MAJLIS PERUNTUKAN BANTUAN KEWANGAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG 2022 KEPADA SEKOLAH-SEKOLAH TAMIL, TADIKA DI SEKOLAH TAMIL DAN SEKOLAH PUNJABI

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PERUNTUKAN BANTUAN KEWANGAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG 2022 KEPADA SEKOLAH-SEKOLAH TAMIL, TADIKA DI SEKOLAH TAMIL DAN SEKOLAH PUNJABI

 

7 MAC 2022; 3.15 PETANG; AUDITORIUM A, KOMTAR

______________________________________________________

YB Tuan Prof. Dr. P. Ramasamy

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang

YB Tuan Jagdeep Singh Deo

Ahli Majlis Mesyuaraat Kerajaan Negeri

YB Tuan M. Satees

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam

Dato' Dr. K. Anbalakan

Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Negeri Pulau Pinang

Barisan guru besar, guru-guru, para guru tadika, pengerusi-pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah Tamil Pulau Pinang;

Wakil-wakil sekolah-sekolah Punjabi Pulau Pinang;

Yang Berbahagia Dato'-Dato', rakan-rakan media, para penjawat awam, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

Selamat Petang dan Salam Sejahtera,

Terlebuh dahulu, saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke Majlis Penyampaian Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 kepada Sekolah Tamil, Tadika di Sekolah Tamil dan Sekolah Punjabi pada petang yang berbahagia ini.

Tahniah dan syabas kepada jawatankuasa penyelaras yang begitu komited dan telah banyak membantu bagi memastikan kelancaran program bantuan kewangan yang telah dijalankan sejak tahun 2009.

Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, Kerajan Negeri masih mengekalkan jumlah sumbangan peruntukan seperti berikut:-

(i) Sekolah Tamil:  RM2,000,000.00

(ii) Tadika di Sekolah Tamil: RM150,000.00

(iii) Sekolah Punjabi: RM90,000.00

(iv) Peruntukan Tabung Khas Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil: RM150,000.00

Keseluruhan peruntukan adalah sebanyak RM2,390,000.00 iaitu sama seperti tahun-tahun sebelum ini. Umumnya, peruntukan bantuan kewangan diagihkan berlandaskan keperluan, dan jumlah yang diterima adalah berbeza bagi setiap sekolah.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Memasuki tahun ke-14 pelaksanaan program ini, ia secara tidak langsung telah membuktikan bahawa Kerajaan Negeri amat optimis dalam meletakkan pembangunan modal insan sebagai salah satu tulang belakang kepada faktor kemajuan negeri ini.

Sebagai menyokong aspirasi Kerajaan Negeri untuk terus membangunkan modal insan berkemahiran tinggi bagi menyokong kepelbagaian ekonomi negeri dan mengekalkan kedudukan Pulau Pinang sebagai ‘Silicon Valley of the East’, Kerajaan Negeri melalui Tech Dome Penang, Penang Science Cluster, Penang Digital Library dan Penang Skills Development Centre (PSDC) telah melaksanakan pelbagai program untuk membangunkan kemahiran STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics) dalam kalangan pelajar sekolah. Antaranya adalah melalui inisiatif seperti MakerLab, Coding-For-All, Penang International Science Fair dan lain-lain yang mana telah memanfaatkan lebih daripada 280,000 pelajar sehingga kini. Malah, sejumlah RM2.16 juta juga akan disalurkan kepada Penang STEM 4.0, Penang Tech Dome dan Penang Science Cluster menjelang 2022 bagi tujuan sama.

Pada aspek kadar pengangguran, walaupun Pulau Pinang merupakan antara enam negeri yang mencatatkan kadar yang rendah iaitu 3.5 sehingga 3.9 peratus dibandingkan dengan negeri-negeri lain sehingga Ogos 2021,  kita masih mampu mengurangkan lagi angka ini selaras dengan pemulihan ekonomi negara serta negeri ini. Malah, berdasarkan pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan di Pulau Pinang dari Januari 2020 sehingga Mac 2021, dianggarkan sebanyak 15,596 peluang pekerjaan akan diwujudkan di negeri ini secara berperingkat dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Mendepani impak pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri Pulau Pinang komited untuk terus mewujudkan pelbagai inisiatif dan insentif dalam memperkasakan komuniti India di negeri ini. Pelbagai program dan projek khas dirangka bagi memastikan komuniti India di negeri ini bergerak seiringan dalam merealisasikan serta mempercepatkan pencapaian Penang2030 (Accelerating Penang2030) iaitu sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

Sebelum ini, saya dimaklumkan bahawa kebanyakan sekolah Tamil tidak dilengkapi dengan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang diperlukan bagi menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara talian kini.

Berlandaskan keperluan tersebut, Kerajaan Negeri bergerak pantas dengan membekalkan kelengkapan komputer, smart board, smart panel, smart TV, tab dan lain-lain keperluan membabitkan semua 28 buah sekolah Tamil di negeri ini menerusi peruntukan yang disalurkan.

Mengakhiri ucapan pada hari ini, adalah diharapkan sumbangan khas daripada Kerajaan Negeri ini dapat memanfaatkan para pelajar secara keseluruhan dengan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif. Malah, atas usahasama bersama, kita juga boleh berbangga bahawa pembangunan sekolah-sekolah Tamil di negeri Pulau Pinang kini merupakan antara yang terbaik dalam negara daripada segi kemudahan asas serta infrastruktur fizikal.

Syabas semua dan  sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang