MAJLIS MAKAN MALAM DAN APRESIASI MAKSAK NEGERI PULAU PINANG 2023

TEKS UCAPAN PERASMIAN OLEH

KETUA MENTERI PULAU PINANG,

YAB TUAN CHOW KON YEOW

 

SEMPENA MAJLIS MAKAN MALAM DAN APRESIASI MAKSAK NEGERI PULAU PINANG 2023

  

01 FEBRUARI 2024 (KHAMIS) | 8.00 MALAM

HOTEL EASTIN, BAYAN LEPAS

Salam sejahtera, Salam Malaysia Madani, Salam Penang2030 dan Salam MAKSAK Pulau Pinang.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Haji Rosli bin Isa dan barisan kepimpinan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) Negeri Pulau Pinang kerana sudi menjemput saya ke Majlis Makan Malam dan Apresiasi MAKSAK Negeri Pulau Pinang yang mana ini merupakan julung kalinya saya dijemput ke majlis berkaitan MAKSAK Negeri Pulau Pinang.

Umumnya, saya amat gembira dan berbangga kerana dapat bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan sekalian di dalam majlis ini  bagi meraikan  atlet-atlet MAKSAK Pulau Pinang yang telah memenangi Kejohanan MAKSAK sepanjang tahun 2023, sama ada johan, naib johan atau tempat ketiga.

Majlis ini juga adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada barisan kepimpinan, pengurus-pengurus pasukan, badan-badan gabungan dan urus setia MAKSAK Negeri Pulau Pinang termasuk para mantan kerana telah bertungkus lumus  melaksanakan amanah yang telah diberikan bagi memastikan MAKSAK Negeri Pulau Pinang kekal relevan dan berdaya saing.

Saya dimaklumkan bahawa majlis seumpama ini telah lama tidak diadakan semeriah ini yang mana pada tahun sebelumnya hanya diadakan di auditorium, Komtar dengan kehadiran jemputan yang sangat terhad. Justeru, saya amat menyokong MAKSAK Negeri Pulau Pinang sekiranya Majlis Makan Malam dan Apresiasi seumpama ini dapat dijadikan acara tradisi atau tahunan. Ini kerana, majlis ini merupakan platform yang amat tepat dalam mengumpulkan semua pihak yang terlibat dengan MAKSAK Negeri Pulau Pinang terutamanya para atlet yang telah mengharumkan nama Pulau Pinang di peringkat MAKSAK Kebangsaan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Saya percaya, majlis seumpama ini juga akan mengukuhkan lagi jalinan perhubungan dan semangat kekeluargaan dan kekitaan dalam MAKSAK Negeri Pulau Pinang. Tahniah saya ucapkan kepada Yang Berhormat Dato’ Haji Rosli bin Isa kerana telah membuahkan idea untuk menghidupkan semula acara tradisi ini. Syabas juga kepada pihak urus setia kerana berani mencipta kelainan majlis makan malam yang sangat berbeza daripada majlis-majlis makan malam yang pernah saya hadiri sebelum-sebelum ini, yakni ada lima (5) tema pakaian di dalam satu (1) majlis.

Bila kita berbicara mengenai MAKSAK, maka, tentunya ia terkait dengan sukan dan kebajikan. Oleh itu, saya ingin menyeru agar pelaksanaan sukan atau apa-apa aktiviti dan program MAKSAK Negeri Pulau Pinang dapat diselarikan dengan Visi Penang2030, di bawah Inisiatif Strategik A4, Tema 2 iaitu :- Peningkatan 50 peratus kadar aktiviti sukan dan rekreasi penduduk negeri Pulau Pinang. MAKSAK ini boleh dijadikan sebagai salah satu medan untuk mencungkil bakat-bakat baharu sukan untuk negeri ini yang mana atlet-atlet yang telah mempamerkan prestasi cemerlang boleh diketengahkan ke temasya sukan yang lebih tinggi, misalnya Sukan Malaysia (SUKMA).

 

Secara keseluruhan, Pulau Pinang telah menyasarkan kutipan 40 pingat emas untuk SUKMA 2024 kali ini. Dalam memastikan kejayaan di SUKMA 2024, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi penyediaan kontinjen negeri ke temasya tersebut. Peruntukan berkenaan merangkumi pembekalan peralatan pertandingan untuk pasukan negeri dan pelbagai perbelanjaan termasuk perbelanjaan kontinjen ke Sarawak.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) telah menggariskan strategi tumpuan utama pelaksanaan sukan berprestasi tinggi berteraskan empat (4) teras utama iaitu memperbanyakkan kemenangan pingat emas di sukan kebangsaan dan sukan terbuka yang disertai pada tahun 2023 sehingga 2024 serta pemerkasaan berterusan jurulatih sukan negeri. Teras seterusnya adalah meningkatkan bilangan atlet dalam latihan skuad pelapis secara berterusan serta mengukuhkan urus tadbir dan penglibatan langsung persatuan sukan negeri dalam pembangunan sukan.

Sekiranya kontinjen Pulau Pinang berjaya mencapai sasaran 40 pingat emas tersebut, kita akan berjaya menempatkan negeri kita sekurang-kurangnya dalam kedudukan lima (5) terbaik. Saya yakin dan percaya bahawa Kontinjen SUKMA Negeri Pulau Pinang akan berjaya mencapai sasaran ini. Bak kata pepatah, “usaha tangga kejayaan”, makanya, kita wajib berusaha ke arah itu. Usaha dan tindakan pengukuhan pasukan secara menyeluruh sedang dilaksanakan di peringkat MSNPP dan bakal mendorong jalinan kerjasama antara persatuan sukan negeri dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebentar tadi, Yang Berhormat Dato’ Haji Rosli ada menyebut bahawa ranking MAKSAK Negeri Pulau Pinang pada tahun 2023 berada di kedudukan ke-10 daripada 14 kontinjen. Perkara ini tidak boleh dipandang enteng. Kita harus melonjakkan kedudukan kita ke tahap yang lebih baik. Pasukan ping pong (berkumpulan) merupakan satu-satunya pemenang pingat emas daripada pasukan MAKSAK Negeri Pulau Pinang. Tahniah saya ucapkan dan juga kepada Yang Berbahagia Dato’ Mohd Zakuan yang telah mengetuai kontinjen ping pong MAKSAK Negeri Pulau Pinang 2023.

Jadi, untuk tahun ini, saya ingin mencabar MAKSAK Negeri Pulau Pinang untuk memperbaiki kedudukan ke kedudukan yang lebih baik dari tahun lepas. Kita perlu ada mentaliti juara. “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Masuk bertanding adalah untuk menang. Bukan semata-mata hanya untuk masuk pertandingan.  Ayuh, kita buktikan. Penang, boleh!

 

Saudara dan saudari sekalian,

Saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan-puan untuk terus menjadikan program-program yang dianjurkan oleh MAKSAK agar lebih unik dan kreatif serta berimpak tinggi, dengan penggunaan sumber serta perbelanjaan yang optimum melalui kerjasama pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan, swasta atau badan bukan kerajaan (NGO). Untuk itu, pada malam yang berbahagia ini juga, saya bersama-sama Yang Berhormat Dato’ Haji Rosli selaku Yang Dipertua MAKSAK Negeri Pulau Pinang akan turut melancarkan tabung sumbangan MAKSAK Negeri Pulau Pinang. Usaha ini adalah sebagai salah satu ikhtiar kita untuk menambahkan sumber kewangan sedia ada bagi membolehkan lebih banyak program berimpak tinggi dapat dilaksanakan.

Sebagai tanda penghargaan, para atlet MAKSAK Negeri Pulau Pinang yang telah memperoleh tempat johan, naib johan dan tempat ketiga dalam mana-mana Kejohanan MAKSAK Games 2023 bakal menerima ganjaran insentif kewangan daripada pihak MAKSAK Negeri Pulau Pinang. Semoga insentif ini akan menjadi motivasi kepada para atlet untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam sukan masing-masing.

Saya tidak bercadang untuk berucap dengan lebih panjang kerana makanan pun telah sedia terhidang, dan tuan-tuan dan puan-puan pun sudah tidak sabar untuk melihat persembahan yang disediakan.

Sebagai penutup kata, saya sekali lagi merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dengan MAKSAK Negeri Pulau Pinang selama ini dalam apa jua kapasiti. Tanpa melengah-lengahkan masa lagi, saya dengan ini merasmikan Majlis Makan Malam dan Apresiasi MAKSAK Negeri Pulau Pinang Tahun 2023.

Terbang tinggi si burung helang,

Ke tengah tasik menyambar ikan,

Pimpinan hebat MAKSAK cemerlang,

Tingkat produktiviti melalui sukan.

Sekian, terima kasih.

MAKSAK

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang