MAJLIS PELANCARAN PENCAPAIAN MANIFESTO 2018 KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW BERSEMPENA MAJLIS PELANCARAN PENCAPAIAN MANIFESTO 2018 KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

AUDITORIUM A, KOMTAR; 12:15 TENGAH HARI

______________________________

 

(SALUTASI)

YB Dato’ Law Choo Kiang

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang

YB Dato’ Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang

YB Prof. Dr. P. Ramasamy

 Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Ahmad Jailani Mohamed Yunus

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Barisan Exco Kerajaan Negeri

Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri; barisan Ahli Parlimen; YB-YB Senator

Pemangku Pengerusi PKR Negeri, YB Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik

Pengerusi Parti AMANAH Negeri, YB Dr. Roslan Ahmad

Wakil-wakil Parti Komponen Pakatan Harapan

Ketua-ketua jabatan

 

Rakan-rakan media sekalian

 

 

Tuan-tuan, Puan-puan, saudara dan saudari sekalian.

Salam sejahtera dan Salam Harapan kepada semua.


Empat tahun lalu, 9 Mei merupakan tarikh keramat yang mana rakyat Pulau Pinang telah memberi mandat dan kepercayaan kepada kita. Dengan tekad bersama, kita telah membentuk sebuah Kerajaan Negeri berkebajikan yang terus meletakkan kepentingan rakyat negeri ini sebagai keutamaan.

Hari ini, iaitu empat tahun kemudian, secara peribadi, saya merasakan ia bagaikan sambutan kejayaan yang mana saya mewakili seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan membentangkan pencapaian 68 janji manifesto yang telah kita janjikan kepada rakyat Pulau Pinang pada tahun 2018.


Sesungguhnya, sehingga hari ini iaitu genap empat tahun, hasil titik peluh dan komitmen bersama, kita telah berjaya mencapai 90 peratus daripada jumlah manifesto secara keseluruhan yang mana sebanyak 54 janji telah ditepati, 12 dalam pelaksanaan manakala 2 lagi tidak akan dilaksanakan ekoran terdapat pertindihan dengan program Kerajaan Persekutuan.

Selepas mengangkat sumpah dan melafazkan ikrar sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang Kelima pada 14 Mei 2018, saya telah menyatakan komitmen untuk menunaikan 68 janji dalam Manifesto 'Saya ❤️ Pulau Pinang', dan ia juga menjadi cabaran kepada barisan Exco pada penggal pentadbiran ini.

Pada 29 Ogos tahun sama, saya telah menggagaskan wawasan pembangunan negeri iaitu Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara yang terdiri daripada empat tema utama iaitu meningkatkan taraf hidup serta kualiti hidup penduduk; mengembangkan saiz ekonomi demi meningkatkan pendapatan isi rumah; memperkasa rakyat demi mengukuhkan sistem masyarakat sivil dan pelaburan Kerajaan Negeri dalam pembangunan alam semula jadi agar lebih berdaya tahan yang mana ia bergantung kepada penglibatan serta semangat rakyat Pulau Pinang secara menyeluruh.

Semenjak itu, kedua-dua dokumen penting ini telah menjadi panduan serta petunjuk dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini. Kita tidak pernah mengalah sejak diberi kepercayaan memegang tampuk pemerintahan pada tahun 2008.

Melangkah ke tahun kelima belas, saya akan terus mengemudi kapal ini bersama-sama anda. Barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang akan terus komited memartabatkan negeri ini di persada dunia dengan cemerlang.

Ini terbukti yang mana dalam tempoh dua tahun berdepan dengan cabaran pandemik COVID-19, Pulau Pinang terus dan mampu menunjukkan kecemerlangan dengan kemampuan memacu kejayaan bukan hanya pada aspek ekonomi, malah juga pembangunan pendidikan, sukan serta sosial.


Hadirin yang dihormati sekalian,

Manifesto 'Saya ❤️ Pulau Pinang' tahun 2018 adalah berteraskan kepada 11 Tema utama iaitu:-

  1. Pentadbiran Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT)
  2. Perumahan untuk semua
  3. Negeri Keusahawan
  4. Meningkatkan Kemudahan Asas
  5. Negeri Hijau
  6. Pembangunan Pendidikan dan Kemahiran
  7. Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Sukan
  8. Negeri Berkebajikan
  9. Memartabatkan Islam
  10. Masyarakat Majmuk yang Harmoni
  11. Hak Negeri Pulau Pinang

TEMA 1: PENTADBIRAN CAT

Tiga manifesto di bawah tema ini semuanya telah ditepati iaitu, jawatan Ketua Menteri telah dihadkan kepada dua (2) penggal melalui pindaan terhadap Perkara 7, Klausa 2(a) - Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 16 November 2018 dan diwartakan pada 31 Januari 2019.

Ketua Pembangkang telah dilantik sebagai Pengerusi Public Accounts Committee (PAC) melalui usul YAB Ketua Menteri dalam sidang DUN Pulau Pinang pada 10 Ogos 2018.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menerima Sijil Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tanpa Teguran bagi tiga tahun berturut-turut iaitu mulai 2018 hingga 2020. Ini membuktikan bahawa kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan prestasi kewangan serta aliran tunai bagi ketiga-tiga tahun adalah stabil dan kukuh serta mematuhi Akta Tatacara Kewangan 1957, Piawaian Perakaunan Kerajaan Malaysia dan International Public Sector Accounting Standard (Financial Reporting under the Cash Basis of Accounting).

TEMA 2: PERUMAHAN UNTUK SEMUA

 

Manifesto bernombor empat (4) hingga tujuh (7) adalah di bawah Tema 2 iaitu perumahan untuk semua yang mana ia kesemuanya telah ditepati.

Sehingga 11 April 2022, sejumlah 134,195 unit meliputi Rumah Mampu Milik (RMM) A, RMM B dan RMM C telah disiapkan/berada pada pelbagai tahap pembinaan.

Sebanyak RM34.55 juta telah dibelanjakan di bawah Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) sejak 2018 hingga Mac 2022, dan sebanyak RM86.49 juta dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri untuk pelaksanaan 5,562 projek penyelenggaraan di semua perumahan awam dan swasta yang layak.

RM49 juta dibelanjakan sejak tahun 2018 hingga 2021 bagi kerja-kerja penyelenggaraan di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), dan sebanyak 2,528 unit rumah telah ditawarkan menerusi Program Rumah Sewa Kerajaan Negeri (RSKN)/Projek Perumahan Rakyat (PPR) di lapan (8) skim perumahan.

TEMA 3: NEGERI KEUSAHAWANAN

 

Sebanyak lima (5) manifesto di bawah Tema 3: Negeri Keusahawanan yang mana kesemua janji-janjinya juga telah ditepati.


Antaranya, Kerajaan Negeri telah melancarkan Tabung Benih Industri 4.0 dengan dana sebanyak RM4 juta pada tahun 2018 bagi membantu technopreneur muda, dan sebanyak 37 syarikat layak menerima bantuan modal. Pada 22 Februari 2022, Kerajaan Negeri telah melancarkan Stream #4 dengan dana tambahan berjumlah RM1 juta.

Memperkasakan Skim Pinjaman Harapan (SPH) yang menyediakan pinjaman mikro kredit tanpa faedah sehingga maksimum RM25,000 bagi membantu usahawan mikro. Sejak 2018 hingga 28 Februari 2022, seramai 898 peminjam telah memperoleh manfaat dengan peruntukan sebanyak RM7,283,000.

Cabaran berdepan dengan impak pandemik COVID-19 juga tidak membantutkan jumlah pelaburan sektor pembuatan diluluskan di Pulau Pinang yang mana pada tahun 2021, kita berjaya mencatatkan jumlah tertinggi dalam negara bernilai RM76.2 billion dengan menjana 51,000 peluang pekerjaan.

Saudara dan saudari sekalian,

TEMA 4: MENINGKATKAN KEMUDAHAN ASAS

 

Jaringan pengangkutan dan kelengkapan infrastruktur demi keselesaan rakyat sentiasa menjadi komitmen Kerajaan Negeri. Sebanyak lima (5) manifesto disenaraikan di bawah Tema 4 iaitu meningkatkan kemudahan asas yang mana tiga daripadanya telah ditepati manakala dalam pelaksanaan (2).

Sejak tahun 2018 hingga 2021, kira-kira RM51.4 juta telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri untuk memberikan perkhidmatan pengangkutan awam percuma kepada rakyat.

Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri telah membiayai Pas Mutiara dan tambang feri Pulau Pinang sekali gus menjadikan semua perkhidmatan pengangkutan bas awam milik Kumpulan Prasarana dan perkhidmatan feri pejalan kaki warganegara Malaysia adalah percuma sepanjang tahun 2021.

Dalam pada itu, sebanyak lapan lapan (8) projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) telah diluluskan. Lima (5) daripadanya telah siap, sedang dibina (2) dan projek masih dalam proses tender (1).

Bagi projek Bayan Lepas Light Rail Transit (BLLRT), ia telah memperoleh kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi Segmen 1 hingga Segmen 4 iaitu dari Komtar ke Permatang Damar Laut pada 21 Februari 2020.

Pada 18 Julai 2019, Kerajaan Negeri telah mendapatkan sebahagian kelulusan bersyarat skim rel untuk pengendalian pameran awam (public inspection) bagi projek terbabit daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Kini, Kerajaan Negeri bersama-sama Project Delivery Partner (PDP) dalam proses mendapatkan kelulusan muktamad bagi BLLRT setelah kelulusan Kajian EIA bagi Segmen 5 iaitu di atas pulau Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pulau Pinang (PSI) diperoleh memandangkan cadangan depoh bagi BLLRT adalah di atas Pulau A, PSI.

Bagi menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri selamat, sebanyak 1,041 unit kamera litar tertutup (CCTV) milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah dipasang dengan fungsi video analitik.

TEMA 5: NEGERI HIJAU

Tema 5 iaitu Pulau Pinang sebagai sebuah negeri hijau ditunjangi dengan 11 manifesto iaitu yang tertinggi. Secara keseluruhan, tiga janji masih dalam proses pelaksanaan manakala selebihnya telah ditepati sepenuhnya.

Sejak 2008, tampuk pemerintahan Kerajan Negeri memberi tumpuan utama untuk membangunkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri hijau.

Kerajaan Negeri memastikan kawasan Hutan Simpanan Kekal yang diwartakan ditambah tetapi tidak boleh dikurangkan. Pulau Pinang merupakan antara negeri yang tidak mengamalkan kaedah pembalakan di kawasan Hutan Simpanan Kekal miliknya. Pada tahun 2020, keluasan Hutan Simpanan Kekal di Pulau Pinang telah ditingkatkan sebanyak 5.5 peratus iaitu berkeluasan 5,386.77 hektar.

Selaras itu juga, sebanyak 97,981 pokok telah ditanam oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP, 61,779 pokok) dan Jabatan Perhutanan Negeri (31,996 pokok) sejak tahun 2018 hingga kini. Turut membanggakan adalah kadar kitar semula bagi negeri Pulau Pinang adalah sebanyak 51.18 peratus selain tiada catuan air di negeri ini sehingga kini selain kadar tarif air domestik adalah yang terendah dalam negara.

TEMA 6: PEMBANGUNAN PENDIDIKAN DAN KEMAHIRAN

Enam (6) manifesto di bawah Tema 6 iaitu pembangunan pendidikan dan kemahiran juga telah ditepati sepenuhnya yang mana sejak tahun 2018 sehingga 2021, dana berjumlah RM52,143,709.00 telah disalurkan kepada Sekolah Tamil, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Persendirian Cina, Sekolah Mubaligh, Sekolah Punjabi dan Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Dalam pada itu, Penang Science Cluster (PSC) telah berjaya memberi latihan coding percuma kepada 154,269 pelajar pada tahun 2018 dan 2021. German Dual Vocational Training (GDVT) Diploma German Meister masih dijalankan dengan jumlah pelajar kini seramai 388 orang.

Sehingga tahun 2022, empat (4) buah perpustakaan digital telah diwujudkan atas inisiatif Kerajaan Negeri iaitu Perpustakaan Digital 1 dan 2 di Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free, Perpustakaan Digital Butterworth dan Perpustakaan Digital Batu Maung.

TEMA 7: PELANCONGAN, KEBUDAYAAN, KESENIAN, WARISAN DAN SUKAN

Gabungan kedua-dua portfolio ini dibarisi dengan tujuh (7) manifesto yang mana hanya satu dalam proses pelaksaanaan dan selebihnya telah ditepati.

Pelaksanaan Projek Kerja-Kerja Restorasi dan Baik Pulih Bangunan Muzium Negeri, Lebuh Farquhar (Fasa 1) dengan kos RM11.5 juta telah bermula pada 30 September 2019 dan dijangka siap pada 16 Jun 2022. Kemajuan projek telah mencapai 90 peratus dan kerja-kerja Fasa 2 serta Fasa 3 dengan kos RM8.5 juta bakal dilaksanakan selepas Fasa 1 disempurnakan.

Tabung Benih Habitat Warisan berjumlah RM3 juta diwujudkan pada 24 November 2018 bertujuan membiayai kerja-kerja baik pulih bangunan warisan dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town. Sehingga ini, tiga (3) rumah kedai warisan Kategori 2 telah siap dibaik pulih, manakala masih dalam proses baik pulih (3).

Bagi aspek rekreasi dan sukan, Stadium Mini Bola Sepak di Permatang Rawa, Bukit Mertajam telah disiap bina manakala stadium hoki Bukit Mertajam, projek multisport arena Queensbay, Kompleks Badminton di Lebuh Macallum, Akademi Badminton di Persiaran Karpal Singh, litar perlumbaan, Kompleks Badminton Bukit Panchor (Nibong Tebal Arena) sedang giat berjalan.

Pemulihan projek-projek ‘gagal’ seperti Komtar telah dikembalikan daya tarikannya yang mana Urban Transformation Centre (UTC) telah mula beroperasi pada 17 Ogos 2021 dan kerja-kerja penambahbaikan Komtar Walk juga telah siap sepenuhnya.

Bagi Bukit Bendera, kini ia telah diiktiraf sebagai Biosphere Reserve oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO) pada 15 September 2021. Suntikan peruntukan berjumlah RM9.3 juta telah disalurkan oleh Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan kerja-kerja perlu.

Hadirin sekalian,

TEMA 8: NEGERI BERKEBAJIKAN

Daripada sembilan (9) manifesto yang menunjangi Tema 8 sebagai negeri berkebajikan, dua daripadanya tidak akan diteruskan ekoran terdapat pertindihan dengan program dilaksanakan di bawah Kerajaan Persekutuan manakala selebihnya telah dipenuhi oleh pucuk kepimpinan Kerajaan Negeri kini.

Bayaran warga emas telah dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 mulai tahun 2022. Pada tahun 2021, Skim Bantuan Asuhan Kanak-Kanak melibatkan pemberian diskaun yuran bulanan sebanyak RM50 kepada setiap kanak-kanak daripada golongan B40 telah dilaksanakan selain penyediaan geran berjumlah RM300,000 untuk menaik taraf TADIKA dan TASKA sedia ada, serta geran berjumlah RM300,000 bagi penubuhan TASKA baharu.

 

TEMA 9: MEMARTABATKAN ISLAM

Terdapat lima (5) manifesto daripada keseluruhan sembilan (9) di bawah Tema 9 memartabatkan Islam masih dalam pelaksanaan ekoran ia membabitkan projek-projek berskala besar seperti membangunkan bandar universiti di Batu Kawan, pembinaan hospital Islam serta sekolah Islam antarabangsa.

Sehingga kini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melancarkan agenda ‘Membangun Khaira Ummah 2030’; penubuhan Pusat Penyelidikan Syed Sheikh Al-Hadi dengan nama Al-Hady Centre yang diposisikan di bawah Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB), dan daripada 1,303 lot tanah wakaf yang berkeluasan 1,269.22 ekar, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) telah membangunkan 45 lot dengan penyediaan 457 unit kediaman dan 174 unit komersial.

TEMA 10: MASYARAKAT MAJMUK YANG HARMONI

Lima (5) manifesto di bawah Tema 10 iaitu masyarakat majmuk yang harmoni telah ditepati sepenuhnya.

Penang Harmony Centre dilancarkan pada 14 November 2019 dengan kos pembinaan berjumlah RM2.5 juta. Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri telah menubuhkan anak syarikat HARMONICO bagi mengurus serta memantau pusat berkenaan.

Sebanyak 134 rumah ibadat bukan Islam (RIBI) telah menerima tanah daripada Kerajaan Negeri mulai tahun 2018 hingga 2022 membabitkan kawasan seluas 83.41 ekar. Dalam pada itu, peruntukan Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang turut ditingkatkan kepada RM7.5 juta sejak 2018 hingga kini berbanding tahun-tahun sebelum, RM1.5 juta.

 

TEMA 11: HAK NEGERI PULAU PINANG

Terdapat empat (4) manifesto di bawah Tema 12 iaitu hak negeri Pulau Pinang masih dalam proses pelaksanaan ekoran ia melibatkan bidang kuasa daripada Kerajaan Persekutuan.

Antaranya adalah disentralisasi kuasa-kuasa kepada Kerajaan Negeri dalam bidang pengangkutan, perkhidmatan sosial, pertanian, perikanan dan alam sekitar yang mana persetujuan daripada Putrajaya adalah diperlukan. Kerajaan Negeri dalam pada itu telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memperjuangkan perkara berkaitan dan laporan interim akan disiapkan pada 20 Mei 2022.

Serentak itu, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan usaha menuntut pemansuhan tol di Jambatan Pulau Pinang dan tol Sungai Nyior yang juga terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

Saudara dan saudari sekalian,

Meneliti pencapaian yang diukir bersama-sama ini, nescaya ia adalah hasil dedikasi kita dalam memperjuangkan amanat, sokongan serta kepercayaan rakyat Pulau Pinang secara keseluruhan. Saya percaya bahawa pencapaian ini mampu meningkatkan keyakinan rakyat Pulau Pinang bahawa kita merupakan sebuah Kerajaan Negeri yang boleh dipercayai bagi terus meletakkan negeri ini ke tahap yang lebih cemerlang serta gemilang.

Berbaki 10 peratus lagi, kita akan meneruskan usaha serta komitmen untuk merealisasikannya. Saya amat yakin barisan kepimpinan saya mampu lakukannya sebagaimana kita telah buktikan dalam cabaran menempuh tempoh pandemik COVID-19 sebelum ini bagi membantu serta memperjuangkan kebajikan rakyat.

Barisan Exco, ADUN-ADUN, Ahli-ahli Parlimen dan semua yang berada di sini harus terus melangkah dengan berani demi membawa keyakinan bagi membantu rakyat serta berdepan dengan rakyat. Janganlah bersikap sambil lewa, ambil mudah dan lalai dalam memperjuangkan pentadbiran CAT, kebajikan rakyat, kelengkapan infrastruktur demi keselesaan semua dalam membentuk sebuah rantaian ekosistem padu yang kita perjuangkan selama ini. Kini, kita sedang membawa Pulau Pinang menerajui teknologi pendigitalan, inisiatif smart city berlandaskan pembangunan sumber insan. Serentak itu, pemuliharaan seni warisan tetap diteruskan tanpa melupakan asal usul kita dengan mandat yang diberikan sehingga kini.

Kita akan terus bergerak sebagai sebuah pasukan yang jitu untuk terus memartabatkan Pulau Pinang yang kita sayangi.

Saya ❤️ Pulau Pinang. Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang