MAJLIS PERASMIAN RUMAH PAM PROJEK TEBATAN BANJIR MAK MANDIN, DAERAH SEBERANG PERAI UTARA (SPU)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN RUMAH PAM

PROJEK TEBATAN BANJIR MAK MANDIN,

DAERAH SEBERANG PERAI UTARA (SPU)

 

22 JANUARI 2022

JALAN BAGAN 23, SPU, P.PINANG

YB Lim Guan Eng

Ahli Parlimen Bagan

YB Dato' Dr. Ahmad Jailani bin Mohamed Yunus

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

YB Zairil Khir Johari

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan

YB Soon Lip Chee

Exco Belia dan Sukan, merangkap ADUN Bagan Jermal

YB Satees a/l Muniandy

ADUN Bagan Dalam

Encik Zulkifli bin Rashid

Pegawai Daerah Seberang Perai Utara (SPU)

Yang Berusaha Ir. Zainuddin bin Yusoff

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang

 

Ketua-Ketua dan Wakil-Wakil Jabatan

 

Para Jemputan

 

Rakan-rakan Media

 

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh pasukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang di bawah pengurusan Yang Berusaha Tuan Pengarah, Ir. Zainuddin bin Yusoff atas komitmen bersama yang diberikan dalam memastikan Majlis Perasmian Rumah Pam Projek Tebatan Banjir Mak Mandin, Daerah Seberang Perai Utara (SPU) pada pagi ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Meskipun mengalami sedikit kelewatan berikutan masalah-masalah berbangkit dan fasa pandemik COVID-19 yang berpanjangan, namun kita gembira akhirnya salah satu projek ikonik ini telah berjaya disiapkan secara keseluruhannya pada 8 November 2021 yang lalu. Signifikasinya projek ini, ia adalah projek yang melibatkan peruntukan terbesar yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri berjumlah RM42.4 juta (Kos Awal) sebagai usaha dan komitmen kita bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan sekitar ini.

Kerja-kerja naik taraf projek ini telah bermula pada 16 Mac 2018, meliputi skop kerja pembinaan Rumah Pam, menaiktaraf Sungai Mak Mandin, menaiktaraf Parit Monson, menaiktaraf Sistem Perparitan Dalaman di Taman Cantek, menaiktaraf jambatan/ lintasan sedia ada, menaiktaraf struktur outlet sedia ada, dan pembinaan bangunan ancillary seperti TNB sub-station, control house dan guard house.

Adalah diharapkan, kita dapat melihat impak positif daripada penyempurnaan projek ini secara keseluruhannya terutama ketika berdepan perubahan iklim yang tidak menentu sehingga menyebabkan kejadian banjir menjadi lebih serius, ekstrem serta luar jangkaan.

Saya yakin dan percaya projek yang telah siap dibina ini akan meningkatkan tahap perlindungan banjir ke tahap optimum dan membawa manfaat kepada penduduk setempat terutamanya di sebahagian besar  kawasan banjir (80%) di kawasan Bagan dan Mak Mandin.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada 12,000 orang penduduk yang berada di dalam kawasan perlindungan banjir seluas 300 hektar, terutamanya di Taman Bagan, Taman Cantik, kawasan Bagan Specialist, kawasan persekolahan Mak Mandin di SJKT Mak Mandin dan sekitar Jalan P. Patto atas kesabaran dan kepercayaan yang diberikan sepanjang berdepan kesulitan banjir sejak 20 tahun dahulu.

Saya bersyukur Rancangan Tebatan Banjir Mak Mandin ini dapat dijalankan dengan lancar dan mendapat kerjasama yang baik di antara pihak JPS Negeri Pulau Pinang dan Jabatan lain yang terlibat secara langsung terutamanya pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP). Kerjasama yang erat di dalam pelaksanaan projek ini membolehkan kerja-kerja pembaikan pipe jacking dan road crossing yang dilaksanakan oleh pihak JPS di Jalan Persekutuan Permatang Pauh dapat disempurnakan dan diserahkan kepada JKR.

Selain daripada itu, kerja-kerja naik taraf Parit Monsoon dan parit dalaman di Taman Cantik dan Taman Bagan yang siap dinaiktaraf oleh pihak JPS dapat diserahkan kepada pihak MBSP. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua kerana dengan kerjasama yang mampan dan menyeluruh ini telah dapat mencapai objektif Projek Tebatan Banjir Kawasan Mak Mandin ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

Untuk makluman, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang dalam pelaksanaan Projek-projek Tebatan Banjir Berimpak Tinggi (High Impacts) sebanyak RM150 juta dengan menggunakan Peruntukan Negeri. Projek yang dirancang ini memberi tumpuan kepada beberapa kawasan “hotspot” banjir iaitu empat (4) daripadanya di Daerah Seberang Perai Tengah (Parit 4, Parit 5, Sungai Permatang Rawa dan Kolam Takungan Alma  dan tiga (3) di Daerah Barat Daya (Bayan Baru Taman Iping dan Sungai Tiram) dan satu (1) di Daerah Seberang Perai Utara (Mak Mandin).

Tiga (3) Projek Tebatan Banjir High Impact yang telah disiapkan (Parit 4, Parit 5 dan Projek Mak Mandin ini) yang mana ianya telah berfungsi dengan baik, Dua (2) projek dijangka siap dalam masa terdekat (Taman Iping dan Bayan Baru), dan masing-masing satu (1) dalam fasa pembinaan (Kolam Alma) dan satu (1) lagi projek dalam proses reka bentuk semula (Permatang Rawa).

Selain daripada projek-projek di atas, terdapat satu (1) projek yang akan dilaksanakan di bawah peruntukan pembangunan negeri iaitu Projek Tebatan Banjir Van Pragh di Daerah Timur Laut (DTL) yang mana dalam proses lantikan kontraktor. Manakala dua (2) projek akan dilaksanakan menggunakan peruntukan caruman peparitan iaitu Rancangan Tebatan Banjir Taman Tembikai di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Projek Tebatan Banjir Parit Monsun di Kampung Pokok Asam di Daerah Timur Laut (DTL) yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Kerajaan Negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana menyalurkan sebanyak RM150 juta kepada JPS Pulau Pinang untuk melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang, Daerah Timur Laut yang akan mengurangkan kejadian banjir (Jalan P. Ramlee, Lorong Kulit, Kampung Masjid, Jalan Dato Keramat). Kerja-kerja di tapak bagi RTB Sungai Pinang ini dijangkakan akan bermula pada tahun ini.

Bukan itu sahaja, projek Rancangan Tebatan Banjir Taman Siakap, Daerah Seberang Perai Tengah juga dijangka akan bermula pada tahun ini dengan kos sebanyak RM20 juta. Selain itu, terdapat beberapa projek Rancangan Tebatan Banjir yang masih dalam peringkat kajian dan reka bentuk menggunakan peruntukan Persekutuan sedang dilaksana oleh JPS Malaysia dan kita berdoa ianya dapat dibina dalam masa terdekat.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada seluruh jawatankuasa penganjur dan pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Perasmian Rumah Pam Projek Tebatan Banjir Kawasan Mak Mandin ini.

Dengan ini, dengan sukacitanya saya merasmikan Rumah Pam Projek Tebatan Banjir Mak Mandin, Daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang