MAJLIS PENGHARGAAN ‘TOP SCORER SPM 2023’ OLEH LEMBAGA WAKAF HINDU NEGERI PULAU PINANG
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG, YAB TUAN CHOW KON YEOW SEMPENA MAJLIS PENGHARGAAN ‘TOP SCORER SPM 2023’ OLEH LEMBAGA WAKAF HINDU NEGERI PULAU PINANG
30 JUN 2024 (AHAD) | 5 PETANG
C-MART NIBONG TEBAL
Terima kasih saudara/i pengacara majlis.
[Salutasi]
Salam Sejahtera, Salam Penang2030 dan Salam Malaysia Madani.
Terlebih dahulu, saya ingin menzahirkan kesyukuran atas kesempatan untuk kita semua berkumpul pada petang ini dalam majlis penghargaan pelajar-pelajar cemerlang ‘Top Scorer’ SPM Tahun 2023. Terima kasih dan syabas saya ucapkan kepada Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (HEB) atas penganjuran majlis yang meraikan anak-anak pelajar pada hari ini.
Hadirin yang dihormati,
Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa menumpukan sepenuh perhatian dalam aspek pendidikan. Ini kerana, pentadbiran ini percaya bahawa ilmu mampu membentuk peribadi utuh serta pemikiran yang terbuka dalam usaha melahirkan sebuah masyarakat yang berkualiti.
Oleh itu, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menyalurkan segala bentuk bantuan sama ada sokongan mahupun kewangan bagi memastikan tiada anak-anak Pulau Pinang yang tercicir atau terpinggir daripada mendapatkan salah satu hak asas manusia, iaitu hak untuk menuntut ilmu.
Saya juga amat gembira dan terharu kerana Kerajaan Persekutuan juga menunjukkan komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap pendidikan anak-anak di seluruh Malaysia apabila Kementerian Pendidikan di bawah pentadbiran YB Fadhlina Sidek diperuntukkan sejumlah RM58.7 bilion menerusi Belanjawan 2024 yang membuktikan aspek pendidikan terus diberi keutamaan demi membentuk sebuah negara bangsa MADANI.
Ketahuilah bahawa pentadbiran ini tidak pernah mendiskriminasi mana-mana kaum atau agama dalam usaha memastikan pembangunan sosioekonomi dalam negeri ini terus dicapai. Sesungguhnya, Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif daripada jawatankuasa HEB yang cukup prihatin dalam menganjurkan pelbagai program serta majlis yang bermanfaat untuk masyarakat Hindu di Negeri Pulau Pinang sejak ditubuhkan pada tahun 2008.
Hadirin sekalian,
Dalam memastikan semua anak-anak Pulau Pinang mempunyai akses untuk menyambung pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Kerajaan Negeri melalui HEB telah menyalurkan bantuan pendidikan kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan. Bagi tahun ini sahaja, HEB telah memperuntukkan sebanyak RM52,700 kepada 56 anak-anak Pulau Pinang yang berjaya menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Pada hari yang berbahagia ini, sukacitanya kita akan menyaksikan pemberian penghargaan bagi pelajar–pelajar cemerlang peperiksaan SPM tahun 2023 yang telah memperoleh keputusan 7A dan ke atas.
Anak-anak ini akan menerima cek bernilai RM500 yang mana seramai 100 pelajar dari 23 sekolah di kawasan Seberang Perai manakala 59 pelajar lagi dari 13 sekolah di kawasan pulau. Hari ini kita memfokuskan kepada anak-anak dari Seberang Perai terlebih dahulu manakala anak-anak di kawasan pulau, kita akan berjumpa pada 13 Julai nanti.
Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang telah mencapai keputusan yang cemerlang. Saya tahu, ia bukanlah sebuah perjalanan yang mudah untuk memperoleh kejayaan ini.
Dengan ini, saya berharap anda semua sentiasa bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa, waris serta guru-guru yang membantu anda sehingga ke peringkat ini. Ingat, masih banyak liku-liku kehidupan yang perlu dilalui demi kecemerlangan di masa hadapan. Saya berharap, anak-anak semua terus tabah dan berusaha keras untuk menjadi insan-insan yang berjaya demi masa depan negara yang lebih terjamin.
Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada pelajar–pelajar sekolah yang akan menduduki peperiksaan SPM pada bulan Disember 2024. Sekali lagi, tahniah saya ucapkan kepada pihak penganjur kerana meraikan kecemerlangan anak-anak Pulau Pinang.
Sekian, terima kasih. Nandri. Vanakam.