MAJLIS PERASMIAN PUSAT KHIDMAT ADUN KEBUN BUNGA & JAMUAN SEMPENA SAMBUTAN HARI DEEPAVALI  

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN PUSAT

KHIDMAT ADUN KEBUN BUNGA & JAMUAN SEMPENA SAMBUTAN HARI DEEPAVALI

 

29 OKTOBER 2023 (AHAD) ; 6 PETANG

RUMAH PANGSA PADANG TEMBAK

________________________________________

 

YB Tuan Lee Boon Heng

ADUN Kebun Bunga

YB Tuan Joshua Woo Sze Zeng

ADUN Pulau Tikus

YB Puan Syerleena Abdul Rashid

Ahli Parlimen Bukit Bendera

Yang Berusaha Encik Nur Afnan Zakaria

Penghulu Kawasan Kebun Bunga

Para Jemputan; Rakan-rakan Media; Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian

Selamat Petang, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada YB Lee Boon Heng selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga dan pasukan beliau yang telah mengaturkan Majlis Perasmian Pusat Khidmat ADUN Kebun Bunga dan juga jamuan bersempena sambutan Pesta Cahaya di Pangsapuri Block F Padang Tembak pada petang yang berbahagia ini.

Saya difahamkan bahawa setelah mengambil kira faktor demografi unik Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Kebun Bunga ini, Pusat Khidmat ADUN yang bakal dirasmikan hari ini di sini merupakan lokasi kedua selain di Mount Erskine.

Syabas dan tahniah saya ucapkan atas inisiatif mewujudkan pusat khidmat ini yang mana saya sifatkan ia adalah amat penting sebagai institusi yang menghubungkan rakyat dan kerajaan dengan lebih berkesan.

Hadirin sekalian,

KADUN Kebun Bunga mempunyai 24,532 pengundi, dan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bertarikh 12 Ogos lalu, Saudara Boon Heng telah menang dengan majoriti 12,955. Ini adalah satu keputusan yang memberangsangkan. Menjadi harapan besar saya agar YB Boon Heng dapat terjemahkan kemenangan tersebut dengan memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada penduduk di sini.

Kawasan Padang Tembak sememangnya tidak asing bagi saya. Di sini terdapat sembilan (9) flat dengan lebih 3,000 unit rumah dan melebihi 10,000 penduduk yang mana kebanyakannya adalah terdiri daripada golongan B40 dan warga emas.

Justeru, adalah wajar supaya aktiviti sosial dan juga rekreasi dipergiatkan lagi demi kepentingan serta keperluan komuniti setempat secara keseluruhan terutamanya ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang sihat dan juga penuaan aktif kepada golongan warga emas kita.

Umumnya, selain menjadi bukti terhadap komitmen untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di KADUN Kebun Bunga, penubuhan pusat khidmat ini juga adalah untuk memastikan penyampaian dasar dan maklumat terkini sampai kepada pengundi yang telah memberi mandat kepada wakil rakyat dipilih.

Malah, ia juga bertujuan untuk mengorientasikan masyarakat dengan aktiviti kesukarelawanan, program-program berkebajikan dan penyaluran segala bentuk bantuan serta perkhidmatan berkaitan.

Saudara dan saudari yang dihormati sekalian,

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghargai sokongan, kepercayaan dan amanah yang telah diberikan. Justeru, dalam penggal ini, saya bersama-sama barisan kepimpinan akan menggunakan peluang ini untuk memperbaiki tadbir urus dalam merealisasikan segala manifesto yang telah dirangka.

Semuanya demi rakyat di negeri ini, dengan bertunjuangkan 16 tema utama bakal, pembangunan sosial akan terus menjadi agenda utama sebagaimana ditekankan dalam Manifesto Perpaduan Nombor Satu iaitu berhubung penubuhan Tabung Pembangunan Sosial bagi memanfaatkan golongan yang memerlukan.

Dalam pada itu, turut ditekankan adalah Pusat Penang2030 yang akan diwujudkan di setiap daerah termasuk di KADUN Kebun Bunga kelak ke arah usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sebuah pusat guna sama, atau shared space bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan, program pembangunan sosial dan kursus pemerkasaan komuniti dengan mengintegrasikan sumber sedia ada tanpa berlaku pertindihan.

Setakat hari ini, sebanyak 25 Pusat Penang2030 telah mula beroperasi di negeri Pulau Pinang yang mana sasaran kita sudah semestinya 40 pusat di 40 KADUN semuanya.  Dengan penubuhan lebih banyak Pusat Penang2030 dan Pusat Khidmat ADUN serta sokongan daripada setiap wakil rakyat dan Masyarakat setempat, saya yakin bahawa Visi Penang2030 akan dapat dicapai dengan jayanya.             

                                                       

Hadirin yang dihormati sekalian,

Selain petugas di Pusat Khidmat ADUN, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) turut memainkan peranan amat penting. Di KADUN Kebun Bunga, sebanyak enam (6) MPKK iaitu Padang Tembak, Batu Gantung, Mount Erskine, Hong Seng Estate, Fettes Park dan Pepper Estate yang menggerakkan penglibatan komuniti setempat. Saya yakin bahawa kepimpinan pada peringkat akar umbi ini akan berusaha dan bekerjasama dengan penduduk setempat bagi merealisasikan perancangan serta matlamat pembangunan Kerajaan Negeri yang digagaskan kini.

Sepertimana yang sering saya tekankan, Kerajaan Negeri peka dan merasai setiap denyut nadi rakyat. Kita tidak mahu mana-mana kelompok masyarakat tertinggal atau dipinggirkan. Oleh itu, dengan memanfaatkan aset serta kelebihan yang dimiliki kini, Kerajaan Negeri akan terus menggembleng tenaga menggiatkan usaha untuk melihat rakyat dan negeri ini terus maju, makmur dan sejahtera dalam semua aspek kehidupan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Menjelang sambutan Hari Deepavali yang bakal diraikan dalam masa dua (2) minggu lagi, pada petang ini, sumbangan khas dalam bentuk bakul makanan telah disediakan olkeh YB Boon Heng kepada 100 keluarga terpilih di Padang Tembak.

Semoga sumbangan yang diberikan ini akan memeriahkan lagi sambutan Pesta Cahaya kepada mereka yang memerlukan. Sebagai penutup kata, sekali lagi sekalung penghargaan diucapkan kepada YB Lee Boon Heng dan pasukannya atas pengoperasian dan juga kelancaran dalam penganjuraan majlis pada hari ini.

Dengan ini, saya sukacitanya merasmikan Pusat Khidmat ADUN Kebun Bunga.

Sekian, terima kasih.

DEEPAVALI

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang