MAJLIS PELANCARAN BAGI CADANGAN MEMBAIKPULIH 6 UNIT BANGUNAN WARISAN MILIKAN MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG BERALAMAT NO.94, 96, 98, 100, 102 DAN 102A LEBUH KIMBERLY

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG

SEMPENA MAJLIS PELANCARAN BAGI CADANGAN MEMBAIKPULIH

6 UNIT BANGUNAN WARISAN MILIKAN MAJLIS BANDARAYA PULAU PINANG BERALAMAT NO.94, 96, 98, 100, 102 DAN 102A LEBUH KIMBERLY

PADA 04.05.2017 (KHAMIS), JAM 9.30 PAGI
LEBUH KIMBERLY, PULAU PINANG

 

 

Selamat pagi dan Salam Bersih kepada tuan-tuan, puan-puan, dan pihak media.

Saya amat berbesar hati kerana berpeluang menyaksikan detik bersejarah di Majlis Pelancaran bagi Cadangan Membaikpulih 6 unit Bangunan Warisan Milikan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) beralamat No. 94, 96, 98, 100, 102 dan 102A Lebuh Kimberly pada pagi ini.

Tuan-tuan dan puan-puan, sila beri perhatian kepada ruangan dan gaya senibina terunggul yang terdapat pada bangunan warisan yang kita duduki sekarang. Bangunan warisan ini merupakan bangunan warisan Kategori 2 yang terletak di dalam Zon Penampan Tapak Warisan Dunia George Town dengan gaya senibina Eklektik ‘Cina Selatan’ (Southern Chinese Eclectic Style).

Penilaian struktur yang dijalankan oleh MBPP pada tahun 2007 mendapati bahawa keadaan struktur kesemua bangunan adalah dalam keadaan yang usang dan mengalami kerosakan yang agak ketara. Di antaranya, dinding pemisah (party wall) telah mengalami keretakan teruk (major cracks), struktur lantai kayu dan lantai papan di bahagian atas bangunan telah reput.

Dengan pelancaran projek baikpulih ini, kita akan menyaksikan makeover yang baru untuk bangunan berusia lebih 100 tahun ini dalam masa 14 bulan darisekarang apabila kerja-kerja membaikpulih ini berjaya disempurna seperti yang dijadualkan.

Selepas kerja-kerja menaiktaraf ke-enam unit bangunan ini, ia akan diubahsuai kepada 8 ruangan yang baharu di mana bangunan beralamat 94, 96, 102 dan 102A, Lebuh Kimberley akan dibahagikan kepada 6 ruangan yang mempunyai akses, dapur dan tandas individu. Ruangan yang berasingan ini akan membolehkan penghuni memiliki ruangan yang diperlukan dengan sewa yang lebih mampan. Kita juga akan membaikpulih bangunan beralamat 98 dan 100 sebagai rumah kedai yang bakal didiami oleh dua penghuni yang berasingan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Semasa dalam tempoh kerja-kerja membaikpulih ini, pihak MBPP akan bekerjasama dengan Geroge Town World Heritage Incorporated untuk mengadakan kursus/bengkel kepada perunding arkitek, kontraktor dan pemilik bangunan. Dengan ini, semua kerja-kerja membaikpulih yang terlibat dalam projek ini akan direkodkan melalui video dan foto untuk dijadikan sebagai sumber rujukan untuk pendidikan.

Selain itu, untuk merealisasikan komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah Hijau, projek ini juga telah bekerjasama dengan Green Building Index Sdn. Bhd. untuk mewujudkan GBI Tools yang baru khusus untuk bangunan warisan, iaitu GBI Heritage Tools.

Untuk maklumam tuan-tuan dan puan-puan sekalian, Pasar Chowrasta yang baru-baru ini dibaikpulih merupakan satu-satunya bangunan warisan dalam Tapak Warisan Dunia George Town yang memiliki Sijil GBI. MBPP sedang berusaha untuk mencapai tahap GBI yang paling tinggi melalui projek ini demi menjadi teladan dan pengalaman yang baru untuk kerja-kerja konservasi bangunan warisan di George Town.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Jawatankuasa Projek Kimberley Street ini telah ditubuhkan bagi mengurus dan meneliti pelaksanaan projek ini agar berjalan dengan lebih teratur, terperinci dan menepati keperluan projek dan bersedia mendengar pandangan dan maklum balas daripada pihak awam dan komuniti setempat.

Untuk makluman, projek ini telah diserahkan kepada Syarikat Kejuruteraan Asas Teguh Sejagat sebagai kontraktor utama projek ini pada 16 Februari 2017 melalui proses tender terbuka. Kerja-kerja naiktaraf yang melibatkan kos sebanyak RM2,993,840.50 (tidak termasuk GST) dijangka siap pada 15 Jun 2018.

Saya juga telah dimaklumkan bahawa pihak George Town World Heritage Incorporated dalam proses merancang program-program dan insentif yang bakal disediakan untuk penghuni-penghuni baru selepas kerja-kerja membaikpulih bangunan-bangunan secara fizikal ini disempurnakan. Penghuni baru akan diberikan ruangan yang bersesuaian dengan keperluan pekerjaan masing-masing, malah mereka juga akan diberikan bantuan teknikal dari segi usahawan inovasi, kreativiti dan pengurusan pasaran yang penting dalam memastikan aktiviti warisan tradisi ini boleh bersaing dalam pasaran tempatan malah di peringkat antarabangsa. Kadar sewa dan penghuni yang dipilih akan ditetapkan kemudian.

Dengan ini, saya dengan berbesar hati merasmikan majlis pelancaran bagi Cadangan Membaikpulih 6 unit Bangunan Warisan Milikan MBPP di Lebuh Kimberly ini.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang