020 dengan rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah berjaya dicatatkan dalam tempoh sembilan (9) bulan pertama tahun 2019 iaitu sebanyak RM13.3 bilion iaitu peningkatan sebanyak 247 peratus berbanding tempoh sama tahun terdahulu. Dalam ekonomi global yang tidak menentu, Pulau Pinang masih menjadi pilihan utama para pelabur untuk mendirikan kilang-kilang berteknologi tinggi sekaligus mewujudkan hampir 15,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat tempatan dan sekitar negeri ini.

Unjuran ekonomi adalah sesuatu yang berada di luar jangkauan. Justeru, Kerajaan Negeri komited untuk terus mempertahan dan memperkasakan sektor ini seiring dengan cabaran dan persaingan global masa kini. Kerajaan Negeri telah menetapkan perancangan strategi untuk meningkatkan daya saing ekonomi melalui pengukuhan dan kepelbagaian ekonomi negeri. Tumpuan kepada sektor baharu ini akan menjadi nilai tambah ekonomi di samping peningkatan kepada kualiti hidup yang lebih baik dan pembangunan persekitaran fizikal yang lebih mampan seiring dengan potensi Pulau Pinang sebagai pusat pelaburan tempatan dan antarabangsa.  

Di kesempatan ini, Kerajaan Negeri ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah di atas kegemilangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang telah menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa buat kali kedua dengan menerima anugerah “ASEAN CLEAN TOURIST CITY AWARD 2020-2022” di Brunei baru-baru ini, mengatasi Putrajaya dan Sabah (Kota Kinabalu).

Sebagaimana ditekankan berhubung komitmen Kerajaan Negeri, tahun 2020 bakal menyaksikan beberapa projek infrastruktur berskala besar akan direalisasikan. Meskipun ada projek masih di peringkat perjanjian dan pemberian tender, namun Kerajaan Negeri bangga untuk menyatakan bahawa Pulau Pinang berada di landasan kemajuan yang tepat dan tersendiri. Antara projek-projek Kerajaan Persekutuan yang akan dilaksanakan adalah projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan projek pembesaran Jeti Swettenhem. Manakala projek-projek mega Kerajaan Negeri pula adalah Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR); projek rehabilition tapak pelupusan sampah Jelutong serta projek-projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

Pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi ini memerlukan kerjasama yang erat di antara jabatan dan agensi berkaitan agar segala permasalahan yang timbul dapat diselesaikan dengan segera. Dalam kita melaksanakan projek ini, saya menyeru agar kebajikan rakyat yang terkesan haruslah diutamakan dan diberi perhatian yang serius.

Bagi program-program sosial dan kebajikan pula, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk meneruskan kebanyakan program yang telah dilaksanakan dengan penambahbaikan dari segi pelaksanaan agar ia dapat memberi manfaat dan mencapai sasaran yang holistik kepada rakyat.  Untuk tujuan tersebut, sebanyak RM50 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan program-program kebajikan di bawah iSejahtera.

Sebagai ejen pelaksana kepada program dan dasar kerajaan, Kerajaan Negeri amat berharap agar anggota perkhidmatan awam yang berada dalam barisan hadapan dapat memainkan peranan ketika proses penyampaian kepada rakyat dilaksanakan. Seiring dengan gelombang transformasi digital dalam era Revolusi Industri 4.0 ini, perubahan sosioekonomi telah mempengaruhi tuntutan persekitaran dalam pentadbiran dan perkhidmatan awam. Rakyat kini lebih terbuka dan sensitif dalam memberikan pandangan dan menyuarakan pendapat.

Mengambil kira senario dan perkembangan ini, komitmen dan kemahiran tinggi dalam kalangan penjawat awam adalah sangat dituntut. Anggota perkhidmatan awam harus bertindak balas dengan kadar yang lebih pantas daripada kebiasaannya. Rakyat mengharapkan anggota perkhidmatan awam yang dinamik, peningkatan dan ketangkasan skil serta bijak dalam membuat keputusan yang efektif.

Sebelum saya mengakhir ucapan ini, marilah kita bersama-sama membulatkan tekad dan mengembleng tenaga, usaha dan idea ke arah Pulau Pinang yang lebih bersih, hijau, sihat dan selamat.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang