MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PAJAKAN BAGI PROJEK ‘WORKERS VILLAGE’ DI BATU KAWAN INDUSTRIAL PARK 3 (BKIP3)

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PAJAKAN BAGI PROJEK ‘WORKERS VILLAGE’ DI BATU KAWAN INDUSTRIAL PARK 3 (BKIP3)

 

6 DISEMBER 2023 (RABU) | 12.30 TENGAH HARI

JEN HOTEL PENANG

 

Yb. Dato' Dr. Mohamad Bin Abdul Hamid

Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Lembaga PDC

 

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang

Yb. Puan Roslinda Binti Mohd Shafie

Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang

Yb. Tuan Goh Choon Aik

Adun Bukit Tambun Merangkap Ahli Lembaga PDC Merangkap Ahli Lembaga PDC

Ybhg. Datuk Mohd Jimmy Wong bin Abdullah

Pengarah MY EG Lodging (NC) Sdn Bhd (MYEG)

Timbalan-Timbalan Pegawai Eksekutif PDC

Encik Khairulnizam Bin Hashim                                                                                            

Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan

Pengurusan Atasan PDC

Pengurusan Atasan MY EG Lodging (NC) Sdn Bhd (MYEG)

Rakan-Rakan Media

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Sebagai pembuka kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kerana sudi menjemput saya untuk menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Perjanjian Pajakan Bagi Projek ‘Worker Village’ Di Batu Kawan Industrial Park 3 (BKIP3) pada tengah hari yang mulia ini.

Hari ini merupakan hari yang amat penting PDC dan MY EG Lodging (NC) kerana ia menandakan permulaan kerjasama yang progresif bagi kedua-dua pihak dan secara tidak langsung mampu memberi manfaat kepada rakyat di negeri Pulau Pinang secara keseluruhan.

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

Seperti mana yang semua sedia maklum, PDC sebagai agensi pelaksana Kerajaan Negeri sejak tahun 1969 merupakan nadi dalam mentransformasikan ekonomi negeri daripada berasaskan pertanian kepada perindustrian dan perdagangan. Saya percaya, PDC tidak mungkin mampu mengukir kejayaan demi kejayaan tanpa sokongan dan kerjasama erat daripada semua pihak.

Setelah 54 tahun penubuhan, PDC telah membuktikan kejayaan dengan menjadi tongak utama agensi Kerajaan Negeri yang berperanan dalam merealisasikan hasrat dan matlamat dalam pemacu pembangunan Negeri Pulau Pinang.

Seiring dengan pembangunan sektor perindustrian ini, lebih 250,000 peluang pekerjaan sama ada dalam industri pelabur tempatan mahupun pelabur-pelabur luar telah berjaya diwujudkan. Lebih membanggakan, para pelabur yang terdiri daripada syarikat-syarikat “Fortune 500” seperti Robert Bosch, Lam Research, Osram dan sebagainya telah berjaya ditarik untuk bertapak di Pulau Pinang.

Pembangunan sektor perindustrian yang pesat ini bukan sahaja telah menjana hasil berterusan berganda kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Indah Water Konsortium (IWK) dan sebagainya, malah para pemaju hartanah swasta juga memperoleh manfaat besar seiring permintaan yang tinggi dalam sektor hartanah.

Hadirin sekalian,

Bagi meningkatkan daya saing atau competitive edge, adalah sangat kritikal pada masa ini untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang menawarkan produk terbaik kepada para pelabur yang tidak mungkin dapat diperoleh di mana-mana negeri lain di Malaysia atau negara jiran.

Inisiatif utama pajakan ini adalah untuk membangunkan asrama pekerja dan fasiliti yang berkaitan di BKIP 3 seluas anggaran 8.3943 ekar (Plot 1). Pembinaan fasiliti ini merupakan satu keperluan ekoran pertumbuhan sektor perindustrian yang secara tidak langsung membawa kepada permintaan penyediaan penempatan pekerja.

Pembangunan asrama pekerja secara berpusat, terkawal dan terancang berkenaan menandakan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menyokong kadar pertumbuhan pesat pembangunan perindustrian di negeri Pulau Pinang di samping membantu Kerajaan Negeri menyelesaikan masalah yang dihadapi seperti:

  1. Aduan umum mengenai kebanjiran warga asing yang mendiami skim perumahan sedia ada yang secara tidak langsung dipercayai menimbulkan isu keselamatan dan keselesaan penduduk tempatan;
  1. Menangani isu susut nilai hartanah apabila terdapat pekerja asing di sesuatu kawasan kediaman; dan
  • Kedatangan warga asing yang tidak berdaftar.

 

Justeru, bagi memastikan Pulau Pinang kekal sebagai hab pelaburan tempatan dan antarabangsa, Kerajaan Negeri sentiasa memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaburan di negeri ini.

Malah, terdapat pelbagai perancangan oleh Kerajaan Negeri untuk menarik lebih banyak pelabur dan mengekalkan syarikat yang telah melabur di Pulau Pinang. Antara usaha-usaha tersebut adalah membangunkan taman-taman perindustrian baharu bertaraf antarabangsa melalui PDC. Pembangunan taman-taman perindustrian baharu seperti Taman Teknologi Bandar Cassia (Bandar Cassia Technology Park), Batu Kawan Timur (East Batu Kawan),  Taman Perindustrian Batu Kawan 2 (Batu Kawan Industrial Park 2) dan Taman Sains Pulau Pinang Selatan (Penang Science Park South) sedang giat dirancang, dibangunkan malah dipercepatkan pembinaannya demi memastikan Pulau Pinang mempunyai tanah perindustrian yang mencukupi bagi menampung permintaan para pelabur.

Taman Teknologi Bandar Cassia bakal menawarkan sebanyak 250 ekar tanah perindustrian baharu dan para pelabur dijangka dapat memulakan projek pembinaan kilang mereka di taman perindustrian tersebut dari tempoh 2023 hingga 2025. Taman-taman perindustrian baharu ini akan meningkatkan jumlah kawasan perindustrian melebihi 800 ekar bagi menampung jumlah permintaan tanah perindustrian yang tinggi oleh pelabur asing dan tempatan.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

Kembali kepada intipati majlis pada hari ini, PDC telah mengiklankan RFP ini selama dua (2) bulan, iaitu dari 29 September 2022 hingga 29 November 2022. Pada tarikh tutup, PDC telah menerima tawaran daripada tiga (3) buah syarikat dan tawaran-tawaran tersebut telah dibentangkan kepada Lembaga Tawaran PDC dan juga Lembaga PDC.  Akhirnya, tawaran pajakan daripada MY EG Lodging (NC) Sdn. Bhd. diterima dengan syarat-syarat yang disebut oleh Dato’ Aziz sebentar tadi.

Dengan ini, saya berharap bahawa projek ini bukan sahaja dapat membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara amnya dan negeri khususnya, tetapi juga dapat menyelesaikan masalah sosial, pencemaran serta budaya kepada penduduk sekitar.

Sebagai penutup kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat bagi merealisasikan Projek ‘Worker Village’ ini di BKIP3 dan juga semua yang berusaha untuk menjayakan majlis pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

BKIP3

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang