SAMBUTAN PERINGATAN HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN & JERAYAWARA PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA SAMBUTAN PERINGATAN HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN & JERAYAWARA PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG TAHUN 2022

 

26 MAC 2022 (SABTU)

DEWAN PINTAR GUAR PERAHU, PENANTI

Yang Berusaha Tuan Sutekno Ahmad Belon

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan

 

YB Dr. Hajah Norlela binti Haji Ariffin

Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

YB Nurul Izzah Anwar

Ahli Parlimen Permatang Pauh

 

Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Haji Arshad

Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP)

Yang Berusaha Puan Elmariah Chung

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Pulau Pinang

Yang Berusaha Tuan Kamarul Haizal Koderat

Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah

Ketua-ketua Jabatan Negeri dan Daerah

Pertubuhan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO)

Para Pengerusi MPKK/Masjid/ Pemimpin Masyarakat

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Salam Sejahtera.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih atas jemputan sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaaan & Jerayawara Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022.

Dengan masih mengekalkan tema yang sama seperti tahun lepas iaitu “Lebih Baik Cegah”, Kerajaan Negeri amat gembira apabila Mukim 21 Seberang Perai Tengah ini telah dipilih untuk menjadi lokasi sambutan pada malam ini.  

Pada suatu ketika dahulu, Mukim 21 ini pernah menjadi lokasi “hotspot” dengan kegiatan penyalahgunaan dadah. Walau bagaimanapun selepas menjadi Projek Rintis bagi Menangani Penyalahgunaan Dadah, Substans dan Pelencongan Sosial di bawah Inisiatif Penghijauan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) Penagihan Dadah sejak September 2019, kita dapat lihat keadaan yang berbeza kini.

Melalui Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM66,000.00 bagi tujuan pelaksanaan Projek Rintis ini, sekaligus menjadi pioneer serta benchmark kepada pelaksanaan Inisiatif Penghijauan KBT di lain-lain kawasan yang telah dikenal pasti di negeri ini.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua  yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak dalam menggerakkan pelbagai usaha bagi menjayakan Inisiatif Penghijauan Mukim 21 ini. Saya pasti rakyat di kawasan ini berasa lebih yakin dan selamat sejak adanya usaha-usaha yang dilaksanakan di Mukim 21 ini khususnya.

Melalui Jawatankuasa Kumpulan Penggerak Kawasan Berisiko Tinggi ini, pendekatan 8 Segmen telah dilaksanakan iaitu Segmen Keprihatinan dan Khidmat Masyarakat; Segmen Kerohanian; Segmen Keselamatan; Segmen Kebersihan dan Infrastruktur; Segmen Kekeluargaan; Segmen Sukan dan Rekreasi; Segmen Pendidikan serta Segmen Kemahiran dan Pekerjaan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Daripada 155 kawasan seluruh negara yang dilaksanakan secara berperingkat mengikut tahun, di  Pulau Pinang sahaja, sebanyak 7 kawasan penagihah dadah telah dikenalpasti bagi pelaksanan Inisiatif Penghijauan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) melibatkan Mukim 1 Daerah Seberang Perai Utara; Mukim 12 Daerah Barat Daya; Mukim 13 Daerah Timur Laut; Mukim 16; Mukim 19; Mukim 20 (sasaran untuk dihijaukan pada  tahun 2022) dan Mukim 21 Daerah Seberang Perai Tengah.

Sebagai tanda komitmen dalam menangani isu dadah secara serius, Kerajaan Negeri telah menetapkan Fokus 5 Tahun di bawah Strategi Penang Lawan Ancaman Dadah (PLAD) menerusi AADK Pulau Pinang ke arah merealisasikan Matlamat Dadah Terkawal 2025.

Selain peruntukan sebanyak RM12,850 disalurkan bagi tujuan Kempen Antidadah di 7 KBT Penagihan Dadah sejak tahun 2021, Kerajaan Negeri melalui MTMD Peringkat Pulau Pinang juga telah memperuntukkan sebanyak RM318,000.00 untuk tempoh 5 tahun (2021 hingga 2025) bagi mencapai hasrat tersebut.  

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sudah 39 tahun, dadah masih menjadi musuh nombor satu kita semua. Pelbagai usaha, kaedah dan inisiatif telah dirangka dan dilaksanakan. Namun kita masih belum boleh berbangga dengan statistik dan pencapaian yang ada. Kita juga tidak boleh mudah mengalah dalam mencari kaedah pendekatan menangani penagihan dan pengedaran dadah di negara ini sama ada dalam bidang pencegahan, bidang rawatan dan pemulihan mahupun bidang penguatkuasaan undang-undang.

Tanpa ada yang terkecuali, penglibatan dan komitmen semua perlu terus diperkasakan agar ancaman dadah ini tidak terus menceroboh sama ada dalam entiti keluarga, komuniti mahupun negara. Kerajaan Negeri sentiasa menyokong dan komited dalam menjayakan apa juga usaha yang dilaksanakan. Apa juga usaha yang dijalankan, pendekatan melalui kerjasama strategik dan pintar amatlah penting bagi memastikan program yang berimpak tinggi dan kos efektif dapat dijayakan.

Akhir kata, syabas dan tahniah sekali lagi kepada semua yang menjayakan majlis pada hari ini. Semoga dengan penganjuran program pada hari ini boleh dijadikan sebagai satu medan bagi menunjukkan semangat permuafakatan kita semua bergabung tenaga untuk mendepani gejala permasalahan dadah ini agar kita sama-sama dapat menikmati hidup yang sejahtera dan bebas tanpa dadah.

Dengan harapan yang sedemikian, saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan Tahun dan Jerayawara Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2022.

LEBIH BAIK CEGAH!

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang