MAJLIS PENYERAHAN REPLIKA CEK KEPADA SEKOLAH MENENGAH JENIS KEBANGSAAN (SMJK), SEKOLAH MUBALIGH DAN SEKOLAH MENENGAH PERSENDIRIAN CINA TAHUN 2024

TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW

BERSEMPENA MAJLIS PENYERAHAN REPLIKA CEK

KEPADA SEKOLAH MENENGAH JENIS KEBANGSAAN (SMJK), SEKOLAH MUBALIGH DAN SEKOLAH MENENGAH PERSENDIRIAN CINA TAHUN 2024

16 FEBRUARI 2024 (JUMAAT) | 9:30 PAGI

AUDITORIUM A, TINGKAT 5, KOMTAR

 

YB Wong Hon Wai

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif

 

YB H'ng Mooi Lye

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa

 

YB Daniel Gooi

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan  

 

Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri

Barisan Ahli Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh

Para Pengerusi Lembaga Pengurus Sekolah dan PIBG

Para Pengetua

Rakan-rakan Media

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

 

Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.

Dengan pen keikhlasan, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua yang menghadiri Majlis Penyerahan Replika Cek kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Cina Persendirian Tahun 2024 pada pagi yang mulia ini.

Selama tempoh tiga (3) hari, jawatankuasa yang dipimpin oleh saya telah bermesyuarat bagi menyemak kesemua 232 permohonan yang dikemukakan oleh 117 sekolah meliputi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), SMJK, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Persendirian Cina di Pulau Pinang. Justeru, mengambil peluang ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan Ahli Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh yang terlibat kerana berjaya menjalankan tugas tahunan ini dengan cekap serta cemerlang.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Sebagai makluman, sejumlah RM1.010 juta bakal diperuntukkan kepada 10 SMJK; RM707,000 kepada 15 Sekolah Mubaligh dan RM2 juta kepada lima (5) Sekolah Menengah Cina Persendirian di seluruh Pulau Pinang pada tahun ini.

Malah, bersempena sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini juga, kita turut menerima suatu berita gembira khas kepada Sekolah Menengah Cina Persendirian yang mana Menteri Pengangkutan baru-baru ini telah mengumumkan bahawa 63 buah Sekolah Menengah Persendirian Cina di seluruh negara akan menerima peruntukan RM18.9 juta pada tahun 2024. Tambahan peruntukan berkaitan menandakan pengiktirafan yang amat besar terhadap peranan penting yang dimainkan oleh sekolah-sekolah ini dalam sistem pendidikan negara secara keseluruhan.

Dengan tambahan RM300,000 daripada Kerajaan Persekutuan, selain daripada RM400,000 yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Sekolah Menengah Persendirian Cina di negeri kita bakal menerima sokongan kewangan yang amat berharga bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan sedia ada.

Sekaligus, perkembangan ini membangkitkan semangat serta rasa syukur dalam kalangan masyarakat Pulau Pinang khasnya dalam memartabatkan tahap pendidikan anak-anak kita dengan komitmen yang lebih teguh hasil usaha sama daripada kedua-dua kerajaan iaitu Persekutuan dan Negeri, khususnya membabitkan aliran sekolah Cina persendirian.

Dengan ini, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar peruntukan tambahan serupa dapat dipertimbangkan untuk SMJK dan juga sekolah-sekolah mubaligh yang turut memainkan peranan yang tidak ternilai dalam membentuk generasi muda berpengetahuan dan bertanggungjawab bagi pembangunan sosial ekonomi negara ini secara menyeluruh.

Saudara dan Saudari sekalian,

Institusi sekolah tidak hanya terhad dalam meningkatkan pengetahuan dalam bidang akademik, tetapi juga berperanan memupuk nilai-nilai murni, kebudayaan dan keagamaan dalam kalangan pelajar bagi melahirkan seorang insan yang bukan hanya cemerlang akademik malah juga cantik sahsiahnya.

Berlandaskan itu, bagi pihak Kerajaan Negeri, selain peruntukan tahunan yang disalurkan ini, pembangunan modal insan tidak sesekali pernah dipinggirkan. Kerajaan Negeri senantiasa komited dalam mempelbagaikan serta mentransformasikan bidang pendidikan selaras dengan keperluan pasaran global. Contohnya, Kerajaan Negeri memberikan penekanan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pelbagai program, pendedahan lepasan sekolah kepada program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), menyalurkan bantuan kewangan pendidikan kepada anak-anak yang berjaya memasuki institusi pendidikan tinggi (IPT) terpilih dan banyak lagi.

Terkini, sebagaimana dinyatakan di dalam Manifesto Perpaduan 2023, Kerajaan Negeri akan terus memastikan percambahan modal insan dalam negeri ini dengan:-

Memperuntukkan RM60 juta untuk sekolah bantuan menjelang tahun 2030;

Penyaluran bantuan kewangan dan biasiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS);

Mewujudkan tuisyen percuma kepada 1,500 pelajar setiap tahun dengan tertumpu kepada golongan B40;

serta menyumbangkan komputer riba percuma kepada pelajar dari golongan B40 yang memperoleh tawaran ke IPTA.

Ini kerana, adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya anak-anak di negeri ini terus menjadi sebuah masyarakat yang berilmu dan kompeten demi pembangunan bangsa Malaysia yang gemilang.

Serentak itu, selaras dengan gagasan Visi Penang2030, usaha berterusan daripada pihak Kerajaan Negeri telah membuktikan bahawa pentadbiran hari ini tidak pernah leka dan tidak pernah meminggirkan mana-mana individu terutamanya generasi muda yang menjadi intipati penting dalam inisiatif pembangunan Pulau Pinang. Lazimnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada hari ini tekad memastikan setiap daripada rakyat Pulau Pinang sentiasa terbuka kepada peluang serta ruang untuk menuntut ilmu sekaligus membantu negara mencapai tahap sifar keciciran.

Sebagai penutup kata, sekali lagi, sekalung penghargaan kepada barisan Ahli Jawatankuasa Penyelaras Hal Ehwal Sekolah Cina dan Mubaligh yang komited dalam memastikan setiap sekolah memperoleh saluran sumbangan diperlukan, malah, kepada para ahli jawatankuasa penganjur majlis, terima kasih kerana berjaya menganjurkan majlis yang amat bermakna ini. Mengambil peluang ini juga, Selamat Menyambut Tahun Baru Cina kepada mereka yang menyambutnya, semoga tahun ini terus diberkati dengan kebahagiaan, kesihatan yang baik dan juga kejayaan yang lebih gemilang.

Gong Xi Fa Cai! Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang