MAJLIS PELANCARAN PROGRAM PENGASINGAN SISA DI PUNCA ,KADUN AIR PUTIH DI RUMAH PANGSA TAMAN AIR ITAM BLOK 1, BLOK 2, KASTELLA COURT ANJURAN JKKK KAMPUNG BARU
UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN PROGRAM PENGASINGAN SISA DI PUNCA ,KADUN AIR PUTIH
DI RUMAH PANGSA TAMAN AIR ITAM BLOK 1, BLOK 2, KASTELLA COURT ANJURAN JKKK KAMPUNG BARU
PADA 13 MEI 2017(SABTU)
Selamat pagi dan salam sejahtera,
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada Pengerusi JKKK Kampung Baru Encik Rohaizat, Pengerusi Perbadanan Taman Air Itam Blok 1 Peh Kheng Soon, Blok 2 Cik Doreen Lee, Kastella Court Encik Manogaran dan Jawatankuasa Pengelola Majlis yang sudi menjemput saya merasmikan majlis yang sederhana tapi cukup bermakna pada pagi yang mulia ini. Ini merupakan program pengasingan sisa pepejal yang keempat di KADUN Air Putih, Sebelum ini program telah diadakan di Taman Reservior, Penhill Condo dan Taman Sempadan.
Saya sangat gembira dan berbesar hati untuk hadir dan berjumpa dengan penduduk Taman Air Itam serta penduduk-penduduk kawasan Kastella Court untuk Program Pengasingan Sisa Di Punca KADUN Air Putih. Ini menunjukkan inisiatif Kerajaan Negeri dalam menjadikan Pulau Pinang yang lebih hijau sememangnya dipandang serius oleh masyarakat.
Seperti mana yang kita semua sedia maklum, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menetapkan 1 Jun 2017 untuk penguatkuasaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca di seluruh Negeri Pulau Pinang.
Secara ringkasnya, pengasingan sisa di punca adalah suatu proses yang mengasingkan sisa pepejal yang dihasilkan di punca mengikut komposisi sisa pepejal iaitu sisa kitar semula (kertas, plastik, tin aluminium) dan sisa baki (sampah kotor dan sisa makanan).
Tujuan utama penguatkuasaan Dasar Pengasingan Sisa di Punca di seluruh Negeri Pulau Pinang demi menjamin kesejahteraan masa depan kita semua. Antara tujuan lain adalah :
i) Untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar serta menjaga keseimbangan eko sistem.
ii) Untuk mengurangkan kos pengurusan sisa
iii) Untuk mengurangkan penjanaan sisa yang semakin meningkat ke tapak pelupusan sampah
iv) Untuk memanjangkan tempoh hayat tapak pelupusan sampah Pulau Burong
Setiap penduduk di Pulau Pinang membuang lebih kurang 1.1 kg setiap hari. Ini bermakna lebih kurang 1700 – 1800 tan sisa dari seluruh Pulau Pinang dibuang ke tapak pelupusan sampah setiap hari. Saya difahamkan terdapat 40 unit di Taman Air Itam Blok 1, 150 unit di Taman Air Itam Blok 2, dan 15 unit di Kastella Court, menjadikan jumlah besar 205 unit kediaman dengan anggaran seramai 1025 penghuni di ketiga-tiga blok.
Bayangkan 1 kg sampah di buang oleh seorang setiap hari, maka sebanyak 1,000 kg sampah yang perlu dihantar ke tapak pelupusan sampah di Pulau Burong. Lama kelamaan tapak pelupusan akan penuh dan adalah sangat mencabar mencari tempat baru di tempat lain. Jika 50% dapat dikitar semula maka cuma 500 kg perlu diuruskan.
Di Negeri Pulau Pinang, pertambahan penduduk adalah sebanyak 2% setahun yang akan meningkatkan pertumbuhan dari segi penjanaan sampah pada setiap tahun. Namun, sejak pelaksanaan dasar pengasingan sisa mulai 1 Jun 2016, Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah mengawal pertumbuhan dari segi sampah domestik yang dilupuskan ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burong. Walaupun berlakunya pertambahan populasi dan pembangunan, namun purata sampah yang dilupuskan adalah konsisten. Purata sebanyak 607.61 tan sehari dilupuskan pada tahun 2016 berbanding dengan 607.06 tan sehari pada tahun 2015 bagi kawasan pentadbiran MBPP.
Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) telah memperuntukkan sebanyak RM94.27 juta dan RM101.73 juta masing-masing bagi menguruskan sisa pepejal dan pembersihan awam di kawasan pentadbiran masing-masing. Sejak Kerajaan Negeri memperkenalkan dasar baru pengasingan sisa di punca ini bermula 1 Jun 2016 sehingga akhir tahun 2016, MBPP telah menjimatkan perbelanjaan daripada peruntukan yang disediakan. Penjimatan bagi bayaran pemindahan sampah adalah sebanyak RM1.44 juta dan bagi bayaran pelupusan sampah domestik di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burong adalah sebanyak RM0.35 juta. MPSP pula telah menjimatkan RM792,999 menjadikan keseluruhan penjimatan sebanyak RM1,146,345 juta.
Dengan ini saya ingin menyeru agar kita semua dapat melibatkan diri dalam program Pengasingan Sisa Di Punca demi alam sekitar dan masa depan anak-anak kita mulai hari ini. Jika pihak pengurusan / MC / JMB sudah memulakan program ini dengan menyediakan tempat / tong-tong untuk pengasingan sisa sampah, terima kasih diucapkan.
Akhir kata, saya dengan ini mengumumkan pelancaran program pengasingan sisa di punca Kadun Air Putih.
Sekian, terima kasih.