MAJLIS PERASMIAN FESTIVAL WARISAN KEBANGSAAN ORANG HIDUP 2023

TEKS UCAPAN YAB TUAN CHOW KON YEOW

KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN FESTIVAL WARISAN KEBANGSAAN ORANG HIDUP 2023

 

22 OKTOBER 2023 | 8.25 MALAM

 

JALAN PADANG KOTA LAMA

 

Terima kasih saudara/i pengerusi majlis.

 

Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad

Fuzi bin Haji Abdul Razak,

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang

YB Dato’ Sri Tiong King Sing

Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya

Yang Berbahagia Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman

Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya

Yang Berbahagia Tan Sri/Puan Sri,

Yang Berhormat Dato’-Dato’/Datin-Datin,

Para media dan hadirin yang dihormati sekalian,

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia MADANI

Cantik manis si anak dara,

Mengail ikan di tebing muara.

Salam sembah pembuka bicara,

Selamat datang untuk semua.

 

Terlebih dahulu, marilah kita semua memanjatkan kesyukuran pada kesempatan untuk berkumpul bagi bersama-sama meraikan Majlis Perasmian Festival Warisan Kebangsaan Orang Hidup 2023 pada hari yang berbahagia ini.

Saya ingin mengalu-alukan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ke majlis ini, yang mana kesudian Tun bakal menyerikan lagi majlis yang cukup bermakna ini. 

Selamat datang juga kepada para hadirin dan hadirat yang hadir pada malam ini terutamanya kepada YB Menteri dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara di atas kesudian memilih Pulau Pinang sebagai lokasi penganjuran festival yang akan berlangsung selama dua (2) hari bermula 21 Oktober 2023 sehingga 22 Oktober 2023.

Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin sekalian,

Nama negeri Pulau Pinang sudah semestinya tidak dapat dipisahkan dengan kekayaan warisan, seni dan budaya daripada pelbagai latar belakang dan asal usul sesebuah tamadun. George Town, Pulau Pinang yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 7 Julai 2008 telah menjadi tarikan utama pelancong dari dalam dan luar negara.

Selain daripada keindahan pantai serta kemegahan bukit bukau di negeri ini, Pulau Pinang juga menjadi tarikan dengan nilai sejarah dan kekayaan budaya yang tersulam dalam segenap penjuru negeri ini. Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa komited untuk mengukuhkan Nilai Keunggulan Sejagat Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak memperoleh pengiktirafan ini.

Sudah pasti, Pulau Pinang juga menjadi tumpuan warga dunia dengan pelbagai sambutan perayaan yang menarik perhatian jurugambar dan juga media antarabangsa. Malah, jalinan keharmonian yang wujud di antara kepelbagaian budaya ini jelas dipancarkan dengan peraduan kaum di negeri ini yang sudah lama mekar, selain daripada ianya diabadikan di jalan yang dikenali sebagai Jalan Harmoni yang mempunyai bangunan ibadat daripada pelbagai agama yang terletak di Jalan Masjid Kapitan Keling dan Lebuh Cannon.

Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin sekalian,

Berbalik kepada objektif utama penganjuran Festival Warisan Kebangsaan Orang Hidup 2023 sempena Program Merakyatkan Seni Budaya: ‘Warisan Akar Umbi’ ini, Pulau Pinang sememangnya menyambut baik dan menyokong penuh acara ini berikutan Pulau Pinang juga turut mempunyai Tokoh Kebangsaan Orang Hidup yang telah mendapat pengiktirafan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) dalam persembahan Boria iaitu Encik Omar bin Md. Hashim pada tahun 2018.

Inisiatif MOTAC melalui Jabatan Warisan Negara ini merupakan satu usaha yang cemerlang bagi membantu penggiat-penggiat seni budaya khususnya yang telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) bagi meneruskan kelangsungan untuk berkarya di samping menghargai sumbangan mereka dalam memartabatkan seni, budaya dan warisan negara. Umunmya, inisiatif ini secara tidak langsung dapat menonjolkan seni kebudayaan dan warisan daripada kepelbagaian negeri.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa bersedia untuk menerima kerjasama daripada pelbagai pihak untuk bersama-sama melestarikan bidang seni, budaya dan

warisan negara. Malah, Pulau Pinang juga turut memulihara, memelihara, mempromosikan seni, budaya dan warisan melalui Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 dan Peraturan-Peraturan Warisan Negeri Pulau Pinang 2016 merupakan antara contoh langkah yang diambil Kerajaan Negeri untuk mengangkat dan memulihara khazanah kebudayaan di negeri ini.

Bagi menghargai dan menyanjungi usaha memartabatkan Warisan Kebudayaan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri pada tahun 2022 telah memperkenalkan Anugerah Cemerlang Warisan Seratus Tahun Pulau Pinang.

Inisiatif ini dilaksanakan melalui Pejabat Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang (PETACE) bagi menyanjungi usaha pelbagai pihak termasuk persatuan, organisasi, perniagaan, institusi serta entiti yang telah lama bertapak dan masih aktif dalam memelihara juga memulihara warisan di negeri ini.

Tuan Yang Terutama Tun dan hadirin sekalian,

Saya difahamkan program ini turut melibatkan komuniti tempatan seperti Peranakan Cina Pulau Pinang, Persatuan Chingay, Persatuan Beca, komuniti Siam dan India selain daripada komuniti Melayu itu sendiri. Saya berasa amat bangga dengan usaha Jabatan Warisan Negara dalam mengenengahkan komuniti Pulau Pinang dalam menjayakan festival ini.

Justeru, saya berharap agar penganjuran Festival Warisan Kebangsaan Orang Hidup 2023 ini akan membuka mata semua masyarakat tentang kewujudan Tokoh Warisan Kebangsaan Orang Hidup (WAKOH) yang telah diiktiraf di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645). Ia adalah amat penting dalam usaha meneruskan kelestarian seni, budaya dan warisan negara. Semoga seni, budaya dan warisan negara bukan sahaja dapat dikekalkan, namun terus berkembang dan terus diwarisi seiring dengan arus permodenan negara.

Sekali lagi,  tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam menjayakan Festival Warisan Kebangsaan Orang Hidup 2023. Sebelum mengakhiri ucapan, izinkan saya untuk berkongsi sebuah lagi rangkap pantun.

Akar keladi melilit selasih,

Selasih tumbuh di hujung taman.

Di Festival WAKOH kita bertaut kasih,

Warisan budaya kekal berzaman.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang