MAJLIS PELANCARAN ALAT AUTOMATED EXTERNAL DEFIBRILLATOR (AED)
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG SEMPENA MAJLIS PELANCARAN ALAT AUTOMATED EXTERNAL DEFIBRILLATOR (AED)
17 APRIL 2021
TAMAN BUKIT DUMBAR
YB Lim Siew Khim
ADUN Sungai Pinang
YB R.S.N Rayer
Ahli Parlimen Jelutong
Encik Yeoh Chin Beng
Pengerusi MPKK Bukit Dumbar
Wakil-wakil MPKK Sungai Pinang
TPgB I A’azelan bin Hassan
Ketua Balai Bomba Jalan Perak
Wakil-wakil Jabatan dan Agensi Kerajaan
Rakan-rakan Media
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ADUN Sungai Pinang, YB Lim Siew Khim dan Ahli Parlimen Jelutong, Yb RSN Rayer atas jemputan bagi menjayakan Majlis Pelancaran Alat Automated External Defribillator (AED) di Taman Bukit Dumbar pada pagi Sabtu yang berbahagia ini.
Seperti mana yang semua sedia maklum, Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang telah melancarkan pemasangan alat AED sebagai salah satu bentuk usaha dan langkah terpantas kita bagi membantu menyelamatkan mangsa serangan jantung.
Sejak dilancarkan pada tahun 2015, terdapat sebanyak 66 buah mesin AED telah dipasang dan ditempatkan di tempat-tempat awam terpilih dan sehingga kini, alat ini telah membantu menyelamatkan empat (4) nyawa.
Dan hari ini, atas inisiatif ADUN Sungai Pinang, mesin sokongan pintar yang ke-67 dan ke-68 akan dipasang, masing-masing satu akan diletakkan di Taman Bukit Dumbar dan satu lagi akan diserahkan kepada CDERT MPKK Sungai Pinang, dengan keseluruhan peruntukan adalah sebanyak RM15,000.
Syabas saya ucapkan kepada semua.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Kita mengetahui bahawa serangan jantung ini disebabkan oleh kadar denyutan jantung yang luar biasa dan seterusnya menyebabkan jantung kita hilang fungsi untuk mengepam dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur dan latar belakang.
Dalam keadaan kecemasan ini, teknik ringkas seperti cardiopulmonary resuscitation (CPR) dan penggunaan alat AED sangat penting dan berguna.
Justeru, Kerajaan Negeri ingin menyeru kepada wakil-wakil rakyat dan pemimpin tempatan untuk terus memastikan program-program pendidikan dan latihan berhubung rawatan kecemasan teknikal seperti CPR dan penggunaan alat AED yang betul kepada komuniti dapat terus diadakan dari semasa ke semasa, selaras dengan usaha untuk merealisasikan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara yang menekankan aspek sihat, hijau, bersih dan selamat sebagai antara agenda penting dalam pembangunan negeri.
Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada CDERT MPKK Sungai Pinang yang merupakan MPKK pertama yang membuat pemasangan alat AED di pusat mereka, sekaligus membuktikan komitmen dan kesiapsediaan pasukan ini dalam menghadapi kes-kes kecemasan.
Sesungguhnya, program ini tidak boleh dijayakan tanpa sokongan dan penyertaan semua. Semoga kita akan lihat lebih ramai pihak untuk menganjurkan program-program seumpama ini demi mewujudkan komuniti Pulau Pinang yang sihat, selamat dan sihat.
Sekian, terima kasih.