MAJLIS PECAH TANAH RUMAH MAMPU MILIK DAN RUMAH PANGSA KOS SEDERHANA RENDAH “SANDILAND FORESHORE”

UCAPAN KETUA MENTERI PULAU PINANG
SEMPENA MAJLIS PECAH TANAH RUMAH MAMPU MILIK DAN RUMAH PANGSA KOS SEDERHANA RENDAH 
“SANDILAND FORESHORE”

PADA 23 SEPTEMBER 2017

 

Saya berasa amat berbesar hati pada pagi ini kerana dapat bersama–sama untuk Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik dan Rumah Pangsa Kos Sederhana Rendah Sandiland Foreshore.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak Tanjung Villa Development Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Tah Wah Group kerana telah bertungkus lumus dalam membangunkan projek ini yang mana akan memberi manfaat kepada rakyat di Negeri Pulau Pinang dengan menyediakan rumah mampu milik dan juga rumah pangsa kos sederhana rendah.

Saya juga gembira ingin memaklumkan bahawa projek Sandiland Foreshore ini akan terdiri daripada 2 parcel iaitu:

Parcel A yang terdiri daripada 1 blok bangunan bercampur yang akan mengandungi :-

-482 unit rumah mampu milik, di mana 402 unit adalah dengan keluasan 900 kaki persegi berharga RM 300,000 seunit dan 80 unit dengan keluasan 800 kaki persegi dengan harga RM200,000 seunit.

-Tempat letak kereta dan fasiliti untuk komuniti juga akan disediakan.

Bagi projek Parcel B, Tanjung Villa Development akan membina 1 blok rumah pangsa kos sederhana rendah yang terdiri daripada :-

-321 unit rumah pangsa kos sederhana rendah dengan keluasan 700 kaki persegi yang berharga RM 72,500 seunit. Ini juga termasuk 50 unit untuk penempatan semula bagi penduduk setinggan yang sedia ada.

-Tempat letak kereta dan fasiliti untuk komuniti dan rekreasi.

Selaras dengan prinsip Dasar Kerajaan Negeri iaitu CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus) serta untuk memanfaatkan inisiatif dan kreativiti sektor swasta, PDC telah menjemput Request For Proposal (RFP) untuk pembangunan bersama di atas tanah seluas 4.23 ekar tanah kerajaan di Sandiland Foreshore, Jalan CY Choy, George Town.

Untuk itu, Kerajaan Negeri telah meluluskan pemberian RFP kepada Syarikat Tanjung Villa Development Sdn Bhd dengan jumlah tender sebanyak RM36 juta untuk kos tanah, serahan 150 unit kos sederhana rendah dengan tempat letak kereta untuk Kerajaan Negeri, membina 3 kuil untuk penempatan semula kuil di tapak tersebut dan juga menaik taraf jalan dan juga landskap.

Saya gembira untuk memaklumkan bahawa Tanjung Villa Development Sdn Bhd adalah syarikat pembangunan hartanah yang komited untuk membina rumah untuk meningkatkan kualiti kehidupan dan dengan ini, mereka telah menggunakan kos mereka sendiri untuk memberi pampasan kepada penduduk setinggan di tapak projek, termasuk kos pembayaran sewaan untuk rumah sementara dan juga penempatan semula.

Projek Sandiland Foreshore ini juga selaras dengan inisiatif Public, Private, Partnership (PPP) Kerajaan Negeri di mana Kerajaan Negeri, PDC dan sektor swasta telah bekerjasama untuk mewujudkan sinergi dan kejayaan dalam menyediakan rumah mampu milik dan rumah pangsa kos sederhana rendah untuk rakyat Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sememangnya mengutamakan pembekalan pelbagai jenis perumahan mampu milik untuk rakyat Negeri Pulau Pinang, di mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang sendiri mempunyai 17 projek yang bakal membekalkan 27,230 unit pelbagai jenis perumahan mampu milik di kelima-lima daerah di Pulau Pinang, di mana harganya adalah dalam lingkungan RM42,000 (867 unit); RM72,500 (9,283 unit) dan RM150,000 sehingga RM300,000 (17,080 unit).

Selain itu, sejak pengenalan Garispanduan Perumahan Mampu Milik 100% untuk pihak swasta, saya begitu gembira untuk menyatakan bahawasanya sebanyak 18,387 unit telahpun diluluskan untuk dibina oleh pihak swasta di Negeri Pulau Pinang. Ini adalah tidak termasuk Rumah Mampu Milik Jenis A dan B (Kos Rendah dan Sederhana Rendah) yang telah dibina sejak kita mengambil alih Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu 21,535 unit.

Untuk makluman semua, jumlah 21,535 unit ini adalah 4 kali ganda jumlah 5,154 unit yang telahpun dibina pada 7 tahun yang sama sebelum kita mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan telahpun menunjukkan satu prestasi pencapaian dari segi pembekalan perumahan mampu milik yang jauh lebih baik daripada Kerajaan Barisan Nasional yang terdahulu.

Saya yakin bahawa pembangunan Projek Sandiland ini akan melengkapkan dan menjana sinergi dengan pembangunan pesat di kawasan sekitar terutama Komtar yang telah diberikan wajah baru, kawasan pembangunan Jalan Macallum, pembangunan kawasan pasar Sia Boey dan Penang Arts District serta tapak Warisan Dunia George Town yang berdekatan.

Projek Sandiland Foreshore ini yang bertujuan untuk mencapai Indeks Penarafan Bangunan Hijau (Green Building Rating Index) yang akan melengkapi aspirasi Pulau Pinang sebagai negeri yang bersih, hijau, selamat dan sihat dan juga sebagai pemangkin untuk pembangunan pesat di Jalan CY Choy dan sekitarnya.

Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pecah Tanah Rumah Mampu Milik dan Rumah Pangsa Kos Sederhana Rendah Sandiland Foreshore.

Sekian, terima kasih.

Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang Tingkat 28, KOMTAR, 10502, George Town, Pulau Pinang