MAJLIS PELANCARAN SIRI PERTAMA PROGRAM RAMAH MESRA BERSAMA-SAMA KOMUNITI SEMPENA SAMBUTAN HARI IBU

TEKS UCAPAN Y.BHG. PUAN TAN LEAN KEE

PRESIDEN PERTUBUHAN WANITA MUTIARA PULAU PINANG

 

MAJLIS PELANCARAN SIRI PERTAMA PROGRAM RAMAH MESRA BERSAMA-SAMA KOMUNITI SEMPENA SAMBUTAN HARI IBU

 

DEWAN MPKK PAYA TERUBONG

28 MEI 2022;10.30 PAGI

Selamat pagi dan salam sejahtera kepada semua.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan selamat datang ke Majlis Pelancaran Siri Pertama Program Ramah Mesra Bersama-sama Komuniti Sempena Sambutan Hari Ibu hasil inisiatif khas Pertubuhan Wanita Mutiara di pagi yang berbahagia ini.

Inisiatif siri jelajah program yang direka khas bagi menghargai peranan serta pengorbanan golongan ibu ini dimulakan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Paya Terubong, dan ia dapat dilaksanakan dengan lancarnya pada hari ini hasil komitmen penuh yang diberikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan, YB Yeoh Soon Hin. Sekalung penghargaan diucapkan.

Mengambil peluang ini juga, saya turut terharu dengan kehadiran ibu-ibu serta anak-anak yang berada di hadapan saya kini. Tanpa anda, majlis pada pagi ini tidak dapat diadakan dengan jayanya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Program Ramah Mesra Bersama-sama Komuniti Sempena Sambutan Hari Ibu merupakan inisiatif khas dan julung kali dianjurkan oleh Pertubuhan Wanita Mutiara bagi mendekati komuniti serta meraikan peranan serta pengorbanan golongan wanita khususnya mereka yang bergelar ibu.

Menerusi pelaksanaan program ini, isteri kepada ADUN-ADUN dan Ahli-Ahli Parlimen negeri Pulau Pinang yang merupakan ahli kepada Pertubuhan Wanita Mutiara bukan hanya berpeluang mendekati, berkongsi pengalaman suka duka sebagai golongan Hawa serta ibu dalam menempuh cabaran hidup kini, malah secara tidak langsung ia juga dapat mewujudkan keharmonian dan kebersamaan dalam entiti masyarakat secara keseluruhan.

Sebagaimana semua maklum, ibu memainkan peranan amat penting dalam membina sebuah keluarga yang harmoni serta sejahtera. Insan bergelar ibu merupakan individu yang paling dekat dengan anak-anak dan sentiasa berusaha menyuntik nilai-nilai murni, minda serta kesihatan mental yang sihat demi memastikan sahsiah darah daging mereka dibentuk dengan sempurna demi masa depan sebuah masyarakat yang harmoni.

Berdasarkan peranan penting ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang umumnya sentiasa berusaha dalam memperjuangkan dan juga memastikan kesaksamaan serta keterangkuman daripada segi kebolehcapaian teknologi digital dalam kalangan wanita khasnya golongan ibu di negeri ini.

Saudara dan saudari sekalian,

Membina keluarga yang harmoni adalah penting untuk membangkitkan rasa selamat dalam diri kanak-kanak sekali gus membuatkan mereka yakin terhadap diri sendiri.

Malah, mereka akan menjadi lebih yakin untuk meneroka dunia ini selain mampu menghadapi cabaran dengan lebih baik kerana mereka lazimnya akur dan sedar bahawa mereka mempunyai sokongan yang teguh daripada ahli keluarga.

Keluarga bahagia yang bersatu padu dan sejahtera akan mengajar kita tentang bagaimana untuk menjadi sebahagian daripada komuniti, menyumbang semula serta membentuk jati diri terbaik yang membawa kepada pembentukan masyarakat yang progresif dan bersatu padu.

Anak-anak yang lambat laun akan mencecah ke alam remaja dan bergelar belia juga tidak kurang pentingnya peranan yang bakal dimainkan kerana mereka merupakan aset terbesar dalam kemajuan sesebuah negara termasuk kepada negeri Pulau Pinang.

Sekiranya dibentuk dengan cara yang betul, mereka mampu mencipta sejarah dan menyumbang kepada pembangunan negara serta negeri khasnya. Oleh sebab itulah, kami menggabungkan 'pembinaan sahsiah' di dalam program yang dianjurkan ini.

Menerusi program ini juga, Pertubuhan Wanita Mutiara akan mendekati 15 buah keluarga terpilih dalam setiap siri jelajah yang diadakan. Saya percaya menerusi pendekatan ini, ia sedikit sebanyak mampu mencapai objektif penganjuran demi melahirkan sebuah masyarakat yang sihat bukan hanya pada aspek fizikal, malah juga mental dan rohani ke arah merealisasikan Visi Penang2030 iaitu sebagai sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Hadirin sekalian,

Sebelum mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada YB Yeoh Soon Hin dan pasukan pusat khidmat beliau yang telah menjayakan penganjuran ini.  

Tidak lupa juga kepada Puan Sim Lay Bee di atas sumbangan 15 unit komputer riba kepada golongan kanak-kanak memerlukan; Syarikat Passion Trading Sdn. Bhd. yang bermurah hati menaja hadiah instimewa dan Penang Hairdressing and Hair Waving Association (PHA) yang turut serta dalam memberikan perkhidmatan mendandan rambut kepada golongan ibu di sini.

Adalah diharapkan segala perancangan, sumbangan dan komitmen daripada semua pihak dapat merealisasikan objektif penganjuran Program Ramah Mesra Bersama-sama Komuniti Sempena Sambutan Hari Ibu demi negeri Pulau Pinang yang kita cintai ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang