MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PAJAKAN DAN PERJANJIAN SUBPAJAKAN KOMPLEKS KOLAM RENANG AWAM

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS MENANDATANGANI

PERJANJIAN PAJAKAN DAN PERJANJIAN SUBPAJAKAN KOMPLEKS KOLAM RENANG AWAM, SEBERANG JAYA

 

22 MAC 2022

 

 

YB Dato’ Norazmi bin Mohd. Narawi

Penasihat Undang-undang Negeri Pulau Pinang

YB Soon Lip Chee

EXCO Belia dan Sukan

Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

 

Yang Berusaha Encik Zul Kahar bin Khamis

Ketua Pengarah Eksekutif, Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang

Yang Berusaha Puan Cyrena Yong

Pengarah Eksekutif, Syarikat D Swim Academy Sdn. Bhd.

Ketua-Ketua Jabatan

Wakil-Wakil Jabatan

Dato’-Dato’

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Selamat Petang dan Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua ke Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan dan Sub-Pajakan Kompleks Kolam Renang Awam, Seberang Jaya antara 3 komponen yang terdiri daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang dan Syarikat D Swim Academy Sdn. Bhd.

Pelbagai sesi mesyuarat dan perbincangan diadakan dari semasa ke semasa sejak tahun 2018 termasuklah perbincangan ketika Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan sebelum Kerajaan Negeri bersetuju untuk memuktamadkan dan menandatangani kedua-dua perjanjian tersebut pada hari ini.

Dengan termeterainya acara menandatangani Perjanjian Pajakan dan Perjanjian Sub-Pajakan ini, maka akan bermulalah secara rasminya Projek Penaiktarafan, Mengurus dan Menyelenggara Kompleks Kolam Renang Awam, Seberang Jaya yang amat dinanti-nantikan ini.

Kedua-dua perjanjian yang bakal ditandatangani ini akan memberikan gambaran yang lebih jelas tentang pengurusan dan pemilikan projek ini di mana ia membolehkan pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memajak hartanah tersebut kepada Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang bagi mengurus dan mengoperasikan Kompleks Kolam Renang sebagai satu kolam renang awam secara berterusan mengikut piawaian-piawaian yang terpakai bagi kolam renang awam.

Adalah dicadangkan juga agar hartanah Kompleks Kolam Renang Awam, Seberang Jaya ini diserahkan kepada Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang sebagai custodian harta milik Kerajaan Negeri yang sementara sepanjang tempoh pelaksanaan projek ini untuk diuruskan sebagaimana objektif utama penubuhannya iaitu membangun, mengurus, mengawal dan menyelenggara stadium dan kawasan lapang di Pulau Pinang.

Seterusnya, Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang dibenarkan selaras dengan ketetapan perundangan untuk memajak hartanah Kompleks Kolam Renang Awam tersebut kepada Syarikat D Swim Academy Sdn. Bhd. bagi tujuan penaik tarafan fasiliti kompleks ini agar lebih kondusif, optimum dan interaktif bagi kegunaan dan keselesaan seluruh rakyat Pulau Pinang.

Projek penaiktarafan, mengurus dan menyelenggara Kompleks Kolam Renang Awam, Seberang Jaya ini adalah diadakan secara Request For Proposal (RFP) yang tidak akan melibatkan peruntukan daripada Kerajaan Negeri. Projek ini akan melibatkan kos sebanyak RM3,000,000.00 yang akan ditanggung oleh Syarikat D Swim Academy Sdn. Bhd (DSA). Ianya melibatkan kerja-kerja penaiktarafan bagi kolam renang, pembinaan bumbung, pemasangan pam baru, penaiktarafan kemudahan sedia ada seperti surau, tandas, pembinaan kaunter tiket, kafeteria, kedai peralatan sukan dan astaka. Projek penaiktarafan dijangka siap dalam tempoh lapan (8) sehingga 12 bulan setelah serahan tapak dibuat pada 1 April 2022 .

Hadirin yang dihormati sekalian,

Melalui Strategik Inisiatif A4 iaitu “Diversify Recreation, Sports and Facilities” sepertimana yang terkandung dalam Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, adalah diharapkan agar projek ini dapat menjadi produk transformasi yang sangat penting untuk pertumbuhan budaya kesukanan yang sangat kompetitif dan seterusnya dapat memperkenalkan Pulau Pinang ke peringkat antarabangsa sebagai “Negeri Sihat” pada masa hadapan.

Sesungguhnya, impak maksima daripada projek ini akan membawa kepada kemajuan sukan yang inklusif di mana fasiliti-fasiliti yang dibaik pulih ini mampu membantu menyuburkan semangat kesukanan yang utuh dalam kalangan rakyat Pulau Pinang.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Akhir kata, saya ini mengucapkan terima kasih kepada semua pihak/jabatan/agensi yang terlibat terutamanya Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) yang sentiasa sedia berkhidmat dan menjalankan amanah bagi memuktamadkan segera kedua-dua Perjanjian ini.

 

Juga, ucapan terima kasih ini kepada Pejabat Penasihat Undang-undang, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang atas segala kerjasama yang diberikan bagi meneruskan hasrat murni  Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan Projek Penaikarafan Kompleks Kolam Renang Awam, Seberang Jaya ini.

Sebelum saya mengakhiri ucapan, bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya mengalu-alukan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang yang baru dilantik iaitu Encik Zul Kahar bin Khamis. Semoga amanah baru yang diterima ini dapat diteruskan sepertimana legasi yang pernah dibawa oleh mantan Ketua Pegawai Eksekutif yang lama, iaitu Allahyarham Tuan Haji Mohamed Akhbar bin Mustapha.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang