MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI KERAJAAN NEGERI TAHUN 2017
TEKS UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
DI MAJLIS RUMAH TERBUKA AIDILFITRI KERAJAAN NEGERI TAHUN 2017
8 JULAI 2017
KOMPLEKS SUKAN MBPP, BALIK PULAU
Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.
Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff yang sudi hadir bagi meraikan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2017 pada hari ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Salam Syawal Ke-14 kepada semua yang hadir di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Balik Pulau. Semoga kedatangan Aidilfitri pada tahun ini diraikan dengan semangat kekeluargaan dan persahabatan dalam membina dan memperkukuhkan hubungan antara kaum di negeri ini.
Saya percaya setelah mengharungi sebulan berpuasa, semua masyarakat Islam ternanti-nanti untuk menyambut hari lebaran ini. Seperti 8 tahun yang lepas, tahun ini saya juga sempat berbuka puasa dengan masyarakat beragama Islam di Pulau Pinang dan saya lihat budaya dan sikap yang baik pada bulan tersebut haruslah diikuti, diteruskan dan dihayati oleh semua masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Sesungguhnya majlis seperti ini merupakan satu wadah dan cara bagi memupuk sikap saling memahami dan bertolak ansur sesama kita.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Selama hampir 9 tahun mengambil alih tampuk pemerintahan Negeri Pulau Pinang, bangga untuk saya nyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan telah melakukan pelbagai pembaharuan dalam pentadbiran negeri ini ke arah negeri keusahawanan dan kebajikan.
Kerajaan Negeri bangga untuk menyatakan sehingga kini, 1.6 juta rakyat Pulau Pinang telah mendapat manfaat melalui 'dividen anti-rasuah' atau bantuan kewangan sebanyak RM412.63 juta yang telah diagihkan sejak tahun 2008 menerusi Program i-Sejahtera. Ini merangkumi Warga Emas, khairat kematian kepada warga emas yang meninggal dunia, bayi yang baru dilahirkan, Orang Kelainan Upaya (OKU), Ibu Tunggal, pelajar, pemandu teksi, operator bas sekolah berdaftar, penarik beca, bantuan pukat kepada nelayan dan RM1,000 kepada mahasiswa-mahasiswi tempatan.
Ini membuktikan Kerajaan Negeri bukan sahaja menjaga golongan dan kaum tertentu sahaja sepertimana tuduhan yang dilemparkan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
Ini tidak termasuk program Agenda Ekonomi Saksama (AES) yang bertujuan untuk membantu rakyat miskin di negeri ini di mana hampir 1,461 keluarga telah manfaat daripadanya. Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM23.65 juta untuk program ini sejak dilancarkan pada tahun 2009 sehingga April 2017.
Semua ini dapat dilaksanakan hasil daripada corak pemerintahan berdasarkan CAT iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus yang diterapkan oleh semua pemimpin di negeri ini. Konsep negeri keusahawanan yang menjadi teras utama pentadbiran Negeri Pulau Pinang terserlah apabila jumlah pelaburan di Negeri Pulau Pinang terus meningkat sebanyak 73% kepada RM59.2 bilion bagi tempoh 2008-2016 berbanding RM34.2 bilion yang dicatatkan bagi tempoh 1999-2007.
Pulau Pinang juga telah menyaksikan kenaikan bilangan peluang pekerjaan sebanyak 15% kepada 139,133 pekerjaan untuk tempoh 2008-2016 berbanding 121,511 pekerjaan pada tahun 1999-2007. Kadar pengangguran di Pulau Pinang juga adalah di antara yang paling rendah di Malaysia yakni hanya 1.6% dan kini terdapat kekurangan pekerja seramai 20,000 di Pulau Pinang.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Belanjawan terkumpul juga turut bertambah sebanyak RM578 juta dalam tempoh lapan (8) tahun pemerintahan (2008-2015) berbanding RM373 juta yang dicapai oleh Kerajaan Negeri sebelum ini untuk tempoh 50 tahun dari tahun 1957-2007. Aset Negeri juga hampir digandakan dalam tempoh 8 tahun dari RM850 juta kepada RM1.6 bilion, sekali lagi mencatat prestasi hebat dalam 8 tahun berbanding 50 tahun sebelum ini. Jumlah hutang Negeri Pulau Pinang juga telah menurun sebanyak 90% sejak tahun 2008 dan berada pada tahap paling rendah dalam negara, iaitu RM65 juta pada akhir 2016. Hutang RM65 juta ini adalah paling sedikit berbanding jumlah hutang kesemua 13 negeri yang mencecah RM17.7 bilion.
Selain daripada usaha untuk menjadi negeri hijau yang pertama dengan inisiatif Hari Tanpa Beg Plastik (setiap hari) dan menjadi negeri yang mempunyai kadar kitar semula yang paling tinggi sebanyak 38% berbanding kadar kebangsaan sebanyak 20%, Pulau Pinang menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak sentuh atau kurangkan seinci pun hutan simpan kekal yang ada. Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Pahang dan Kelantan merupakan antara negeri yang telah menebang hutan simpan kekal yang yang paling besar di Malaysia iaitu sebanyak 161,000 hektar dan 158,000 hektar. Malah negeri paling kecil iaitu Perlis turut menebang sebanyak 167 hektar hutan simpan kekal.
Ini telah dibuktikan apabila Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang masih mengekalkan prinsip tiada catuan air kepada penduduk di negeri ini. Empangan air di seluruh negeri ini masih mampu menampung permintaan penduduk meskipun berdepan dengan cuaca yang tidak menentu sebelum ini. Tahniah kepada pengurusan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
Di kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Pulau Pinang untuk turut serta dalam inisiatif terbaru di bawah portfolio YB Chow Kon Yeow iaitu pengasingan sisa di punca. Sejak 1 Jun 2016, Kerajaan Negeri telah memberikan penduduk tempoh selama 1 tahun untuk menyesuaikan diri dengan dasar ini. Seperti mana yang semua sedia maklum, Undang-undang Kecil Pengasingan Sampah dan Pelesenan Perkhidmatan Pemungutan Sampah Yang Boleh Dikitar Semula (MBPP/MPSP) 2016 memperuntukan hukuman kesalahan di bawah Undang-undang Kecil ini adalah denda tidak melebihi RM2,000 atau 1 tahun penjara atau kedua-duanya sekali. Walau bagaimanapun kesalahan di bawah Undang-undang Kecil ini boleh dikompaun dengan bayaran denda tidak melebihi RM250.
Oleh itu, marilah kita memastikan usaha ini dapat dilaksanakan di semua peringkat dan seterusnya menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang bersih, hijau, sihat, selamat.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin!
Sekian, terima kasih.