MAJLIS ANGKAT SUMPAH PENERIMAAN JAWATAN DATUK BANDAR DAN AHLI MAJLIS MBSP TAHUN 2022

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI NEGERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS ANGKAT SUMPAH PENERIMAAN JAWATAN DATUK BANDAR DAN AHLI MAJLIS
MBSP TAHUN 2022

7 JANUARI 2022 (JUMAAT)

DEWAN KENANGA, MENARA BANDARAYA MBSP

[Salutation]

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) atas komitmen dan persediaan rapi yang dibuat bagi memastikan Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Datuk Bandar & Ahli Majlis MBSP Tahun 2022 pada petang ini dapat diadakan dengan jayanya.

Majlis pada hari ini cukup istimewa dan mencatatkan sejarahnya yang tersendiri di mana kita akan menyaksikan bukan sahaja Ahli Majlis yang akan melafazkan ikrar dan menandatangani pengakuan penerimaan jawatan sepertimana kelaziman sebelum ini, tetapi turut menyaksikan pelantikan secara rasmi, Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad selaku Datuk Bandar MBSP yang baharu, bagi menggantikan mantan Datuk Bandar, Yang Berbahagia Dato’ Sr. Haji Rozali bin Haji Mohamud yang telah bersara pada 31 Disember 2021.

 

Bagi pihak Kerajaan Negeri serta seluruh rakyat Pulau Pinang terutamanya di kawasan Seberang Perai, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berbahagia Dato’ Sr. Haji Rozali bin Haji Mohamud atas komitmen dan perkhidmatan cemerlang yang telah ditonjolkan oleh beliau sepanjang tempoh perkhidmatan mulai tahun 1990.

Semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan oleh pentadbiran Datuk Bandar yang baharu ini, dengan corak dan pentadbiran yang mungkin berbeza, tetapi matlamat dan objektifnya masih sama untuk membawa Seberang Perai sebagai bandaraya yang Resilient, Inklusif, Hijau, Kompetitif dan Pintar, seiring dengan aspirasi Visi Penang2030Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Syabas dan tahniah juga kepada kesemua 24 orang Ahli Majlis yang terdiri daripada 4 orang muka baharu dan 20 orang yang akan disambung perkhidmatan bagi tempoh satu (1) tahun bermula 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2022. Selain itu, ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga dirakamkan kepada bekas Ahli Majlis MBSP yang telah berkhidmat dengan cemerlang bagi penggal 2021.

Semoga gandingan Ahli Majlis baharu dan lama ini, akan dapat memantapkan pengurusan dan mengukuhkan sistem perkhidmatan MBSP secara keseluruhannya. Saya menyeru kepada semua barisan Ahli Majlis untuk berganding bahu bersama para pegawai dan kakitangan MBSP untuk membantu Datuk Bandar melaksanakan harapan Kerajaan Negeri ini.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Seberang Perai merupakan kawasan perbandaran terbesar di negara ini akan menjadi pusat teras terpenting untuk pertumbuhan masa hadapan bagi negeri Pulau Pinang termasuk hab pengangkutan utama bagi Wilayah Ekonomi Koridor Utara. Dalam masa yang sama, lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dalam industri berteknologi tinggi akan berada di kawasan Batu Kawan yang akan menjadi tunjang pembangunan dan pertumbuhan ekonomi untuk negeri Pulau Pinang.

Justeru, MBSP harus kekal sebagai sebuah organisasi yang mesra perniagaan dan terus menambah baik mutu penyampaian termasuk menaik taraf infrastruktur dan mobiliti. MBSP juga harus mengekalkan profesionalisme untuk bertindak pantas dalam menjawab aduan dan kekal profesional dalam menyediakan perkhidmatan perbandaran serta mengguna pakai dan mengintegrasikan pendigitalan dan teknologi dalam perkhidmatan perbandaran.

Saban tahun, MBSP akan menghasilkan dokumen strategik yang menggariskan Key Performance Indicator (KPI) yang perlu dicapai bagi tahun semasa dan mendokumenkan pelbagai Pelan Tindakan dan antaranya ialah dokumen Pelan Tindakan Ekonomi Kitaran Seberang Perai 2021 - 2030 yang telah saya lancarkan pada Oktober 2021 yang lalu.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Banyak perkara yang telah kita pelajari sepanjang tahun 2021 khususnya dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19. Kita telah berjaya mengharungi kehidupan norma baharu malah melaksanakan banyak perubahan terhadap penyampaian perkhidmatan agar seiring dengan keperluan dan kehendak semasa yang kian mencabar.

Kerajaan Negeri amat menghargai dan menyokong setiap usaha yang telah direncanakan oleh MBSP, terutama dalam mengembalikan kepercayaan dan merancakkan semula ekonomi yang terjejas ketika tempoh sukar pandemik COVID-19 melanda. Sebagai contoh, MBSP telah melancarkan aplikasi Speedbiz bagi memudahcara pemegang lesen perniagaan MBSP untuk memperbaharui dan membuat permohonan lesen.

Justeru, melalui Bajet Tahun 2022 dengan tema “Bandaraya Digital dan Rendah Karbonyang telah dibentangkan, MBSP akan membelanjakan sejumlah RM345.35 juta berbanding anggaran pendapatan sebanyak RM310.13 juta dengan defisit sejumlah RM35.22 juta. Dalam masa yang sama, sebanyak RM175.99 juta telah dibajetkan bagi memastikan kelestarian dan kehijauan di Seberang Perai.

Bagi menekankan aspek penjagaan kelestarian alam sekitar, MBSP telah mengubah landskap kawasan majoriti kumpulan B40 ini dengan menaiktaraf Lingkaran Bourgainvillea, People’s Aquarium, Dataran Rakyat, Eco Corridor, Upcycle Park dan Tacoma Park dengan menjadikan kawasan ini tumpuan penduduk dan merangsang aktiviti ekonomi penduduk setempat.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Baru-baru ini, kita telah dikejutkan dengan kejadian banjir besar yang melanda negara khususnya di Selangor dan Pahang. Keadaan iklim yang tidak menentu menjadikan kita terdedah kepada ancaman banjir dan bencana alam yang lain. Justeru, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan memerlukan ‘pendekatan menyeluruh masyarakat’ untuk menangani krisis iklim, dengan strategi berikut:

  1. Planning - Perancangan Ketahanan Iklim yang melibatkan pelaksanaan polisi sediada dan pengenalan kepada polisi-polisi baru yang lebih bersesuaian dengan kehendak semasa;
  1. Readiness/ Preparedness - set tindakan berasaskan kajian yang diambil sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi potensi bencana. Ianya termasuk kesiapsiagaan organisasi dan aset;
  1. Respond - Pelan Tindak Balas Kecemasan dan mobilisasi semua jabatan/ agensi, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat swasta dan orang awam; dan
  1. Recovery – Pelan Pemulihan Pasca Bencana yang melibatkan penyaluran bantuan kepada kumpulan yang terjejas.

 

Di sini, MBSP telah memperuntukkan sebanyak RM14.69 juta dalam Bajet 2022 bagi pengurusan banjir. Antara komponen penting pada tahun ini ialah Projek Integrated Smart Flood Monitoring System (INFLOS) bagi memantau kawasan-kawasan berisiko tinggi  bencana banjir di Seberang Perai. Sistem ini dapat menjana pelaporan yang lengkap secara automatik mengenai kawasan banjir, jumlah rumah yang terkesan serta butiran teknikal yang lain supaya bantuan dan tindakan pengurusan krisis dapat digerakkan dengan cepat.

Buat masa kini, MBSP telah menyediakan Sistem Amaran Paras Air Kawalan Banjir (SPARK) di 33 lokasi berdekatan rumah pam dan hotspot banjir dan juga telah menugaskan 75 orang kakitangan di rumah pam yang bertugas 24 jam secara syif.

MBSP turut mempunyai Jabatan Pengurusan Krisis yang berpengalaman menguruskan krisis banjir sewaktu Pulau Pinang dilanda banjir pada tahun 2017 yang lalu. Selain itu, MBSP turut mempunyai Response Team di Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dengan kekuatan 128 orang dengan 8 buah lori tipper. Manakala bagi menghadapi situasi kecemasan banjir besar, MBSP boleh menggerakkan maksimum 1,450 orang Wira Oren dengan kekuatan 61 biji lori tipper, 13 open truck, 3 lori RoRo, 5 backhoe, 7 grabber crane dan 3 pressue jetter tanker. MBSP juga bersedia menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi dan pihak swasta bagi membantu ketika menghadapi bencana banjir.

Justeru itu, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada pasukan MBSP yang membawa Misi Bantuan Pasca Banjir ke Negeri Selangor dan Pahang. Saya difahamkan pasukan kedua telah digerakkan ke Bentong dan Hulu Langat. Terima kasih dan semoga semua selamat dan sihat.

Dengan ini, saya mengumumkan pelantikan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai yang baru ialah YBhg. Dato’ Azhar bin Haji Arshad. Saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada YBhg. Datuk Bandar dan Ahli Majlis-Ahli Majlis yang telah dilantik dan selamat bertugas. Semoga semua pihak dapat bekerjasama dengan baik agar aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat dicapai menerusi Visi Penang2030 serta MBSP terus cemerlang dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh warga Seberang Perai.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang