KEJOHANAN SEPAK TAKRAW PIALA PENANG2030

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW PADA KEJOHANAN SEPAK TAKRAW PIALA PENANG2030

 

12 MAC 2022; 12.15 TENGAH HARI;

KOMPLEKS SUKAN AZMAN HASHIM,

UNIVERSITI SAINS MALAYSIA (USM)

___________________________

Yang Berusaha Profesor Dr. Md. Roslan bin Hashim

Timbalan Naib Canselor

Kelestarian dan Pembangunan Institusi,

Universiti Sains Malaysia (USM)

Tuan Haji Idrus bin Rafie

Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi, USM

Tuan Haji Mokhtar Sheriff

Presiden Persatuan Sepaktakraw Daerah Timur Laut

Para Vateran dan Lagenda Sepak Takraw

  

Rakan-rakan media; para peserta

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat tengah hari dan salam sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada barisan urus setia Kejohanan Sepak Takraw Piala Penang2030 dan disokong oleh Persatuan Sepaktakraw Daerah Timur Laut kerana telah berjaya menganjurkan program seperti ini.

Penganjuran julung kali selepas kita melalui beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini dalam tempoh Pelan Pumulihan Negara (PPN) – Fasa 4 dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengumuman YAB Perdana Menteri baru-baru ini berkenaan Negara akan memasuki Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ bermula 1 April 2022 juga melahirkan kelegaan kepada banyak pihak termasuk kita semua. Namun, harus diingatkan bahawa langkah berjaga-jaga dan kawalan kendiri juga perlu dititikberatkan.

Saya difahamkan bahawa penganjuran hari ini merupakan kejohanan besar yang pertama diadakan di Kompleks Sukan Azman Hashim ini selepas tahun 2018 oleh MAKSAK Kebangsaan. Malah, kejohanan ini juga merupakan program pertama Kerajaan Negeri diadakan dalam kampus USM setelah siapnya pembinaan kompleks ini pada tahun 2015.

Terima kasih saya ucapkan kepada pihak pengurusan USM kerana memberi ruang kepada Kerajaan Negeri untuk meneruskan penganjuran program di sini. Diharap akan lebih banyak lagi kerjasama antara dua pihak pada masa hadapan. Bukan itu sahaja, dengan kelengkapan serta fasiliti sedia ada, saya percaya bahawa banyak acara-acara lain juga yang boleh dimasukkan dalam agenda pelancongan sukan negeri.

Hadirin sekalian,

Sambutan yang diterima untuk kejohanan kali pertama ini dirasakan amat menggalakkan dengan penyertaan 32 pasukan dari negeri ini dan seluruh negara termasuk Kedah, Perlis, Perak, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur.

Tidak ketinggalan pasukan dari Sarawak dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut mengambil bahagian. Saya mengalu-alukan kehadiran para pengurus pasukan dan peserta serta mengucapkan selamat datang ke negeri Pulau Pinang.

Saya gembira melihat riak wajah ceria dan bersemangat daripada pasukan-pasukan yang ada di hadapan ini yang sudah pasti tidak sabar untuk meneruskan lagi perlawanan. Keunikan pertandingan kali ini dapat dilihat setiap pasukan disyaratkan untuk menghantar seorang wakil atau peserta berumur antara 18 – 21 tahun.

Umumnya, sepak takraw merupakan sukan tradisional yang mulai dipinggirkan terutamanya dalam kalangan belia dan remaja. Diharap platform sebegini dapat menyerlahkan bakat-bakat baharu yang mampu menyinar pada masa hadapan. Saya juga terharu dengan sokongan serta kesudian para veteran dan Lagenda Sepak Takraw Negara untuk hadir pada program kita hari ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang berada di sini, iaitu yang sentiasa menyokong program-program dianjurkan. Sesungguhnya kehadiran anda semua memberi titik semangat kepada kami dalam usaha Kerajaan Negeri merealisasikan Visi Penang2030 iaitu ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. 

Semoga kita dapat berjumpa lagi pada program-program yang akan datang. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Penang2030. 

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang