MAJLIS SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2017 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2017 PERINGKAT NEGERI PULAU PINANG

16 SEPTEMBER 2017 
SP ARENA SEBERANG JAYA

 

Selamat Pagi dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato Seri Utama Hajjah Majimor Binti Shariff serta semua para jemputan sekalian kerana sudi bersama-sama hadir bagi meraikan Majlis Sambutan Hari Malaysia Tahun 2017 Peringkat Negeri Pulau Pinang pada pagi ini.

Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Pejabat Daerah Dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT), Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di atas penganjuran majlis ini.

Terima kasih juga ditujukan kepada pihak pengurusan SP Arena kerana telah bersetuju untuk menjadikan dewan ini sebagai tapak sambutan majlis pada pagi ini. Selain itu, ucapan terima kasih juga ditujukan kepada para kontinjen perbarisan perarakan Hari Kebangsaan kerana turut melapangkan masa dan bersama-sama datang bagi meraikan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Pulau Pinang pada pagi ini.

Tuan-Tuan dan Puan-puan sekalian,

Hari Malaysia disambut sebagai meraikan sejarah penubuhan Malaysia apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963. Tarikh terbentuknya Malaysia perlu lebih dihayati, dikenang dan dihargai bukan sahaja oleh rakyat Sabah dan Sarawak tetapi juga seluruh rakyat Malaysia kerana tanpa Sabah atau Sarawak, Malaysia tidak wujud langsung.

Oleh itu, kita harus mengingati pengorbanan rakyat Sabah dan Sarawak yang bergabung untuk membentuk Malaysia sama dengan mengingati pengorbanan pejuang-pejuang Merdeka yang berjaya membebaskan kita daripada cengkaman penjajah British. Rakyat Malaysia daripada semua suku kaum dan agama harus hidup dalam keharmonian dan kesejahteraan dalam suasana muhibah.

Perpaduan merupakan suatu nikmat yang amat berharga kerana ia membolehkan kita semua menghadapi semua cabaran dan mencapai kejayaan, kemakmuran dan keamanan. Kita semua rakyat Malaysia, yang mempunyai masalah yang sama dan memiliki masa depan yang cerah hanya apabila kita bekerjasama.

Bersatu kita teguh
Bercerai kita roboh.

Selagi kita mencintai Malaysia, kita harus sayang antara satu sama lain.

Keranamu Malaysia

Kita cintai Malaysia dan Pulau Pinang:

kerana kita enggan membenci antara satu sama lain

kerana kita menyangkal fitnah yang menguburkan kebenaran
kerana kita menyanggah ketakutan terhadap perbezaan dan kerencaman

kerana kita menjauhi rasuah yang merosakkan jiwa

kerana kita menentang autokrat yang menindas kebebasan

kerana kita menolak kleptokrat yang menidakkan keadilan

kerana kita tidak membenarkan mereka merompak masa depan anak-anak kita sebagaimana kita dirompak

Kita cintai Malaysia dan Pulau Pinang kerana kita menghormati kerencaman budaya dan agama

Kita cintai Pulau Pinang kerana Pulau Pinang adalah bersih, hijau, selamat dan sihat

Kita cintai Malaysia yang memberi kehidupan dan kegembiraan, serta yang menjanjikan harapan bagi hari esok yang lebih cerah

Cintai Malaysia!

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang