MAJLIS PERASMIAN  PROJEK MENAIK TARAF LINEAR GARDEN

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN  PROJEK MENAIK TARAF LINEAR GARDEN

 

 

29 JANUARI 2024 (ISNIN) I 830 PAGI

 

PADANG KOTA LAMA

 

Salam sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan rasa syukur atas kesempatan semua dapat berkumpul pada pagi yang berbahagia ini untuk bersama-sama meraikan kejayaan penyempurnaan Projek Menaik Taraf Linear Garden, George Town, Pulau Pinang.

Seperti semua sedia maklum, Projek Linear Garden merupakan salah satu projek utama dalam George Town Strategic Master Plan dan Pelan Induk Pesisir Pantai Utara (North Seafront Masterplan) yang dibangunkan oleh George Town Conservation and Development Corporation (GTCDC) iaitu sebuah gabungan kerjasama di antara Perbadanan Ketua Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang (CMI), Think City Sdn. Bhd. (Think City) dan Aga Khan Trust for Culture (AKTC) yang bertindak sebagai penasihat teknikal.

Hadiri yang dihormati sekalian,

Projek Linear Garden dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang mana Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan menyalurkan peruntukan untuk pelaksanaan projek ini sebanyak RM1.5 juta melalui Bajet Pembangunan Negeri.  Terdapat 14 projek yang perlu diberi perhatian dalam pelan induk ini meliputi kos keseluruhan sebanyak  RM140 juta yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, MBPP dan Think City bagi memastikan pengekalan status Warisan Dunia UNESCO George Town.

Sebagai makluman, projek ini juga dilaksanakan setelah melihat kepada keperluan untuk menaik taraf tugu Cenotaph. Tambahan itu, ianya juga sekaligus dapat meneruskan jalinan fizikal dan sosial melalui penambahbaikan reruang awam dan kawasan hijau serta kemudahsampaian (accessibility) dalam meraikan kawasan North Seafront sebagai pusat integrasi sivik di dalam tapak warisan dunia UNESCO George Town. Selain itu, satu lambang gangsa (emblem) UNESCO yang lazimnya ditemui di kebanyakan Tapak Warisan Dunia UNESCO seluruh dunia telah dihasilkan sebagai salah satu komponen istimewa di Linear Garden.

Umumnya, usaha ini juga merupakan projek susulan selepas kejayaan Projek Pengukuhan dan Penambahbaikan Tembok Laut Padang Kota Lama pada Mei 2022. Bagi mencapai impak sosial yang lebih besar, cadangan pembangunan akan diperluaskan sehingga ke Dewan Sri Pinang dan Medan Renong bagi menyempurnakan pembangunan di presint North Searfront secara berfasa. Projek-projek ini adalah sebahagian daripada program Penang Bay yang direalisasikan selaras dengan Visi Penang2030 di bawah Tema B3, iaitu mewujudkan produk pelancongan berkualiti di bahagian pulau dan Seberang Perai. Malah, projek Penang Bay juga telah berjaya mendapatkan SDG Cities Silver Certification pada 31 Oktober 2022 selaras dengan SDG Cities Global Initiative.

Hadirin sekalian,

 

Sebelum mengakhiri ucapan pada pagi ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas kerjasama terutamanya komitmen serta dedikasi MBPP dan GTCDC yang dicurahkan dalam menjayakan projek ini. Saya yakin dengan ikatan kerjasama berkaitan, tidak lama lagi, kita akan melihat keseluruhan presint ini dimanfaatkan kepada semua lapisan masyarakat  bagi kemampanan sosio ekonomi negeri dengan pengekalan nilai-nilai sejarah, kelestarian alam sekitar serta mewujudkan reruang awam yang selesa, mampan dan inklusif untuk semua.

Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Projek Menaik Taraf Linear Garden, George Town, Pulau Pinang.

Sekian, terima kasih.

LINEAR GARDEN

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang