PROGRAM PENYERAHAN BENDERA KEPADA STAY FIT SUNNAH SPORTS CLUB PENANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA PROGRAM PENYERAHAN BENDERA KEPADA STAY FIT SUNNAH SPORTS CLUB PENANG

 

31 OGOS 2023 | 3.00 PM


FOYER KOMTAR (BERDEPAN MAYBANK)



Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Pada hari yang mulia ini, bersamaan tanggal keramat kemerdekaan negara ke-66, 31 Ogos 2023, kita berkumpul di sini untuk bersama-sama meraikan ahli-ahli Stay Fit Sunnah Sports Club Penang yang akan memulakan pengembaraan mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara.

Saya difahamkan bahawa misi yang diberi nama ‘Project Possible Kinabalu Stayfitsunnah’ telah menghimpunkan individu dari pelbagai usia dan latar belakang untuk mencapai matlamat menawan gunung tertinggi di Asia Tenggara iaitu Gunung Kinabalu bermula 4 September ini.

Misi ekstrem ini adalah bukti bahawa usia bukanlah penghalang bagi seseorang individu untuk mencapai cita-cita atau impian. Daripada ahli termuda, Ahmed Irfan Ali Ahmed Faisal, yang berusia hanya 14 tahun, hingga kepada pengembara berpengalaman Mohamed Basir Haha Mydin, berusia 53 tahun, saya berharap kesemua peserta misi mengutamakan keselamatan diri dan pasukan melebihi segala-galanya kerana nyawa manusia tiada galang gantinya.

Pada masa sama, saya dimaklumkan bahawa misi ini akan dipimpin oleh Saudara Ahmed Faisal Mohd. Lazim, yang tidak asing lagi dalam dunia sukan dan aktiviti ekstrem. Daripada aktiviti mendaki gunung, berbasikal, marathon dan sebagainya, saya percaya dengan kebolehan Saudara Ahmed Faisal dalam memimpin pasukan misi ini untuk berjaya menawan puncak Gunung dan pulang ke tanah negeri tercinta ini dengan selamat.

Hadirin yang dihormati dan kepada semua peserta sekalian,

Ambillah peluang kali ini untuk menonjolkan nilai-nilai Madani dalam diri setiap kita terutamanya yang menyertai misi ini. Jadilah sebuah kumpulan atau insan yang menyumbang kepada kesejahteraan dalam aktiviti berpasukan.

Tonjolkan kreativiti dan daya cipta sekiranya diuji ketika mendaki. Sentiasa hormat-menghormati antara satu sama lain walau dalam keadaan yang genting. Sentiasa berkeyakinan tinggi untuk mencapai tujuan serta menerapkan nilai ihsan serta rahmah kepada ahli pasukan kerana tanpa nilai-nilai ini, ia adalah tidak lengkap ertinya kita sebagai seorang manusia.

Sebagai penutup kata, sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, syaa mendoakan kejayaan ‘Project Possible Kinabalu Stayfitsunnah’ untuk menawan Gunung Kinabalu.

Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat negeri ini untuk lebih berani menggapai impian, menguji batasan dan bersatu padu dalam semangat perpaduan. Sekali lagi, saya mendoakan keselamatan dan kejayaan kepada anda semua.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang